Sunday, January 26, 2014

NASI DAGANG


NASI DAGANG merupakan sejenis makanan tradisional berasaskan nasi yang amat digemari oleh ramai rakyat Malaysia. Sejarah asal usul nasi dagang dipercayai kerana ia adalah untuk diper'dagang'kan (Trading rice) yang boleh mengenyangkan, tahan lama dan enak dimakan bila-bila masa. Hidangan ini dahulu popular di Terengganu, Kelantan dan Kawasan Selatan Thailand (Sekitar Narathiwat, Songkla dan Pattani). Kini nasi dagang telah dimakan diseluruh Malaysia sehingga anda boleh jumpa nasi dagang di Kucing, Kota Kinabalu, Singapura dan Brunei. Kalau dahulu di pantai timur ramai nelayan akan makan nasi dagang untuk turun kelaut atau membawa bekalan, kini pegawai kerajaan di pejabat, pekerja kilang, pelajar sekolah, pemandu lori, tetamu hotel dan ramai lagi makan nasi dagang. Walau pun lazimnya nasi dagang di makan untuk sarapan pagi, kini nasi dagang ada dijual di pasar tani dan pasar malam pada waktu petang dan malam. Makan nasi dagang memang mengenyangkan pada jangkamasa yang lama berbanding dengan makanan lain. Banyak tenaga yang ada pada nasi dagang dan sesuai untuk mereka yang bekerja berat. Nasi dagang juga sehebat nasi lemak, nasi kerabu dan nasi minyak yang menjadi kesukaan rakyat Malaysia. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai nasi dagang yang menjadi kegemaran saya serta anda semua.


Hidangan nasi dagang menggunakan asas Nasi, Lauk (Ikan atau Ayam) serta acar timun. Saya dapati Nasi Dagang Ikan Tongkol merupakan resepi yang paling popular dikalangan ramai. Bagaimana pun mereka yang tidak suka ikan akan makan nasi ayam gulai ayam (Lihat foto sebelah). Walau pun terdapat perbezaan antara keduanya, tetapi yang paling jelas lagi adalah perbezaan antara resepi Nasi Dagang Terengganu dan Nasi Dagang Kelantan dari segi nasi dan kuahnya. Dalam banyak-banyak nasi dagang, pada saya nasi dagang ikan tongkol Ala Johor seperti di Mersing paling sedap kerana ia lebih pedas dan sesuai dengan selera orang Johor. Nasi dagang kini banyak bergantung kepada resepi yang digunakan seperti ikan tongkol segar, jenis kari gulai digunakan dan cara masakkan. 


Selain daripada dihidangkan dalam pinggan, nasi dagang kini popular dibeli dari gerai dengan bungkusan yang agak unik. Lazimnya nasi dagang tradisional di pantai timur dibungkus dengan lapisan daun pisang diluar dengan kertas suratkhabar atau kertas minyak. Unik kerana ia dibungkus dalam bentuk 'Kon' dengan saiz kecil (Lihat foto sebelah). Didalamnya terdapat nasi dagang, acar, ikan tongkol dan kuah (Kadang-kadang kuah dibungkus dalam plastik dan diletakkan diluar). Bergantung kepada kuantiti, kualiti, lokasi dan resepi, harga sebungkus nasi dagang sekitar RM 2.00 - RM3.00 sahaja. Nasi ini tahan lama jika dibeli waktu pagi dan dimakan pada waktu petang. Kaedah pembungkusan nasi dagang moden adalah menggunakan bekas kotak polistyrene seperti di pasar malam dan pasar tani. Ianya berharga sekitar RM 3.50 - RM 5.00 di Pasar Tani Mega, Putrajaya. Pada saya keenakan nasi dagang pada nasi dan kuah gulainya iaitu ada rasa lemak, pedas, manis dan masin yang mencukupi.

Saya merujuk kepada beberapa buku dan lamanweb untuk membuat nasi dagang. Saya suka memilih resepi Nasi Dagang Terengganu dengan kadar untuk 25 orang makan. Bagi menyediakan nasi perlu disediakan 1 gantang (2.7kg) beras wangi (eg: brand Sunwhite) dibasuh dan direndam selama 8 - 9 jam. Bahan lain adalah segenggam bawang merah setelah dimayang ( lebih kurang 12 ulas), 1 - 2 inci halia (dihiris halus-halus panjang), 1 - 2 sudu besar halba, Santan dari 3 biji kelapa ( santan pekat satu cetong(lebih kurang 900ml) dan santan cair satu setengah cetong), 1 sudu besar gula dan akhirnya segenggam garam. Bagi penyediaan bahan untuk lauk pula diperlukan 4 ekor ikan tongkol yang besar direbus bersama satu keret besar nisan, segenggam asam gelugur dan garam secukup rasa, air rebusan disimpan untuk dimasukkan dalam masakan kuah nanti. Bahan untuk Kuah pula adalah 1 senduk nasi penuh serbuk ketumbar, 1/2 senduk nasi serbuk jintan manis, segenggam lengkuas setelah dihiris, 1 inci kunyit hidup (atau 1 sudu besar kunyit serbuk), 1 labu bawang putih (yang besar), 2 inci halia, 3/4 kilo bawang merah lebih sedikit, 1 1/2 bungkus cili boh yang RM1.20 sebungkus, kerisik dari 1/2 biji kelapa
-4 keret besar nisan, santan dari 4 biji kelapa ( kepekatan biasa, jangan cair) dan 2 inci kulit kayu manis. Bahan untuk Acar terdiri dari 3 biji timun, 1 batang karot, 3 biji cili merah besar, 2 potong nenas, 1/4 kobis (setelah dipotong-potong digaul bersama garam gula dan cuka secukup rasa) dan akhirnya telur rebus sebanyak 12 - 13 biji.

Cara-cara memasak kuah dengan semua bahan untuk kuah di'blender' kecuali kerisik, nisan, santan dan kulit kayu manis. Kemudian masak santan hingga naik minyak sedikit barulah dicampur bahan-bahan yang diblender, kerisik, nisan dan kulit kayu manis. Setrusnya masak biar lama (api perlahan) bila santan surut separuh diisi air lagi hingga paras yang pertama, step ini diulang lagi selepas air surut separuh lagi baru letak ikan yang direbus bersama air rebusan dan separuh dari asam gelugur yang diguna untuk rebus ikan, air ditambah lagi sehingga paras pertama dan dimasak api perlahan sehingga kuah pekat dikacau sekali-sekali. Pastikan untuk masak kuah makan masa yang agak lama iaitu lebih kurang 7 jam. Ini dilakukan dengan yang demikian kuah menjadi warna gelap dan tulang ikan reput macam sardin di dalam tin. Lagi lama ia direneh makan akan lebih enak rasa kuah nasi dagang kerana sebati.

Cara-cara memasak nasi dagang juga dimulakan dengan basuh beras dan kemudian beras yang direndam 8 jam dibilas dan dikukus kosong sehingga masak. Seterusnya ia diangkat dan digaul rata dengan santan cair, bawang merah yang dimayang dan halba (Sila lihat foto sebelah). Seterusnya ia dikukus sekali lagi sehingga masak dan diangkat dan digaul bersama santan pekat (diperolehi dengan memerah santan menggunakan air masak) yang sudah dicampur gula dan garam. Nasi yang sudah siap kemudaian disenduk dan masukkan kedalam bekas. Ada yang mentanak nasi dagang dengan cara biasa seperti mask nasi tetapi paling baik adalah dengan dikukus. Cara paling biasa untuk menghidangkan nasi dagang adalah dengan mengambil nasi dibubuh pada pinggan, tuangkan kuah dengan isi ikan dan diletakkan acar. Kalau makan dengan tangan memang enak sekali terutama semasa semuanya masih suam-suam panas. Kalau hendak dibungkus sebaiknya kuah diasingkan dalam bungkusan plastik yang berasingan. Selamat makan Nasi Dagang... Wasallam!. 
 
NASI DAGANG... ENAK SEKALI...
IKAN TONGKOL...KUAH KARI...
ADA HALBA...ACAR DIBERI...
HARGA MURAH...IKUT RESEPI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kedai Nasi Dagang elayan,
Pengkalan Batu, Mersing,
Johor, Malaysia.
(19 Rabiulawal 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.