Wednesday, February 12, 2014

GUAVA - PINK GUAVA

PINK GUAVA atau Jambu Merah Jambu adalah satu varieti Jambu Batu (Psidium guava Linn) yang popular di tanam untuk pembuatan jus minuman. Jambu Batu ini pernah di tanam secara komersil oleh syarikat perladangan yang besar di Layang-layang, Johor sekitar awal tahun 1980'an untuk menghasilkan jambu merah jambu yang di proses bagi dijadikan jus. Kini Sime Darby Bevereages Sdn Bhd. adalah satu-satunya syarikat yang mempunyai ladang pink guava seluas 500 hektar di Sungai Wangi Estate, Setiawan, Perak. Ia merupakan satu ladang pink guava yang terbesar diduina pada satu lokasi. Ladang yang dibuka pada tahun 2006 ini menghasilkan buah jambu pink guava sebanyak 9 juta kilogram setahun merupakan ladang pink guava terluas didunia. Ladang ini menghasilkan sebanyak 15% pengeluaran puree pink guava dunia.  Varieti Jambu Batu 'Pink Guava' ini saya tidak pasti sama ada masih belum didaftarkan dalam senarai National Plant Variety Registration yang ujud di Jabatan Pertanian Malaysia atau sudah didaftarkan. Terdapat 14 varieti jambu batu yang didaftarkan iaitu dari GU1 hingga GU16 tetapi varieti pink guava tidak diperjelaskan namanya. Dalam saya membuat pemantauan di beberapa Stesyen Pusat Pertanian terutama di Repositori Jambu Batu di Pusat Pertanian Lekir masih terdapat koleksi jambu batu pink yang original. Saya juga menjumpai pokok jambu batu 'pink guava' ini di beberapa kawasan rumah penduduk kampung di Johor, Melaka, Selangor dan Perak yang sah memang jenis jambu batu varieti tersebut. Daripada rekod statistik Jabatan Pertanian, terdapat sekitar 1,450 hektar keluasan tanaman jambu batu di Malaysia pada tahun 2013 dengan anggaran hasil sebanyak 10 - 20 ribu metrik tan. Kebanyakan jambu batu jenis makan segar yang dilaporkan pada saya adalah jambu batu dari varieti GU8 (Kampuchea), GU 16 (Lo Han) dan beberapa varieti tempatan lain. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman jambu batu 'Pink Guava' yang mana jusnya amat digemari oleh seluruh penduduk dunia sebagai minuman berkhasiat.


Varieti Jambu Batu varieti Pink Guava mempunyai pokok yang tidak jauh bezanya dengan pokok jambu batu biasa. Pengurusan agronomi dan lain-lain adalah hampir sama cuma jambu ini tidak perlu dibalut sebiji-sebiji macam pembungkusan jambu batu varieti GU8 dan GU16 untuk penghasilan produk segar. Benih tanaman lazimnya adalah daripada tut (marcotting) daripada pokok induk yang dikenalpasti mempunyai hasil yang tinggi, subur dan tahan dari serangan perosak. Jarak penanaman sekitar 3m x 3m atau disesuaikan mengikut jenis tanah dan cara pengurusan (Lihat foto sebelah). Apa yang penting dalam penanaman jambu batu adalah aktiviti membuat cantasan pembentukkan dan cantasan penyelenggaraan. Ini bagi mempastikan bentuk dan ketinggian pokok sesuai dan mudah untuk diuruskan. Aktiviti mencantas perlu dijalankan mengikut jadual dan musim pengeluara, Kajian menunjukkan jambu batu mampu menghasilkan buah sepanjang tehun tetapi berlaku juga masa penghasilan tinggi dan rendah kerana faktur cuaca dan juga pengurusan.


Buah jambu pink guava adalah berbentuk bulat dan lonjong dengan kulitnya berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada kekuningan apabila masak (Sila lihat foto sebelah). Saiz buah jambu ini kecil iaitu sekitar 5 - 8 cm garispusat iaitu jauh lebih kecil daripada buah jambu batu Kampuchea apa lagi dengan Jambu Batu Lo Han (Giant). Dibahagian hujung buah ia lazimnya mempunyai bekas kudup bunga yang masih melekat walau pun buahnya telah masak. Buah yang masak lazimnya akan gugur ketanah selepas sangat ranum walau pun isinya masih boleh digunakan untuk membuat puri (puree) pink guava. Bergantung kepada pihak pengurusan, lazimnya jambu pink guava memang tidap perlu dibalut dan dikawal serangan lalat buah dengan teknologi lain yang sesuai. Walau pun saya belum berpeluang melawat ladang Sime Darby Bevereages di Setiawan, saya akan cuba melawat estet tersebut bila berkelapangan nanti. Penanaman jambu pink guava diladang ini diutuskan secara 'pengurusan estet' dengan kepakaran yang mereka garap sejak tahun 2006 dan merupakan antara yang terbaik didunia.


Buah jambu pink guava ini di tanam untuk menghasilkan buah yang kemudiannya untuk khusus diproses. Buah ini kurang sesuai untuk dimakan segar seperti varieti Kampuchea atau varieti Lohan. Buah jambu ini akan masak diatas pokok dimana buah yang telah matang akan dipetik secara manual atau menggunakan mesin khas. Terdapat juga buah yang masak ini dibiarkan gugur (sub-grade) diatas tanah sebelum dikumpulkan dan digredkan. Buah-buah ini akan dibawa kekilang untuk di basuh, dibersihkan dan seterusnya di proses untuk dijadikan puree (puree ini akan diproses menjadi pelbagai produk lain). Syarikat Golden Hope Food and Bevereges Sdn Bhd ini (lihat foto dibawah) merupakan pengeluar produk 'pink guava puree' yang terbesar didunia dengan menguasai 15% pasaran dunia. Syarikat ini juga menghasilkan jus minuman dan kordial berjenama 'Sunrise' berasaskan jambu batu pink guava yang dipasarkan danam dan luar negara (Lihat foto sebelah). Saya beberapa kali membeli produk ini di pasaraya dan memang amat suka akan citarasanya dan aromanya. Minuman yang berkhasiat ini banyak mengandungi vitamin, garam mineral dan serat baik untuk kesihatan. 


Produk puree yang dihasilkan dari pink guava ini dikeluarkan oleh syarikat ini dengan kawalan kualiti untuk pasaran dunia (Sila lihat foto sebelah). Kilang dapat beroperasi sepanjang tahun kerana buah pink guava memang dapat keluar sepanjang tahun walau pun kuantiti turun naik mengikut musim. Antara masaalah tanaman jambu pink guava sama seperti pokok jambu batu yang lain adalah serangan Lalat Buah (Daucus spp), Serangan Nematod, Serangan haiwan (Tikus) dan beberapa jenis penyakit. Bagaimana pun untuk dijadikan puree, semburan racun kimia tidak digalakkan dan kaedah lain kawasan musuh perosak dan rumpai perlu dijalankan melalui Kawalan Perosak Bersepadu (IPM). Sehingga kini memang telah ada usaha untuk menggalakkan penanaman pink guava oleh pekebun kecil tetapi masaalah kawalan kualiti dan 'consistent supply' sering menjadi halangan sebarang kerjasama untuk mengoperasikan kilang memproses puree. Selamat berjaya kepada syarikat tersebut yang kini mencapai tahap terbaik penanaman jambu pink guava di Malaysia. Wasallam!



JAMBU PINK GUAVA...CANTIKNYA...
BERSAIZ KECIL...PINK DIDALAMNYA...
DI BUAT PUREE...BANYAK EKSPOTNYA...
PETANI KECIL...BELUM MENCUBANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 505, Hotel D,
526, Lebuh SIBC,
Bandar Seri Iskandar, 
Perak, Malaysia.
(11 Rabiulawal 1435H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.