Friday, September 12, 2014

LEBAH - TEKNOLOGI MENTERNAK (Part 2)

TERNAKAN LEBAH MADU (Honey Bee) merupakan satu akiviti yang agak kurang diberi perhatian oleh usahawan muda di Malaysia. Lebah Madu merupakan serangga hidupan yang terbang dan bersarang di lokasi khusus sama ada diternak atau lebah liar dihutan. Kajian penulis mendapati di Malaysia terdapat seramai 730 orang usahawan lebah madu yang aktif didaftarkan kepada Jabatan Pertanian Malaysia sebagai satu sumber rujukkan yang berguna. Antara negeri yang paling ramai mempunyai usahawan lebah adalah Negeri Sabah dengan seramai 625 orang usahawan diikuti dengan Kedah (20 orang) dan Kelantan (17 orang) usahawan lebah madu dan melibatkan sebanyak 23,385 kotak haif (Laporan dari Jabatan Pertanian 2013). Lebah adalah sekelompok besar serangga yang dikenali ramai dimana ia bersosial dan berkelompok meskipun sebenarnya tidak semua lebah adalah bersifat demikian. Semua lebah masuk dalam suku atau familia Apidae (ordo Hymenoptera). Apa yang saya belajar, lebah merupakan serangga yang menghasilkan madu dan produk-produk lain berasaskan lebah yang telah lama dikenali manusia. Sejak zaman purba manusia memburu sarang lebah di gua-gua, di lubang-lubang pokok serta tempat-tempat lain untuk diambil madunya. Lebah juga menghasilkan produk yang yang sangat diperlukan untuk dunia kesihatan seperti royal jelly, pollen, lilin dan sebagainya. Selanjutnya manusia mulai menternak lebah madu secara komersil dengan memakai gelodog kayu dan pada masa ini menggunakan Haif Lebah iaitu sistem berpusat. Di Malaysia teknik menternak lebah secara komersil masih pada tahap belum matang kerana masih sedikit usahawan yang berkecimpong menternak lebah madu secara komersil berbanding dengan negara lain. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai temuan teknologi menternak lebah madu untuk rujukan dan bacaan anda.


Dalam menternak lebah madu apa yang perlu disediakan adalah Lokasi Ternakan, Haif Lebah Madu atau Kotak Lebah (Kelulut), Pakaian kerja, Peralatan serta kelengkapan. Koloni lebah merupakan serangga hidup yang bergerak dan terbang untuk menjalankan aktiviti hariannya. Tidak guna mempunyai haif lebah yang tersusun banyak tetapi tidak ada koloni aktif didalamnya (Sila lihat foto sebelah). Setiap koloni lebah mesti mempunyai seekor (atau dua ekor untuk teknologi penternakan lebah lebih maju) Ratu Lebah serta banyak lebah pekerja dan beberapa ekor lebah jantan. Jumkah sekitar 30,000 ekor lebah dalam satu koloni dikirakan sesuai untuk satu koloni yang aktif mengumpulkan nektar dan produk lain.  Syarat utama yang harus dipenuhi dalam aktiviti penternakan lebah madu lebah adalah hanya akan ada seekor ratu lebah dalam satu koloni tidak boleh lebih dari satu ratu kerana hanya satu lebah ratu mengawal koloni dan ratu yang lain akan dibunuh kecuali ada pemisah untuk dua ratu lebah (macam dua koloni juga). Ratu lebah yang tidak aktif boleh diganti dengan ratu baru yang kita boleh lakukannya sendiri setelah kita mahir atau telah pun berkursus mengenai pertukaran ratu lebah. Peranan ratu lebah yang rajin bertelur sangat signifikan menentukan kekuatan koloni lebah. Penghasilan telur konsisten dan sihat akan menghasilkan jumlah lebah yang cukup untuk koloni tersebut.


Kawalan suhu dalam haif penting agar tidak akan BERUBAH SUHU dalam masa terlalu cepat. Pertukaran suhu akibat cuaca dan udara disekeliling juga akan menyebabkan lebah dalam keadaan tidak menentu dan menjejaskan aktiviti mereka. Oleh itu ketebalan dinding haif perlu diperhatikan untuk menjaga agar suhu didalam menjadi stabil terutamanya untuk Apis mellifera. Ketebalan sekitar setebal lebih 2.5 cm akan mempastikan suhu tidak terjejas sama ketika panas atau malam hari yang sejuk. Ketahanan haif lebah madu terhadap iklim perlu dipilih dari bahan kayu yang tahan lama. Lazimnya Lebah Impot (Apis mellifera) sesuai menggunakan jenis haif yang diimpot daripada China. Kini haif lebah Apis mellifera yang diternak dikawasan hutan akasia yang dijual dengan harga runcit sekitar RM250.00 satu unit termasuk dengan Haif Super yang mampu untuk bertahan untuk 5-6 tahun dalam cuaca di Malaysia. Penulis mendapati haif lebah keran yang berharga sekitar RM80 - RM100 satu unit buatan tempatan hanya tahan untuk 2.0-2.5 tahun sahaja (Sila lihat foto sebelah). Bahan Kayu yang akan digunakan harus tahan terhadap pengaruh hujan, panas, cuaca yang selalu berubah, kukuh, tidak mudah hancur atau rosak dengan diselenggara menggunakan bahan yang sesuai (Lilin lebah cair, cat atau varnish). Sebaiknya dibahagian atas haif (tutup atas kotak) dipasang dengan lapisan seperti logam iaitu zink, logam atau getah untuk melindungi dari hujan dan panas matahari dan lambat reput. Penggunaan cat khas juga mampu untuk memanjangkan jangkahayat haif lebah. Kadang-kadang ada usahawan lebah yang membuat rumah pelindung agar ia memberi keselesaan kepada lebah madu. 


Memerangkap lebah keran (Apis cerana) yang liar untuk dijadikan koloni yang jinak dalam penternakan lebah boleh dilakukan dengan menggunakan GELODOG. Anda boleh baca artikel mengenai gelodog yang saya tulis sebelum ini (Sila klik disini). Gelodog adalah batang kelapa yang ditebuk dibahagian tengah dan ditutup serta diletakkan dikawasan yang mempunyai aktiviti lebah keran (Sila lihat foto disebelah). Pada keadaan tertentu koloni yang pecah akan membuat koloni baru dalam gelodog yang dipasang. Koloni baru atau koloni liar ini perlu dipindahkan kedalam haif lebah dengan teknik yang betul. Haif lebah madu boleh dibuat sendiri atau dibeli daripada pembekal tempatan. Jika hendak membina haif lebah sendiri boleh dilakukan dengan mudah kepada mereka yang telah berkursus menyediakan haif lebah. Pilih kayu yang tahan dan buat haif lebah dengan ukuran disyorkan dan sebaiknya dirawat dengan bahan yang melambatkan kayu reput. Haif Lebah yang berkoloni perlu diletakkan dilokasi sesuai yang lapang, ada sedikit teduhan dan selamat daripada gangguan musuh serta perosak. Dikawasan hutan akasia sering terdapat musuh seperti Beruang (Beruang suka makan madu), babi hutan (meyodok pangkal tiang cari cacing) dan juga manusia (Suka mencuri). Oleh itu kawasan penternakan lebah madu dalam hutan yang jauh dipendalaman boleh dipasang pagar keselamatan. Bagaimana pun kawasan penternakan lebah madu sebaiknya dikawasan yang mudah untuk dijaga dan selamat. Bersambung pada artikel teknologi perlebahan Part 3. Wasallam!. 


MENTERNAK LEBAH...MINAT UTAMA...
ADA KURSUS... DAPATKAN ILMUNYA...
MENCARI KAWASAN... SIAP HAIFNYA...
BELI KOLONI... PASTIKAN BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Apiari Nasional,
Parit Botak, Senggarang,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(26 Syawal 1435H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.