Friday, February 28, 2014

APAKAH AKTA RACUN MAKHLUK PEROSAK?

Apakah yang dimaksudkan dengan racun makhluk perosak?
Racun makhluk perosak ialah racun makhluk yang meliputi semua racun serangga, racun kulat, racun rumpai, racun tikus, racun siput dan racun makhluk lain yang digunakan dalam bidang pertanian, sektor kesihatan umum, sektor perhutanan dan yang di-gunakan dalam rumah.

Apakah Akta Racun Makhluk Perosak 1974?
Akta Racun Makhluk Perosak 1974 ialah satu undang-undang yang digubal bagi mengawal berbagai aspek yang berkaitan dengan racun makhluk perosak yang mana meliputi: -

i) pengimportan, pengilangan racun makhluk perosak melalui pendaftaran dan pengeluaran permit

ii) pengawalan, penjualan dan penyimpanan melalui kaedah-kaedah pelesenan

iii) pengawalan residu racun makhluk perosak dalam bahan makanan, melalui cerakinan dan persampelan hasil pertanian

iv) menjalankan penyiasatan berkaitan dengan kes-kes keracunan yang disebabkan oleh racun makhluk perosak

v) penguatkuasaan undang-undang berkaitan

vi) pengawalan iklan racun makhluk perosak di media massa

vii) pengawalan label racun makhluk perosak melalui Peraturan Perlabelan

viii) pengawalan pengendali kawalan makhluk perosak.


Apakah objektif/matlamat Akta ini?
Matlamat Akta adalah seperti berikut:-
i) mengawal perkilangan, penjualan dan penyimpanan racun makhluk perosak di negara ini

ii) memastikan racun makhluk perosak adalah berkesan sebagaimana didakwa pada label

iii) mengawal pemalsuan racun makhluk perosak dari segi kandungan, kepekatan bahan aktif, kemujaraban serta lain-lain sifat yang terdapat pada sesuatu racun makhluk perosak

iv) mengawal residu racun makhluk perosak dalam makanan untuk kegunaan tempatan dan juga untuk eksport

v) mengawal bahaya racun makhluk perosak ke atas pengguna, pengendali, orang awam, ternakan, punca-punca air dan juga alam sekitar.



Apakah peruntukan-peruntukan yang telah dilaksanakan di bawah Akta ini?
Peruntukan-peruntukan tersebut adalah: -

i) Pendaftaran racun makhluk perosak

ii) Pengeluaran permit mengimport racun makhluk perosak untuk tujuan penyelidikan pelajaran dan atau sebagai contoh atau piawaian cerakinan

iii) Pemantauan residu dalam hasil pertanian

iv) Penyiasatan ke atas kematian dan bencana racun makhluk perosak

v) Pengawalan iklan makhluk perosak

vi) Pengawalan pengendalian kawalan makhluk perosak

vii) Pengawalan label racun makhluk perosak

viii) pengawalan semburan udara racun makhluk perosak.


Apa dia pendaftaran racun makhluk perosak?
Ia adalah suatu skim untuk mendaftarkan racun makhluk perosak yang diluluskan untuk diimport, dikilang, dijual dan digunakan di dalam negara ini yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian di bawah arahan Lembaga Racun Makhluk Perosak.


Apakah tujuan pendaftaran ini dijalankan?
Skim pendaftaran racun makhluk perosak adalah bertujuan menentukan racun makhluk perosak yang dipasarkan adalah berkesan seperti mana didakwa oleh pihak syarikat yang mendaftar dan selamat dikendalikan dengan syarat segala garis panduan dan peraturan penggunaanya dipatuhi.

Pendaftaran juga bertujuan untuk memastikan racun makhluk perosak yang didapati di pasaran itu mengandungi perawis aktif tertentu dalam kuantiti yang betul seperti yang dinyatakan di label dan dalam perumusan-perumusan yang sesuai dan diisi dalam bekas-bekas yang sesuai dan berlabel.


Apakah yang dimaksudkan dengan racun makhluk perosak yang diluluskan?
la adalah racun yang pada pendapat Lembaga berkesan untuk tujuan penggunaannya dan secara relatifnya selamat untuk digunakan dan boleh dijual di negara ini dengan mematuhi syarat-syarat tertentu.


Apakah jenis racun makhluk perosak yang dikawal oleh pendaftaran ini?
Penguatkuasaan pendaftaran pada 1 hb. April, 1981 ini meliputi semua racun serangga, racun kulat, racun rumpai, racun tikus, racun siput dan lain-lain yang digunakan dalam bidang pertanian, haiwan, kesihatan umum, rumahtangga dan lain-lain. Oleh yang demikian lingkaran nyamuk, bahan pengewasapan, aerosol dan minyak yang digunakan sebagai racun serangga mestilah semuanya didaftarkan.


Bagaimana hendak tahu sama ada sesuatu racun makhluk perosak itu telah didaftar?
Suatu racun makhluk perosak yang berdaftar mempunyai label yang membawa satu nombor pendaftaran (No. Pendaftaran LRMP.R1/..........) dan kenyataan-kenyataan lain seperti nama racun, kepekatan perawis aktif, kenyataan amaran dan aturan menggunakannya.


Bilakah tarikh penguatkuasaan?
Mulai daripada 1 hb April 1981 di Semenanjung dan 1 hb Januari 1982 di Sabah dan Sarawak, hanya racun makhluk perosak yang berdaftar sahaja dibenarkan untuk diimport atau dikilang, dirumus, dibungkus, dibungkus semula atau dilabel di Malaysia. Racun makhluk perosak yang tidak berdaftar tidak boleh dijual di pasaran tempatan.


Apakah hukuman mengimport dan mengilang racun makhluk perosak yang salah jenama atau tidak didaftarkan?
Bagi kesalahan pertama, seseorang boleh dipenjarakan selama lima tahun atau didenda sebanyak $50,000 dan pada kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dipenjarakan selama sepuluh tahun atau didenda sebanyak $100,000 atau kedua-duanya sekali.


Bolehkah anda mengimport racun makhluk perosak yang tidak berdaftar selepas tarikh tersebut?
Ya, boleh! Mengjkut Seksyen 14 Akta, seseorang dibenarkan mengimport sesuatu racun makhluk perosak yang tidak berdaftar bagi maksud-maksud pelajaran, penyelidikan atau sebagai contoh pendaftaran atau piawaian cerakinan sahaja. Walau bagaimanapun, beliau mestilah terlebih dahulu mendapatkan suatu permit daripada Jabatan Pertanian.


Apakah permit mengimport racun makhluk perosak?
Permit mengimport racun makhluk perosak adalah satu permit/kebenaran yang dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Racun Makhluk Perosak 1974 (Pengimportan Bagi Maksud-Maksud Pelajaran, Penyelidikan Atau Sebagai Contoh Pendaftaran atau Piawaian Cerakinan) bagi seseorang yang berhasrat mengimport racun makhluk perosak.


Apakah yang dimaksudkan dengan permit mengimport?
Permit import ini hanya dikeluarkan bagi tujuan Pelajaran, Penyelidikan atau sebagai Contoh Pendaftaran Atau Piawaian Cerakinan. Permit ini tidak dikeluarkan untuk membolehkan racun makhluk perosak diimport untuk tujuan jualan dalam pasaran tempatan. Bagi membolehkan se­suatu racun makhluk perosak itu dijual, ia mestilah di­daftarkan terlebih dahulu dengan pihak Lembaga.



Apakah hukuman yang boleh dikenakan sekiranya melanggar peraturan ini?
Bagi kesalahan pertama, seseorang yang melang­gar peraturan ini boleh dikenakan penjara sehingga 6 bulan atau didenda sebanyak RM5,000, dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya ia boleh dipenjarakan sehingga satu tahun atau didenda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


Apakah yang dimaksudkan dengan residu racun makhluk perosak dalam makanan?
Residu racun makhluk perosak adalah merupakan lebihan daripada kuantiti/kadar/kekuatan atau kepekatan yang ditentukan bagi sesuatu racun makhluk perosak dalam makanan.


ADA AKTA....PENTING DIBACA...
UNTUK KESELAMATAN...JUGA...
JABATAN PERTANIAN...JAGA...
SUDAH FAHAM...KITA GEMBIRA... 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Jambu Rias,
Karak, Bentong,
Pahang, Malaysia.
(28 Rabiulawal 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.