Friday, May 23, 2014

FENOMENA EL NINO - SITUASI SEMASA

KENYATAAN AKHBAR MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI MALAYSIA - SITUASI SEMASA FENOMENA EL NINO

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) pada 15 April 2014, fenomena El Nino berkemungkinan besar akan melanda dunia pada pertengahan tahun ini yang dijangka bermula antara Jun dan Ogos depan, namun demikian masih terlalu awal untuk menentukan tahap kekuatannya. Fenomena El Nino yang mana kebiasaannya mula terbentuk pada pertengahan tahun, memuncak pada penghujung tahun atau awal tahun berikutnya dengan tempoh hayat antara 6 hingga 18 bulan. Kali terakhir fenomena ini terjadi adalah pada tahun 2009/2010 dengan kategori sederhana, di mana ia tidak memberi impak cuaca yang signifikan kepada negara. Manakala El Nino pada tahap kuat yang terakhir berlaku adalah pada tahun 1997/1998, di mana sebahagian kawasan negara telah mengalami cuaca kering dan panas serta dilanda jerebu rentas sempadan yang serius.  Impak El Nino kepada negara secara umumnya boleh menyebabkan jumlah hujan diterima akan berkurangan, terutamanya bagi Sabah dan Sarawak. El Nino juga boleh menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan kering yang seterusnya memudahkan berlakunya kebakaran hutan yang boleh menyebabkan kejadian jerebu tebal merentasi sempadan yang akan memberi kesan terutamanya terhadap kesihatan, aktiviti luar dan pertanian. Artikel malam ini saya menerbitkan semula dalam
"Anim Agro Technology" mengenai laporan akhbar disiarkan mengenai fenomena El Nino untuk bacaan dan rujukan mereka yang terlinat dengan sektor pertanian dan pelbagai sektor lain.

Sepertimana yang diumumkan baru-baru ini, Kabinet telah memutuskan tentang penubuhan sebuah jawatankuasa peringkat nasional yang turut dianggotai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dalam usaha menangani fenomena El Nino dan musim kering Monsun Barat Daya. Dalam hal ini, MOSTI melalui MetMalaysia akan memainkan peranan penting dalam memberikan input khususnya apabila berlaku sebarang perubahan cuaca yang dikesan. Selain daripada itu, di peringkat MOSTI, MetMalaysia telah mengambil beberapa langkah awal antaranya:

i. menggerakkan satu Jawatankuasa Khas yang sentiasa memantau dan meneliti perkembangan El Nino;

ii. memantap dan memperkemaskan penyaluran maklumat perkembangan fenomena El Nino dan cuaca kepada semua agensi kerajaan yang terlibat dalam jawatankuasa, orang awam dan media, melalui kaedah operasi yang telah ditetapkan; dan

iii. meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan. Dalam hal ini MOSTI telah memulakan kajian khusus untuk mengkaji dan memastikan pembenihan awan dapat dioptimumkan operasinya.

Meskipun tahap kekuatan fenomena El Nino masih belum dipastikan, suka saya menasihati semua pihak untuk membuat persediaan lebih awal bagi mengurangkan impak fenomena El Nino dan cuaca panas Monsun Barat Daya. Antara langkah-langkah awal yang boleh dilakukan ialah:

i. memastikan mempunyai simpanan air yang mencukupi atau menyediakan takungan air tambahan untuk kegunaan masing-masing seperti kolam, perigi dan sebagainya;

ii. berjimat cermat dan mengamalkan budaya penggunaan air berhemah mulai sekarang. Berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penggunaan air sehari oleh setiap rakyat Malaysia adalah amat tinggi iaitu 310 liter berbanding syor piawaian antarabangsa PBB iaitu 165 liter, Afrika hanya 50 liter, India 100 liter sehari, manakala Singapura 150 liter;

iii. mengambil kira perubahan cuaca ini dalam merancang dan merangka aktiviti luar dalam tempoh masa berkenaan; dan

iv. menggalakkan orang ramai mempunyai simpanan topeng muka apabila diperlukan.


Bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung fenomena ini termasuklah ramalan cuaca, gempa bumi dan tsunami, sila hubungi talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1MET. Perkhidmatan ini disediakan 24 jam sehari dan 7 hari seminggu atau melalui emel kepada mmd@met.gov.my. Pengguna juga boleh melayari laman sesawang rasmi Kementerian www@mosti.gov.my dan Jabatan Meteorologi Malaysia www@met.gov.my.
Sekian dan terima kasih.

Dilaporkan oleh:
Datuk Dr. Ewon Ebin
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
pada 19 Mei 2014
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Aras 7, Blok C5, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62662, Putrajaya
Tel : 603-88858000
Faks : 603-88889070

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.