Sunday, November 23, 2014

KELAPA SAWIT - KENAPA ADA PLASTIK?

PENANAMAN KELAPA SAWIT (Elaeis guineensis) di negara kita dan disekitar jalan Jerangau-Jabor memang permandangan biasa dimana pada daun pokok baru tanam digantung dengan plastik?. Mungkin itu adalah satu daripada permandangan yang menarik sepanjang jalanraya semasa kita melalui jalanraya tersebut yang memang sestiasa sibuk. Penulis kali ini melalui jalan tersebut dan berfikir kenapa anak-anak pokok sawit digantung dua cebisan plastik yang diikat pada kiri dan kanak pokok tersebut (Sila lihat foto dibawah). Perkara ini amat jarang kita nampak lihat berlaku diladang sawit yang baru ditanam dibahagian pantai barat Semenanjung Malaysia. Dalam membuat beberapa pertanyaan kepada rakan-rakan dalam kenderaan mereka memberikan pelbagai jawapan dengan hipotesis berbeza-beza. Ada yang kata ia bukan sengaja diikat pada pokok tetapi merupakan satu tanda pokok kelapa sawit tersebut telah siap dibaja. Rakan lain pula kata ia merupakan teknik untuk menjauhkan serangga perosak yang mungkin akan menyerang anak pokok kelapa sawit. Apa yang saya tidak boleh terima adalah jawapan plastik yang diikat adalah untuk menghalau hantu dan jin daripada menganggu kehidupan pokok kelapa sawit dan berbagai jawapan lagi. Kalai dahulu hanya anak pokok kelapa sawit dibahagian tepi ladang sahaja yang diikat dengan plastik tetapi kini saya dapati hampir kesemua anak pokok telah diikaat dengan cebisan plastik. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu teknologi mengikat cebisan plastik pada anak pokok kelapa sawit untuk berkongsi pendapat dengan pembaca semua.   


Mengikat cebisan plastik pada pelepah anak pokok kelapa sawit memang tidak pernah disebut semasa saya belajar diuniversiti lama dahulu. Adakah ini telah menjadi satu amalan teknologi baru yang telah diterima pakai dalam industri perladangan khususnya penanaman kelapa sawit atau merupakan keperluan untuk kawasan tertentu sahaja?. Mengikat cebisan plastik ini mudah dilakukan (sila lihat foto disebelah) dan mungkin akan memberikan faedah yang signifikan. Cebisan plastik seperti ini lazimnya murah atau digunakan plastik yang terbuang saja dan cuma perlukan buruh atau tenaga mengikatnya. Paras ikatan sebaiknya dibagagian tengah pelepah (pokok agak tinggi) atau dibahagian hujung pelepah (jika pokok rendah sedikit). Pekerja perlu memastikan ikatan tersebut kuat dan tidak mudah tanggal apabila ditiup angin atau ditimpa hujan lebat. Terdapat bermacam warna cebisan plastik yang diikat semasa saya buat penelitian daripada warna plastik yang jernih, merah, oren, putih dan juga plastik bekas bungkusan baja. Kebetulan semasa saya berhenti tepi jalan melihat ikatan plastik angin bertiup kencang dan saya lihat akan cebisan plastik yang bergerak-gerak dan ada yang menghasilkan bunyi berirama akibat geseran plastik dengan daun sawit. Tetapi masih terfikir apakah sebanarnya tujuan dan faedah mengikat cebisan plastik ini?. Kepada pelancong luar negara yang kali pertama melihat perkara ini mungkin mereka tertanya-tanya sama seperti kita yang kurang arif.


Beberapa hipotesis boleh dikaitan dengan kenapa cebisan plastik ini diikat pada anak pokok kelapa sawit. Antaranya adalah ia merupakan satu teknik untuk mengawal serangan babi hutan (wild boar) yang suka merosakkan anak pokok kelapa sawit dikawasan ladang baru baru membuat penanaman semula atau tanaman baru. Babi hutan (sila lihat foto disebelah) sering tinggal dikawasan hutan belantara yang mana ia suka mencari cacing dan kawasan yang banyak cacing adalah pada pangkal pokok kelapa sawit. Babi hutan juga suka makan umbut anak pokok kelapa sawit sebagai makanannya. Ia akan mengorek dan menumbangkan anak pokok sawit dan akan merosakannya menyebabkan pokok tersebut akan mati. Cebisan plastik yang diikat pada daun anak pokok kelapa sawit dipercayai akan menakutkan babi hutan apabila ia bergerak-gerak kerana ditiup angin atu pokok disondol terutama pada waktu malam. Babi hutan adalah sejenis haiwan yang aktif pada waktu malam untuk mencari makanan atau pada waktu siang hari jika tiada kelibat manusia. Kawasan ladang sawit di laluan jalanraya Jerangau Jabor saya lihat dikelilingi dengan hutan tebal yang mana populasi babi hutan banyak dan bersedia untuk merosakan anak pokok kelapa sawit berbanding dengan lawang sawit dibahagian pantai barat Semenanjung Malaysia. Adakah hipotesis ini boleh diterima oleh pengurus-pengurus ladang MTD yang telah pasang cebisan plastik dan melaksanakannya?. Biar anda dan mereka yang menjawab. Wasallam!.  


PLASTIK DIIKAT...APA TUJUANNYA...
POKOK SAWIT..PADA PELEPAHNYA...
DUA IKATAN... BERMACAM WARNA...
MENGHALAU BABI... ITUKAH CARANYA?...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalanraya Jerangau-Jabor,
Kemaman-Dungun, 
Terengganu, Malaysia.
(13 Muharam 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.