Friday, November 28, 2014

KELAPA MBD - APA DIA?

KELAPA MBD atau Malayan Brown Dwarf (Cocos nucifera) merupakan satu jenis atau varieti kelapa renek yang kurang dikenali ramai. Kajian penulis mendapati pokok kelapa ini ada ditanam di MARDI, Bagan Datok, Perak didalam plot penyelidikkan mereka. Benih kelapa ini dipercayai dibawa masuk ke Malaysia melalui kerjasama COGEN untuk menjaga janaplasma kelapa renek diseluruh dunia sebagai langkah penting dalam industri penanaman kelapa. Kelapa MBD mungkin ada juga yang telah ditanam oleh petani atau pekebun kecil lain dalam negara tanda disedari atau diketahui mereka. Ini kerana menlihat daripada pencirian pokok tersebut, penulis ada melihat beberapa ciri persamaan marfologi dengan jenis Kelapa Sungai Gulang-Gulang (SGG) yang ditanam oleh beberapa petani dikawasan tersebut. Ada yang berpendapat mungkin varieti kelapa Sungai Gulang-Gulang (CN16) ini adalah hasil mutasi pokok kelapa MBD. Kelapa Sungai Gulang-gulang telah didaftarkan atas nama Encik Ismail Tahir daripada Sungai Gulang-gulang, Tanjong Karang, selangor dengan Jabatan Pertaian pada Julai 2013. Daripada maklumat yang ditulis dalam Buku Senarai Varieti Tanaman Yang Didaftarkan oleh Jabatan Pertanian rujukan (BK134/01.14/0.5R) yang diterbitkan telah menyatakan akan beberapa pencirian kelapa tersebut. Walau bagaimana pun beberapa pakar kelapa dan agronomis perlu membuat pemeriksaan lebih teliti mengenai perkara ini demi kebaikan industri kelapa. Artikel petang Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kelapa MBD (Malayan Brown Dwarf) yang berpotensi untuk ditanam secara meluas sebagai tanaman monokrop atau sebagai tanaman berintergrasi dengan tanaman lain yang sesuai.


Kelapa Sungai Gulang-gulang (CN16) menyatakan bahagian daun pokok kelapa ini mempunyai panjang petiol sekitar 98cm dengan lebar petiol pula sekitar 8.0 cm. Panjang Rachis pula adalah 330.3 cm dengan jumlah anak daun sebanyak 206 helai. Setiap daun mempunyai ukuran panjang anak daun iaitu 115 cm dengan lebar anak daun sekitar 4 cm dan warna bahagian atas daun adalah Yellow  Green Group (147A). Panjang central axis adalah 27 cm dengan diameter tangkai bunga pada bahagian tengah adalah sekitar 83 cm. Bagaimana pun penulis memeriksa pokok MDB yang berumur 4 tahun dan mendapati pokok tersebut mempunyai pertumbuhan baik dengan buah yang lebat (Sila lihat foto disebelah). Pokok ini yang juga jenis kelapa renek ang memang cepat berbuah berbanding dengan pokok jenis kelapa tinggi seperti varieti Malayan Tall dan Tagnanan yang mula berbuah selepas 5-7 tahun setelah ditanam. Bagaimana pun jenis pokok kelapa tinggi lazimnya hidup lebih lama kerana ketahanannya dari serangan penyakit dan perosak jika diuruskan dengan baik. Kelapa MBD masih kurang dikenali dan ditanam secara komersil kerana ia merupakan jenis kelapa renek yang lazimnya berbuag kecil. Bagaimana pun lawatan penulis dibeberapa plot tanaman kelapa MBD di Stesyen Pertanian mendapati ia menghasilkan buah sederhana besar setanding dengan kelapa tinggi jika dibuat penjarangan buah (Sila lihat foto dibawah). Ia juga ada yang mencecah kepada buah gred A dengan pengurusan buah yang baik dan dikawal jumlah biji setandan. 


Kelapa jenis renek (Dwarf variety) yang terdapat didunia banyak dari kawasan 'tropika seperti jenis 'Malayan Dwarf'. Pokok yang tumbuh menegak ini mempunyai ketinggian 30-60 kaki dengan jarak tanaman lazimnya 15-25 kaki. Tumbuhan ini perlukan cahaya matahari yang banyak dan tidak sesuai dijadikan tanaman dikawasan teduh. Ia boleh tumbuh dengan baik pada tanah jenis subur atau pun tanah liat, tanah pasir, tanah lom dan mesti ada sistem saliran baik. Jenis kelapa ini juga tahan dalam keadaan kemarau dan tanah yang masin sedikit seperti kawasan pantai. Pokok kelapa ini sperti pokok kelapa lain mempunyai ancaman perosak seperti Coconut Leaf Miner (CLM), Kumbang Tanduk, Kumbang Jalur Merah, Artona dan juga Ulat Beluncas. Penanaman kelapa MBD sesuai dikawasan keliling rumah sebagai pokok hiasan dan naungan disamping mendapatkan hasilnya. Selain dari buah kelapa, pokok kelapa MBD yang tumbuh boleh diambil daunnya untuk buat ketupat, lidinya untuk dibuat penyapu dan sebagainya.


Kelapa Malayan Brown Dwarf (MBD) saya fikir boleh dijadikan satu alternatif kepada petani di Malaysia untuk ditanam secara komersil. Menurut Ketua Stesyen MARDI Sg Sumun, Bagan Datok, Perak potensi hasil pokok dewasa berumur 8 tahun mampu menghasilkan sebanyak 8,000 - 10,000 buah sehektar setahun. Kiraan saya mendapati pokok berumur 4 tahun diplot kajian mereka mempunyai sebanyak 12 - 18 biji buah setiap satu tandan. Satu tandan kelapa akan keluar setiap bulan bermakna sepokok akan menghasilkan antara 140 - 210 biji setahun. Anda boleh kira berapa banyak buah kelapa dihasilkan jika 178 pokok kelapa ditanam sehektar. Kelapa MBD boleh ditanam daripada buah biji kelapa matang yang gugur dan telah dikhususkan untuk pengeluaran benih (Perlu ditutup dengan plastik pendebungaan atau pokok benih isolated). Ia tidak perlukan proses kacukan seperti kelapa hibrid Matag atau MAWA yang kos pengeluaran benihnya tinggi. Jika dipasaran harga benih kelapa MATAG mencecah RM 30 sepokok, pilihan petani untuk kelapa MBD (Jika ada stok anak benih) adalah jauh lebih murah. Penulis anggarkan harga benih kelapa MBD boleh dijual dengan anggaran RM4.00 sepokok sama seperti kelapa pandan. Adalah menjadi harapan penulis pada masa hadapan agar kelapa varieti MBD ditanam secara komersil sebagai memenuhi keperluan kelapa negara. Malaysia masih kekurangan bekalan buah kelapa pada tahun-tahun mendatang kerana keluasan tanaman pokok kelapa semakin berkurangan dan masih mengimpot kelapa tua dari negara jiran.  Semuga artikel ini memberikan idea baru kepada anda semua. Wasallam!.


KELAPA RENEK...MBD NAMANYA...
BENIH DICARI... MANA SUMBERNYA...
CEPAT BERBUAH..MUDAH TANAMNYA..
PERLU DIGALAKAN...KERJA SIAPA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Stesyen Komoditi Kelapa,
Sungai Sumun, Bagan Datok,
Perak, Malaysia.
(16 Muharam 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.