Thursday, May 29, 2014

KUMBANG TANDUK - KAWALAN

KUMBANG TANDUK (Chalcosoma atlas) atau dalam bahasa Inggeris dipanggil Atlas Beetle merupakan sejenis kumbang yang terdapat di Malaysia. Kumbang ini juga dipanggil sebagai Kumbang Badak berdasarkan kepada struktur tanduknya seperti haiwan Badak Sumbu (Sila lihat foto diatas). Kumbang ini dikenalpasti sebagai perosak kepada tanaman seperti Kelapa, Kelapa Sawit, Nipah, Pinang, Nibong dan semua jenis tanaman ornamental daripada Palmae. Serangan kumbang ini selalu berlaku dalam keadaan terpencil dan terkawal dalam kawasan terpencil sahaja. Ia lazimnya seimbang dengan ekosistem semulajadi seperti penyakit dan musuh semulajadi kumbang ini. Penulis masih ingat ketika zaman kanak-kanak dahulu apabila menjumpai kumbang ini dikawasan kampong, kami akan mengikat dengan benang untuk mempastikan ianya tidak terbang dan kami boleh bermain dalam masa lama. Bentuknya yang menarik serta warnanya yang hitam berkilat membuatkan ramai rakan-rakan amat suka jenis kumbang ini. Selain daripada merosakkan jenis tanaman kelapa, belum banyak laporan kerosakkan yang dilakukan oleh kumbang tanduk. Sementara menunggu airport transfer daripada hotel ke Schipol airport tengahari ini, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Kumbang Tanduk atau Kumbang Badak untuk dijadikan bahan rujukan dan bacaan kepada anda semua. 


Daripada penelitian dan pemerhatian penulis, lazimnya kumbang dewasa akan menyerang dengan mengorek bahagian tisu lembut pada pucuk pokok kelapa. Projek tanaman kelapa matag yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian di Johor, Perak dan Selangor semenjak 10 tahun dulu dilaporkan mengalami masaalah serangan kumbang tanduk yang menyerang anak pokok kelapa matag yang baru ditanam. Jika pelepah muda dimana daunnya belum terbuka, maka tanda serangan akan kelihatan bentuk daun yang keluar seperti kipas bila daunnya membesar dan terbuka (Sila lihat foto disebelah). Sebenarnya apa yang berlaku adalah kumbang tanduk yang masuk kedalam pucuk pokok kelapa akan makan kedua belah daun pada bahagian pelepah yang diserang. Terdapat juga dilaporkan dimana kadang-kadang kumbang ini juga akan menyeran bahagian tisu lembut pada buah kelapa.


Kitaran kumbang tanduk perlu kita fahami sebelum meneruskan perbincangan ini (Sila rujuk rajah diatas). Kitaran hidup diperingkat telur selama 11-13 hari sahaja sebelum ia menetas dan menjadi larva. Telurnya adalah kecil, berukuran 3.0 mm yang berbentuk oval dan berwarna putih. Peringkat larva adalah selama 80-90 hari dimana ia mempunyai ukuran panjang badan sekitar 80-100 cm dengan lebar sekitar 25 mm. Pada peringkat ini ia berwarna kekuningan sedikit. Kemudian ia menjadi pupa selama 19-27 hari dimana saiznya sekitar 50 cm panjang dan lebarnya 2.0-2.5 mm dan ia berwarna perang kekuningan. Peringkat yang kita sering lihat dan suka adalah peringkat dewasa selama 30 - 60 hari. Saiz dewasa sekitar 35-50 cm panjang dan 20-23 cm lebar dengan warna yang perang tua atau hitam berkilat. Peringkat dewasa ini merupakan peringkat dimana ia mempunyai struktur lengkat seperti kaki, tanduk dan sebagainya.


Kawalan perosak kumbang tanduk dapat dilakukan apabila kita sering membuat pemeriksaan terutama dikawasan tanaman kelapa baru atau pokok muda. Sanitasi ladang kelapa semasa menyediakan kawasan amat penting dimana semua batang kelapa perlu dihapuskan agar tidak menjadi tempat pembiakan kumbang ini. Periksa pokok kelapa muda dengan lebih kerap dan jika terjumpa lubang kubang maka kita boleh cungkil larvanya keluar dan musnahkan. bagi mengurangkan kawasan pembiakan kubang tanduk, sebaiknya kita tanam rumput kacang penutup bumi bagi mengelakkan ia membiak pada batang kelapa yang sedang reput. Dilaporkan kawalan secara biologi oleh sejenis penyengat iaitu Scolia spp. merupakan musuh semulajadi kumbang. Selain itu kulat jenis Metarhizium spp juga menjadi musuh semulajadi kumbang ini. bagi mengawal populasi kumbang tanduk, kita boleh buat perangkap (Beetle breeding ground) dengan mencampurkan tinja ayam dengan tinja lembu dimana jika ia bertelu dan menjadi larva kita boleh musnahkan secara mekanikal atau gunakan racun sesuai. 


Kawalan menggunakan perangkap feromon juga lazim dilakukan untuk mengawal kumbang tanduk. Bahan feromon yang digunakan adalah 'Rhinoceros beetle pheromone'. Feromon ini dipasang dengan kadar 1 perangkap untuk setiap 2 hektar. Bau ini akan menarik kumbang jantan dan ia akan terbang masuk dalam baldi atau PVC yang dipasang dan kemudian kumbang tersebut dimusnahkan (Sila lihat foto sebelah). Kawalan yang juga sering dilakukan adalah dengan menggunakan racun kimia. Kaedah ini dilakukan sekiranya pasti ada serang dengan bahan Gamma BHC 6.5% dengan 9 bahagian serbuk papan dan ditabur dicelah-celah pucuk pokok kelapa. Kaedah lain adalah semburan racun Cypermethrin pada bahagian pucuk daun kelapa yang dilakukan mengikut arahan pada label. Kawalan kumbang tanduk dilakukan bagi mengurangkan risiko serangan yang boleh memusnahkan tanaman. Sekian. Wasallam!.


   
KUMBANG TANDUK...IA BADAK...
WARNA HITAM...KILAT TANDUK..
BILA JALAN...LAMBAT GERAK...
PERLU LIHAT... JANGAN GELAK...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 217, Westcord Art 3 Star Hotel,
Spaarndemdjik, Amsterdam,
Natherlands.
(11 Mei 2014)
Trip 2 weeks to Europe.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.