Tuesday, June 17, 2014

PENUTUP BUMI - TEKNIK MENANAM

KACANG PENUTUP BUMI (Mucuna bracteata) merupakan sejenis tumbuhan yang ditanam sebagai penutup bumi bagi tujuan menghalang hakisan dan menambah kesuburan tanah terutama ketika pembukaan ladang-ladang baru. Ladang luas bagi tanaman kelapa sawit atau getah lazimnya mengalami masaalah hakisan ketika menunggu penanaman anak pokok baru. Terdapat banyak jenis tanaman kekacang penutup bumi yang digunakan oleh sektor perladangan di Malaysia sama ada untuk tanaman diladang baru atau tanaman semula ladang sedia ada. Amalan menanam kacang penutup bumi ini berbeza mengikut keadaan persekitaran, jenis tanah, sistem pengurusan ladang dan paling penting adalah keadaan cuaca. Lazimnya dari apa yang saya perhatikan, sebelum kacang penutup bumi ditanam seluruh kawasan yang hendak ditanam dengannya hendaklah dibersihkan daripada segala jenis tumbuh-tumbuhan semulajadi termasuk lalang, rumpai yang tidak diingini, buluh, bertam, pisang hutan dan kesemua jenis tumbuhan perampas yang lain. Pembersihan ini dilakukan dimana ia telah dibasmikan hingga mati ke akar umbinya. Penanaman kacang penutup bumi yang menjalar ini hendaklah dijalankan diseluruh kawasan yang boleh ditanam dengan syarat keadaan cuaca sesuai dan sebaik sahaja kerja-kerja membaris telah disiapkan. Artikel pada tengahari Ahad ini saya dapat idea menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman kacang penutup bumi berdasarkan pemehatian penulis dan nota ceramah kursus yang telah saya ikuti dulu untuk bahan bacaan. Lazimnya kerja menanam penutup bumi diladang dan estet besar dilakukan oleh kontrektor khas yang dilantik. 

Peringkat awal adalah penyediaan anak benih kekacang penutup bumi Mucuna bracteata dimana ia hendaklah dibekalkan oleh para kontraktor yang berwibawa. Bekalan ini akan dikeluarkan mengikut masa dan jumlah yang sesuai atas budibicara pengguna atau pengurus ladang. Dalam banyak kes, saya lihat kebanyakan kerja menanam kacang penutup bumi adalah dilakukan oleh Kontraktor yang ada pengalaman menanam kacang penutup bumi. Mereka hendaklah mempastikan anak benih kacang penutup bumi dari jenis Mucuna bracteata untuk ditanam dalam keadaan baik dan cukup. Kontraktor tersebut dikehendaki menghabiskan menanam benih kacang penutup bumi yang dikeluarkan pada hari yang sama. Lazimnya kerja untuk mengangkut anak benih kacang penutup bumi dari tapak semaian ke ladang dilakukan ikut jadual. Kadar penggunaan benih kacang penutup bumi Mucuna bracteata sehektar adalah 300 anak pokok sehektar. Proses pembajaan akan dilakukan dengan baja fosfat mengikut keperluan dan pada masa pembajaan yang sesuai. Kerja meracun dengan jenis racun Pra-cambah perlu dibuat 3 hari sebelum menanam di kawasan yang akan ditanam dengan kacang penutup bumi.

Kerja penanaman anak benih kacang penutup bumi Mucuna bracteata mengikut teknik betul dimana ia ditanam dengan dua polybeg ditengah-tengah barisan pokok sawit dimana jarak tanaman ialah 4.1 meter (12 kaki) atau sebarang jarak yang didapati sesuai ikut keadaan. Kerja melubang ini hendaklah dibuat dengan menggunakan cangkul atau lain-lain alat dimana lubang perlu digali pada hari yang sama kerja menanam dilakukan. Lazimnya saiz lubang yang perlu digali ialah 15cm x 15cm x 15cm. Tanah yang digali keluar perlu dilonggokkan dengan baik ditepi lubang supaya kerja menimbus semula dapat dibuat dengan mudah. Kemudian ia diikuti dengan menabur baja fosfat sebanyak 30 gram kedalam lubang yang telah siap digali. Semua anak benih hendaklah ditanam pada hari yang sama. Kerja penanaman hendaklah dilakukan dengan cermat dimasa semasa membuka polybeg hendaklah berhati-hati untuk menggelakkan akar pokok patah dan rosak. Penanaman kacang penutup bumi ini sebaiknya dapat disiapkan dalam masa yang cepat untuk mengejar waktu hujan. Seterusnya kerja menyulam tanaman kacang hendaklah dilakukan dalam masa dua minggu selepas tanaman pertama pada pokok yang mati.

Kerja merumput hendaklah dijalankan setiap bulan sebaik sahaja selepas menanam kacang penutup bumi. Aktiviti merumput adalah bergantung kepada kesesuaian kawasan kacang penutup bumi tumbuh. Hanya kacang penutup bumi dan tanaman utama sahaja (Getah atau Kelapa sawit) dibenarkan tumbuh dikawasan tanaman. Pembajaan dibuat dengan menabur baja NPK Yellow 15:15:6:4 dan baja fosfat. Kadar menabur baja NPK Yellow ialah 45 kg/hektar dan manakala taburan baja fosfat adalah 100 kg/hektar. Taburan baja-baja ini hendaklah dijalankan dalam dua pusingan. Kedua-dua pusingan ini adalah seperti jadual pembajaan yang ditunjukkan dibawah. Pada pusingan pertama baja NPK Yellow digunakan dengan kadar 45 beg sehektar atau 150 gram sepokok diletakkan sebulan selepas menanam. Dua bulan kemudian baja Fosfat ditabur dengan kadar 100 beg sehektar. Jadual pembajaan ada dibawah untuk dibuat rujukkan.

 

Penanaman benih Kacang Penutup Bumi Mucuna bracteata boleh dikatakan berjaya jika tidak kurang 90% didalam sesuatu kawasan dapat dilihat. Blok tersebut sebaiknya dijaga dan bersih daripada sebarang jenis tumbuhan yang tidak diingini dan tumbuh-tumbuhan perampas seperti lalang, seduduk, rumput israel, selaput tunggul dan lain-lain noxious plants. Kerja membaja perlu dibuat dalam beberapa pusingan mengikut jadual disediakan. Amalan lazim dilakukan kepada sistem pembayaran kepada kontroktor dilantik mengikut jadual seperti dalam perjanjian. Kadar untuk bayaran bagi kerja menanam kekacang Penutup Bumi adalah dimana apabila 60% daripada harga kontrak iaitu selepas siap membaja kacang penutup bumi pusingan 1. Selepas itu 40% daripada harga kontrak dan tolak 5% Wang Tahanan dilakukan selepas siap membaja Kacang penutup bumi pusingan 2. Jika kontraktor gagal dan mengabaikan kerja mencuci merumput kacang penutup bumi di bawah keadaan kacang tulin bagi mencuci jangkamasa yang ternyata dalam perincian kerja mencuci merumput iaitu 12 pusingan, maka adalah wajib bagi kontraktor menbayar gantirugi atas jumlah bayaran yang telah dibayar bagi kerja menanam kacang penutup bumi menurut perkiraan standard. Peranan kacang penutup bumi semasa pebukaan ladang memang menjadi satu amalan yang perlu dilakukan. Semuga artikel ini menambah ilmu pengetahuan pembaca semua. Wasallam!.


MENANAM... PENUTUP BUMI...
BUKA LADANG...ITU MESTI...
BENIH DITABUR...BAJA DIBERI...
SUDAH SIAP... DIBAYAR LAGI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Ladang Lanadron,
Mukim Bukit Serampang,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(19 Syaaban 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.