Saturday, September 6, 2014

KUMBANG BRONTISPA





KUMBANG BRONTISPA (Brontispa longissima) merupakan sejenis serangga perosak tanaman kelapa (Cocos nucifera) yang baru ditemui di Malaysia. Serangga daripada order ini Coleoptera adalah daripada keluarga Chrysomelidae atau juga Cassidinae yang mana dikenali dengan nama biasa sebagai 'Hispine beetle' atau dalam bahasa kita sebagai Kumbang Brontispa. Kumbang ini mempunyai bentuk yang unik dan lazimnya menjadikan tumbuhan Perumah seperti tanaman Pokok Pinang (Areca catechu) , Pokok Nipah (Nypa fruticans), Pokok Palma (Cargota smitis) dan beberapa pokok Palma Hiasan lain seperti jenis Typha angustifolia. Serangga ini memang boleh menjadi wabak serius jika tidak dikawal dimana ia mampu merosakan bahagian daun pokok kelapa dewasa dan lebih teruk pada anak pokok kelapa yang baru ditanam. Serangga yang berasal dari Indonesia dan Papua New Guinea ini telah direkodkan sebagai perosak yang Endemik di Indonesia dan Papua New Guinea dimana kini ia telah merebak ke seluruh Asia Tenggara termasuk negara kita. Serangga ini merupakan sejenis perosak eksotik di Malaysia dimana ia telah dijumpai hadir dibeberapa negeri oleh Jabatan Pertanian iaitu di —negeri Terengganu, Melaka, Pahang dan Perak. Sementara itu kini di Negeri Johor dan juga negeri Selangor dilaporkan telah berlaku agak serius serangannya dari laporan pemantauan yang dilakukan. Artikel malam khamis ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis serangga iaitu Kumbang Brontispa yang mampu mengancam industri kelapa dan berkemungkinan akan menyerang tanaman kelapa sawit.


Daripada maklumat yang dipetik daripada Jabatan Pertanian, keujudan kumbang Brontispa ini telah menyerang tanaman kelapa di Maldives dan Vietnam sebagai endemik pada tahun 1999. Ini diikuti dengan berlaku serangan serius pada tahun 2000 di Thailand dan tahun 2001 di Laos PDR dan juga Kemboja (Sila lihat rajah diatas). Seterusnya pada tahun 2002 telah juga dilaporkan kumbang brontispa didapati telah menyerang Hainan Island diikuti dengan tahun 2004 di Myanmar dan pada tahun 2005 dilaporkan menyerang negara Filipina. Di Malaysia pula ia mula direkodkan pada tahun 2005 oleh beberapa pegawai dari Jabatan Pertanian iaitu di Bahagian Biosekuriti Tumbuhan. Penulis percaya ia mungkin telah wujud lebih awal daripada 2005 tanpa disedari oleh petani dan Jabatan Pertanian berdasarkan kajian rapi yang dijalankan. Apa yang dilaporkan sebelum ini, sehingga tahun 2004 hanya terdapat sejenis perosak kumbang iaitu spesis Plesispa reichi sahaja yang ada dikawasan kelapa terutamanya di kawasan pesisir pantai dimana banyak tanaman kelapa. Laporan ini adalah berdasarkan kepada rekod terawal dimana kumbang jenis Pleisspa reichei menyerang kelapa di Johor pada tahun 1912 (Corbett, G.H., 1923). Jika ini dijadikan panduan, bermakna kemasukkan perosak ini mungkin dibawa masuk kedalam negara melalui Thailand atau juga Indonesia (jauh sedikit). Kemasukan pengimpotan tanaman pamla hiasan daripada negara jiran Thailand ke Malaysia melalui pintu darat masuk utara Semenanjung Malaysia mungkin telah membawa masuk sama kumbang ini kenegara kita. Ia kemudian terus merebak sehingga terdapat banyak kawasan lain di Malaysia dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini. 

Lazimnya serangan dan kerosakan yang dilakukan oleh Kumbang Brontispa ini adalah berbeza di antara jenis palma. Pemerhatian juga mendapati jenis tanaman kelapa varieti Hibrid MATAG adalah lebih serius teruknya berbanding dengan kelapa jenis MYD, pokok Manila palm dan juga pokok dari jenis Veitchia merrili. Walau pun sehingga artikel ini ditulis belum menemui tanda ia menyerang kelapa sawit, namun pemantauan rapi perlu dijalankan sekerap mungkin diseluruh negara. Kajian yang dibuat pakar menunjukkan bahawa hanya pada peringkat larva yang akan memakan tisu pucuk kelapa dan pucuk pokok-pokok palma (Sila lihat larva rajah kumbang Brontispa). Apa yang —terjadi kemudian keluar simptom yang menyebabkan daun seperti terbakar (“leaf burn”) dimana ianya boleh dilihat dengan mata kasar. Selau juga berlaku serangan teruk yang beoleh menyebabkan pengurangan hasil buah kelapa. Apa yang menyedihkan adalah jika ia melakukan serangan ke atas pokok muda menyebabkan pertumbuhan terbantut dan akhirnya anakbenih kelapa boleh mati jika tidak dikawal dengan baik. Serangan kumbang brontispa ini hanya akan diketahui apabila daun baru keluar dan tanda kerosakan dapat dilihat (Sila lihat foto dibawah) dimana terdapat warna kehitaman pada bahagian daun yang diserang. 

Dalam kita hendak kenal akan kumbang brontispa lazimnya perlu membuat rujukan. Jika kita hendak buat diagnosis berikut adalah pencirian bagi kumbang dewasa mempunyai saiz panjang sekitar 8.5-9.5 mm dan lebarnya adalah sekitar 2.0-2.5 mm. Kumbang ini berbadan leper dan meruncing dimana Kumbang Jantan kebiasaannya lebih kecil dari betina (Sila lihat foto paling atas). Kumbang brontispa mempunyai warna coklat kemerahan dan kehitaman, elektra coklat atau hitam dan ada bertanda seperti bentuk terpintal pada elektra. Ciri paling unik bagi kumbang ini adalah pada bahagian Toraks berbentuk segi empat dan dapat dilihat dengan jelas. Dari segi biologi dan ekologi, lazimnya pada semua peringkat hidup kumbang brontispa berada dalam bahagian pucuk kelapa yang belum terbuka. Ini bermakna untuk mencari kumbang ini perlu memeriksa pucuk pokok kelapa dimana jika pokok kelapa sudah tinggi memang agak sukar untuk melakukannya. Oleh itu kaedah yang sesuai untuk mengetahui keujudan kumbang ini melalui pemasangan perangkap khas. Bagaimana pun pada anak pokok kelapa yang baru ditanam kita boleh memeriksanya. Kumbang betina akan bertelur seawal umur 15 hari dimana lokasinya adalah pada bahagian pucuk kelapa. Saiz telur sekitar 1.8-2.0 mm dengan kapasiti bertelur sehingga 100 biji atau lebih. Kumbang ini mempunyai sebanyak 4 peringkat instar larva dimana pada larva instar ke 4 bersaiz 7.0 mm - 8.0 mm. kajian menunjukkan bahawa jangka masa daripada peringkat telur hingga kepada peringkat dewasa adalah sekitar 35 - 42 hari. Keseluruhan jangka hayat kumbang brontista adalah sehingga 6 bulan. Kepada mereka yang ingin maklumat lanjut mengenai kumbang ini boleh menghubungi pegawai Teknikal Bahagian Biosekuriti, Jabatan Pertanian Malaysia. Wasallam!.

KUMBANG PEROSAK...IA BRONTISPA...
SUKA MENYERANG...PUCUK KELAPA...
TAHUN 2005... MULA ADA DIMALAYSIA...
PERLU DIKAWAL... KERANA BAHAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Stesyen Pertanian Lekir (Unit Kelapa),
Lekir, Manjung,
Perak, Malaysia.
(2 Zulhijjah 435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.