Wednesday, July 16, 2014

LEBAH - DIREKTORI USAHAWAN

DIREKTORI USAHAWAN LEBAH telah diterbitkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 2014 yang mana ia mempaparkan usahawan-usahawan penternak lebah madu di Malaysia. Buku direktori ini telah di terbitkan ekoran dari Hari Ladang Lebah diancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Pusat Apiari Nasional, Parit Botak, senggarang Batu Pahat, Johor pada 27 Jun 2013. Buku ini mengandungi maklumat seramai 730 orang usahawan lebah madu yang didaftarkan kepada Jabatan Pertanian Malaysia sebagai satu sumber rujukkan yang berguna. Antara negeri yang paling ramai mempunyai usahawan lebah adalah Negeri Sabah dengan seramai 625 orang usahawan diikuti dengan Kedah (20 orang) dan Kelantan (17 orang) usahawan lebah madu. Dalam Jadual 1 dibawah ada ditunjukkan jumlah bilangan haif sebanyak 23,385 kotak haif dengan paling banyak dilaporkan di Sabah (sebanyak 10,603 haif). Ini diikuti dengan jumlah haif di Melaka sebanyak 5,295 buah oleh satu syarikat penternakan lebah yang sangat besar untuk kes di Malaysia. Kalau saya kaji dari segi jumlah usahawan, jumlah kotak haif dan jumlah pengeluaran madu lebah ianya sesuatu yang amat menarik untuk dibincangkan dalam blog tulisan kali ini. Oleh itu artikel kali ini saya membuat sedikit analisis mengenai buku daftar usahawan lebah madu di malaysia pada tahun 2013 dalam "Anim Agro Technology" untuk renungan dan rujukan bersama semua pembaca.


Pengeluaran madu lebah jika dijadikan sandaran untuk melihat industri lebah madu adalah satu perkara yang signifikan. Walau pun ada produk-produk lain yang boleh diperolehi, rata-rata usahawan lebah memang sasarkan madu lebah sebagai asas persiagaan mereka. Anggaran hasil madu lebah tahun 2013 di Malaysia sebanyak 305,171 kilogram atau sekitar 305.1 metrik tan. Ia dihasilkan oleh sebanyak 23,385 haif kotak lebah menjadikan anggaran purata pengeluaran adalah 13.05 kg setiap satu haif setahun. Ini termasuk haif kosong dan haif yang ada super dalam pengendalian menternak lebah. Analisa seterusnya mendapati purata pemilikan haif lebah adalah 32 buah haif seorang usahawan (Sebenarnya ia jauh lebih rendah kerana beberapa syarikat mempunyai jumlah haif melebihi 1,000 buah). Mengenai harga madu lebah yang dijual saya dapati ianya banyak perbezaan bergantung kepada sumber makanan iaitu diantara RM 60 - RM240 sekilogram. Bagi madu lebah dari kawasan kelapa ia dijual sekitar RM 50 - RM 80 sekilogram sementara dari kawasan hutan gelam sekitar RM 80.00 - RM120 dan dari kawasan hutan Akasia sekitar RM80 - RM 100 dan dari kawasan kebun Belimbing sekitar RM 200 - RM240 sekilogram. Jika mengambil kira purata harga madu lebah pada RM80.00 sekilogram, maka didapati anggaran nilai hasil madu lebah di Malaysia pada tahun 2013 adalah sebanyak RM24.4 juta.


Terdapat beberapa syarikat besar yang menternak lebah madu di Malaysia iaitu di Melaka dengan 5,000 haif dan mampu menghasilkan sebanyak 98,000 kg madu lebah setahun. Syarikat B-B Town Sdn Bhd yang dipunyai oleh Mr Ong (Memang mengikut namanya sahaja sudah ada untung - 'Ong') yang beroperasi di Kg Pengkalan Badak dan Kg Bukit Katil, Melaka. Syarikat ini menternak lebah jenis Apis mellifera dengan sistem ternakan terbuka semenjak tahun 1978 lagi. Syarikat ini juga mempunyai kiosk dan pusat pameran serta jualan di Bukit Katil. Satu lagi usahawan di Sungai Lembu, Pulau Pinang mempunyai sebanyak 1,200 haif lebah dengan juga menternak lebah Apis melliffera dikawasan dusun campuran dan belukar. Di Sarawak pula Syarikat Summer Pacific Sdn Bhd mempunyai sebanyak 2,850 haif dikawasan ternakan di Samarahan, Tatau dan Bintulu yang menternak lebah jenis Apis mellifera. Ketiga-tiga syarikat ini mewakili 38.7% jumlah bilangan haif lebah madu di Malaysia dengan pengeluaran madu lebah asli sebanyak 192,000 kilogram setahun (iaitu 62.9% daripada pengeluaran nasional) pada tahun 2013. Sebenarnya saya fikir mungkin ramai lagi usahawan lebah madu yang belum direkodkan kerana mereka mungkin menternak secara senyap-sunyi sahaja. Saya anggarkan mungkin ada sekitar 10-25% lagi yang masih tidak direkodkan aktiviti mereka terutama yang membuat ternakan lebah madu secara kecil-kecilan dengan kaedah penternakan secara tradisional. Laporan ini merupakan satu laporan yang jarang-jarang diketengahkan dan saya harap pembangunan industri lebah negara akan terus berkembang maju. Wasallam!.
Penulis dengan En Zaaba di Muar, Johor menberi kursus pada 2008
USAHAWAN LEBAH.. ADA BERAPA...
730 ORANG... DIDAFTAR MEREKA...
ADA YANG KECIL..SYARIKAT JUGA...
INDUSTRI PERLEBAHAN... DIJAGA...

Oleh,
M Anem
Senior Agronomist
Pusat Apiari Nasional
Parit Botak, Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(16 Ramadan 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.