Thursday, April 3, 2014

VARIETI - NANGKA

l
NANGKA (Artocarpus heterophyllus) adalah sejenis buah-buahan popular dari keluarga MORACEAE yang di tanam di Malaysia untuk di makan segar dan dii proses. Terdapat seluas 3,962 hektar tanaman nangka pada tahun 2013 dengan pengeluaran sebanyak 27,459 metrik tan (Sumber Laporan statistik Jabatan Pertanian 2010). Negeri Pahang merupakan Negeri yang paling luas dengan tanaman nangka iaitu seluas 669 hektar diikuti dengan Negeri Johor (515 hektar) dan Sarawak (481 hektar) pada tahun 2013. Daerah Temerloh di Pahang merupakan lokasi paling luas dengan tanaman nangka iaitu seluas 225 hektar (TKPM Lanchang satu daripadanya) diikuti Daerah Kota Tinggi di Johor (192 hektar) dan Daerah Bera di Pahang (181 hektar). Tanaman nangka kini telah pun diusahakan secara komersial sebagai tanaman tunggal (monocrop) atau tanaman campuran dengan buah-buahan lain. Artikel ini saya berkongsi maklumat dengan pembaca iaitu maklumat varieti tanaman nangka berasaskan kepada senarai (national listing variety) tanaman nangka. Nangka adalah tanaman saka yang mempunyai batang yang tumbuh menegak dengan ketinggian mencapai 15-20 meter. Daun nangka berwarna hijau gelap dan agak tebal serta mempunyai getah. Buah nangka terbentuk selepas pendebungaan yang keluar dari dahan dan batang pokok. Buah nangka adalah berbentuk bulat lonjong berwarna hijau ketika putik dan kuning kehijauan apabila masak. Bahagian ira nangka yang di makan lazimnya berwarna kuning kemerahan bergantung kepada varieti. Biji nangka berbentuk bulat dan mengandungi isi warna putih. Buah Nangka yang masak sering mengeluarkan getah (latex) yang melekit ketika di kupas untuk mengeluarkan isinya. Isi nangka biasanya manis dan sesuai dimakan segar atau boleh diproses sebagai 'minimum process' dan disejukkan dalam peti sejuk. Buah nangka juga di proses untuk dijadikan "Vaccum Fry of jackfruit chip" dan mendapat pasaran sangat baik. Saya sangat minat makan nangka segar walau ada yang kata makan nangka nanti 'banyak angin' apa lagi kalau makan kerepek nangka vacuum fry. Artikel malam ini sekali lagi saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa varieti tanaman nangka yang telah didaftarkan dengan Variety National Listing di Jabatan Pertanian untuk rujukan anda.

Penulis dengan YB Datok Hamim Samuri
di Kg Spg Bekoh, Tangkak
Tumbuhan nangka sesuai ditanam diatas tanah lom berpasir yang mempunyai saliran yang baik. Kawasan mesti terbuka dan mendapat cahaya matahari yang mencukupi untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembungaan. Elakkan dari memilih kawasan yang mudah tenggelam atau banjir kerana tanaman nangka tidak tahan terendam dalam air melebihi 6-8 jam dan ia akan mati. Tanah perlu dibajak atau di bersihkan dari semak samun sebelum menanam untuk mendapatkan kesuburan pokok yang optima dan sediakan sistem pengairan dengan sempurna. Pasang pagar untuk mengelakan serangan binatang liar dan ternakan serta potensi kecurian dari penceroboh. Saya telah pun berpengalaman membangunkan projek tanaman nangka di beberapa negeri dengan projek Dusun Nukleus, Projek Kelompok, Projek Pembangunan Tanah Terbiar dan Projek komersil dengan swasta (Sila lihat foto diatas). Tanaman nangka kini semakin popular di Malaysia dimana anda mudah melihat penjual nangka di tepi jalan, pasar malam dan juga pasaraya yang siap dikupas sedia untuk dimakan. 


Jadual 1: Senarai varieti nangka di Malaysia

Daripada Jadual 1 diatas menunjukkan 16 varieti nangka yang terdapat di Malaysia dimana hanya 14 varieti telah berjaya didaftarkan semenjak tahun 1939 lagi dengan Jabatan Pertanian. Mungkin beberapa varieti nangka telah pupus selepas ia didaftarkan kerana nombor pendaftaran terawal adalah J2 kemudian diikuti dengan J27 (didaftar pada tahun 1948) dan J28, J29 serta J30 pada tahun 1973. Penulis dapati hanya varieti yang didaftarkan pada tahun 1973 kini masih ditanam dan juga dikomersilkan seperti Varieti NSI (J31), Varieti Mantin (J32), Varieti Tekam Yellow (J33) dan Varieti Golden Jackfruit atau Uncle Hong (J34) yang kini banyak ditanam dibeberapa lokasi. Varieti Mastura (J37) didaftarkan pada 2005 hasil kajian oleh Dr Zainal daripada USM Pulau Pinang yang mendapat respon baik ketika itu. Sebelumnya dua varieti yang sederhana popular iaiitu Varieti Crystal Jackfruit 1 atau CJ1 (J35) dan Varieti Crystal Jackfruit 6 - CJ6 (J36) pernah juga diperkenalkan untuk ditanam. Terkini beberapa varieti nangka baru telah didaftarkan pada 2013 iaitu Varieti Subang Lao Zhang (J38) dan Varieti Subang Chap Boy (J39) mendapat perhatian ramai setelah menjadi juara dalam Pertandingan Hasil-hasil Pertanian HPPNK 2013 di Kuantan, Pahang. Saya yang menjadi ketua penyelaras dalam pertandingan tersebut telah menerima berpuloh-puloh buah nangka dari banyak varieti untuk dipertandingkan. Anda boleh menbaca artikel saya mengenai tanaman nangka yang ditulis sebelum ini seperti artikel bertajuk Nangka (Sila klik disini), Perosak Nangka (Sila klik disini), Bisnes Nangka Madu (Sila klik disini), Kos Benih Nangka (Sila klik disini), Nangka Mastura (Sila klik disini), Nangka Tekam Yellow - J33 (Sila klik disini) dan Nangka Muda (Sila klik disini). Semuga anda rasa 'hebat' selepas membaca blog ini. Wasallam!.


ADA BANYAK ...VARIETI NANGKA...
TEKAM YELLOW...POPULARNYA...
DAHULU ADA...NANGKA MASTURA...
SUBANG CHAP BOY...BARU SAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Nanggka,
TKPM Lanchang, Temerloh,
Pahang, Malaysia.
(3 Jamadilakhir 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.