Friday, February 21, 2014

IKAN MASIN BULU AYAM

IKAN MASIN BULU AYAM merupakan sejenis ikan masin yang diperbuat daripada Ikan Bulu Ayam (Moustached thryssa / Thryssa mystax) yang popular di Malaysia dan juga Indonesia. Ikan masin ini atau ikan kering bulu ayam sering menjadi pilihan ramai penduduk desa yang amat minat membeli dan makan ikan kering tersebut untuk hidangan makan tengahari, makan malam dan dalam jamuan keramaian. Saya mengenali ikan kering bulu ayam ini (Sila lihat foto diatas) semenjak zaman dulu lagi kerana sering diminta untuk membelinya dikedai runcit dikampong di Muar, Johor.  Ikan masin ini memang betul-betul masin dan ia tahan lama disimpan dalam bekas yang sesuai. Ikan ini merupakan spesis ikan yang diproses menjadi ikan masin yang mudah didapati dikawasan dimana ramai komuniti masyarakat Jawa dan menjadi pilihan yang amat 'biasa' bagi kebanyakan keluarga dikampong. Ikan ini sejak zaman dahulu juga boleh dikatakan sebagai ikan masyarakat (community fish) kerana ia diterima dan dimakan oleh ramai golongan maysarakat daripada yang muda sehingga yang tua. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" tentang ikan masin bulu ayam sebagai satu  memori dan juga teknologi untuk rujukkan anda semua.

Ikan Bulu Ayam merupakan asas kepada pembuatan ikan masin bulu ayam. Ikan segar ini boleh dibeli dipasar basah seperti di Pasar Parit Jawa, Pasar Besar Muar dengan harga yang murah daripada penjaja atau daripada nelayan (Sila lihat foto disebelah). Ikan bulu ayam segar ini memang enak digoreng dengan tepong berkunyit ketika masih segar untuk dijadikan lauk dan di makan dengan nasi. Walau pun ikan ini saya dapati mempunyai banyak duri terutama dekat bahagian kepala, namun durinya lembut dan boleh dikunyah jika digoreng rangup begitu sahaja atau disalut dengan tepong. Ikan kecil dengan badan ada jalur berwarna perak dan berukuran sekitar 10 - 12 cm dimana mempunyai mata besar dikepalanya. Ikan ini perlu dibuang isi perutnya dahulu dan dibasuh sehingga bersih sebelum dibubuh ramuan asas. Lazimnya ia digoreng garing dengan api yang kuat. Apabila siap boleh dihidangkan bersama nasi dan sayur lain. Enak dimakan pada masa tengahari ketika perut sedang lapar dipondok tengah sawah dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Ada juga yang suka makan ikan bulu ayam segar ini dengan resepi masak lemak cili api, masak sambal pedas dan beberapa resepi lagi.

Ikan bulu ayam segar yang banyak ditangkap dengan jaring akan dibuang tahinya untuk dijadikan ikan masin bulu ayam. Ikan ini dibersihkan dan dilumur garam sebelum dijemur dibawah panas matahari untuk beberapa hari atau minggu. Ikan ini dilumur dengan garam halus lagi dan akan diterbalikkan beberapa kali diulang-ulang bagi mempastikan ia cukup kering dikedua belah bahagian sehingga kebahagian kepala (Sila lihat foto disebelah). Kandungan garam dalam ikan masin ini penting sebagai bahan pengawet yang menjadikan ikan ini tahan lama. Oleh itu ikan masin ini perlu dibasuh dahulu untuk membuang rasa masin garam sebelum kita menggorengnya. Ikan masin bulu ayam ini dikumpulkan apabila cukup kering, dibungkus dan diikat dengan bekas kedap udara. Bagaimana pun kini penggunaan alat pengering moden atau Oven digunakan untuk memproses ikan kering. Ia dilakukan jika cuaca hujan berterusan dan tangkapan ikan dengan kuantiti banyak. Negara kita banyak mengimpot ikan ini daripada negara jiran. Ikan masin ini dijual dengan harga runcit antara RM 18.00 - RM 24.00 sekilogram bergantung kepada lokasi, jumlah dan kualiti. Bagaimana pun lazimnya pengguna akan membeli sekitar 200 - 300 gram sahaja untuk kegunaan harian.

Menyediakan masakan ikan kering bulu ayam yang digoreng ini amat mudah kepada mereka yang pandai memasak atau pun yang baaru belajar masak. Mula-mula ambil segengam ikan masin dan dibasuh bersih untuk membuang garam. Kemudian bancuh tepong gandum dengn air sehingga melekit dan masukkan ikan masin tersebut kedalamnya. Sediakan kuali dengan minyak dipanaskan. Kemudian masukkan ikan masin kedalam kuali dan terbalikan sehingga cukup masak. Jangan terlalu lama dalam kuali kerana ia akan hangus dan hilang rasa asli ikan masin tersebut. Apabila masak perlu ditoskan dari minyak dan sedia untuk dihidangkan. Selain daripada dimakan dengan nasi putih biasa, ikan masin bulu ayam ini sesuai untuk dijadi lauk dalam 'BERKAT' atau bungkusan makanan uang diberikan kepada tetamu yang datang kenduri perkahwinan. Ikan kering bulu ayam ini juga merupakan satu daripada komponen penting dalam sajian NASI AMBENG (Sila lihat foto dibawah). Ia dihidangkan bersama dengan nasi putih, ayam masak kicap atau masak sambal, serunding, mee kenduri, mee goreng, sayur kacang, terung goreng dan sebagainya yang dibungkus dengan daun pisang. Makan nasi ambeng menjadi kebangaan masyarakat jawa dan kini telah di komersilkan dibanyak lokasi jualan. Begitulah kepentingan ikan masin bulu ayam dalam kehidupan harian untuk memori kali ini. Wasallam! 


IKAN BULU AYAM...DIKERINGKAN...
MENJADI MASIN...JADI PILIHAN...
DISALUT TEPONG...DIGORENG...
SATU LAUK...DALAM NASI AMBENG...  

By,
M Anem,
Senior Agrologist,
Kg Parit Bengkok, Gersik,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(16 Rabiulakhir 1435H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.