Friday, May 2, 2014

SAMBAL SOTONG KERING

SAMBAL SOTONG KERING merupakan satu menu hidangan yang sangat di gemari oleh masyarakat Malaysia. Pelbagai citarasa sambal sotong dan tahap keenakkan bergantung kepada kepakaran tukang masak dan juga ramuan yang digunakan. Hidangan sambal sotong kering kini telah menjadi menu pilihan dalam majlis kenduri dan perkahwinan yang dimakan dengan nasi minyak atau nasi putih. Dahulu hidangan seperti ini tidak dihidangkan dalam majlis seperti ini. Penyediaan menu ini juga tidak begitu susah walau pun sebenarnya harga sotong kering yang berkualiti amat mahal. Sotong kering bersaiz besar kini mencecah lebih RM 45.00 sekilogram tetapi lazimnya sotong kering yang kecil dan nipis boleh digunakan untuk dipilih bagi penjimatan kos. Harga sekeping sambal sotong kering yang siap dimasak sekitar RM 2.00 - RM 4.00 sekeping bergantung kepada saiz potongan sotong kering, lokasi jualan atau perniagaan dan resepi yang digunakan. Saya memang amat meminati lauk sambal sotong kering yang dimakan dengan nasi lemak dibeberapa gerai pilihan terkenal. Rasanya yang pedas, manis, masin, lemak dan kenyal menyebabkan keenakan sambal sotong kering menjadi pilihan ramai. Selain dimakan dengan nasi putih, sambal sotong kering juga sering dimakan dengan roti canai, mee goreng, mee hoon goreng, nasi goreng dan juga roti. Artikel subuh ini saya menulis dan postingkan dari London UK dalam "Anim Agro Technology" mengenai sambal sotong kering yang popular dihidangkan sebagai lauk yang diminati ramai.


Sambal sotong kering disediakan dengan pelbagai kaedah dan cara dengan ramuan berbeza. Bagaimana pun saya akan berikan beberapa asas penyediaan sambal sotong kering berdasarkan pengalaman sendiri dan pemerhatian peribadi yang dibuat. Bahan-bahan asas diperlukan (sukatan untuk hidangan satu keluarga sebagai panduan) adalah 4 keping sotong kering, 8 tangkai cili kering, 3 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih, 2 sudu air asam jawa minyak, garam dan juga gula pasir. Cara-cara menyediakan sambal sotong ini dimulakan dengan merendam sotong kering sehingga ianya kembang dan lembut (seeloknya rendam semalaman). Keluarkan sotong tersebut dan dihiris sotong dengan saiz dan ukuran dikehendakki (ikut suka). Sediakan bahan masak dengan mengisar cili kering, bawang merah dan bawnag putih menggunakan blender. Pasangkan api dan letakkan kuali yang diisikan dengan minyak masak pada kadar sesuai (elakkan terlalu banyak minyak). Tumiskan bahan kisar hingga garing dan kemudian masukkan sotong dan air asam jawa dalam kuali dimana perlu dikacau sebati. Apabila sotong sudah empuk maka kita masukkan sedikit gula dan garam sehingga sesuai dengan citarasa kita. reneh dan biar atas api sederhana seketika dan tutup api dimana ia siap untuk dihidangkan dengan nasi putih.


Keenakkan rasa nasi lemak sebenarnya terletak pada sambal yang dimakan bersama. Ini kerana nasi putih yang dimasak dengan menggunakan santan sudah tentu berlemak, jadi rasanya akan diseimbangkan dengan sentuhan sambal ikan bilis yang pedas dan menyelerakan. Lazimnya selain sambal, nasi lemak akan dinikmati bersama sepotong telur rebus, hirisan timun, ikan bilis goreng, dan kacang tanah goreng. Namun, kini makanan tersebut boleh dinikmati dengan pelbagai hidangan lauk sampingan. Antara lauk sampingan yang popular untuk dimakan bersama nasi lemak ialah sambal paru, sambal sotong kering, ayam masak merah, sambal kerang, dan pelbagai lagi. Antara lauk yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembeli nasi lemak kini ialah sambal sotong kering, daging goreng serta paru goreng berlada. Ketiga-tiga lauk tersebut pasti ada dijual setiap oleh penjual nasi lemak setiap hari kerana ia cukup digemari dan minati ramai para pelanggannya.

Sotong kering (Lihat foto sebelah) ini boleh buat bermacam-macam jenis masakan yang lazat-lazat seperti Sambal Sotong Kering, Nasi kerabu tabur dengan sotong kering atau diratah begitu saja dengan sos atau tanpa sos. Tetapi ada laporan bahawa sotong kering ini amat berbahaya untuk kesihatan kerana ia mengandungi logam toksik kadmium iaitu bahan yang sama digunakan untuk membuat bateri, plastik dan baja fosfat.  Laporan akhbar The Star pada 29 September melaporkan berita Dried cuttlefish contaminated with cadmium oleh CAP yang dapat membuktikan perkara ini melalui ujian rawak yang telah pun dilakukannya ke atas enam sampel. Dilaporkan dari jumlah tersebut lima daripadanya didapati mengandungi kadmium sementara tiga daripadanya mempunyai kandungan Cd atau kadmium secara berlebihan. Kesan pengambilan kadmium menurut CAP, mendedahkan seseorang terhadap kanser payu dara dan kanser prostat serta penyakit buah pinggang yang menyebabkan manusia perlu dialisis. Sumber lain yang dirujuk menyatakan setakat ini kita mendapati produk makanan laut masih selamat. Berdasarkan hasil beberapa pemantauan melalui sampel yang diuji, kurang daripada satu peratus produk makanan laut positif kadmium. Aktiviti pemantauan dari Januari hingga Jun tahun ini mendapati sebanyak 12 atau (0.86 peratus) daripada 1,372 sampel yang diambil dikesan positif untuk kadmium iaitu kandungan antara 1.1 hingga 10.75 ppm. Akhir kata apa yang saya ingin nyatakan keenakan sambal sotong kering memang tidak membahayakan jika kita ambil dengan jumlah berpatutan dan tidak berlebihan. Wasallam!.. Sejuknya London ....



SAMBAL SOTONG KERING...ENAKNYA...
SEKEPING DIJUAL...SESUAI HARGA...
RASA MANIS PEDAS...LEMAK JUGA...
JANGAN MAKAN BANYAK...BAHAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 610, The Hyde Park Hotel, 
23-25 Leinster Squares,
London, W2, 4NE. UK
(23 Rabiulawal 1435)
Diposting pada 2 Mei 2014.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.