Thursday, January 16, 2014

KACANG TANAH - TEKNOLOGI MENANAM (Part 1)


KACANG TANAH (Arachis hypogaea) merupakan tanaman singkat masa yang ssemakin kurang dijalankan oleh petani di Malaysia. Keluasan tanaman ini mengikut laporan ststistik jabatan Pertanian sekitar 80 - 100 hektar setahun kerana banyak kawasan penanaman kacang tanah tradisional telah menukar tanaman mereka kepada tanaman jagung manis dan sayur-sayuran daun. Tanaman kacang tanah sesuai dijadikan tanaman selingan (crop rotation) iaitu satu kali dalam satu tahun disesetengah kawasan untuk mencegah serangga perosak, penyakit dan meningkatkan kesuburan tanah. Bagi kawasan tanah sawah atau kawasan tanaman tembakau, ia digunakan sebagai tanaman gantian yang popular di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Di Perak dan Kedah pula penanaman kacang tanag dilakukan pada musim kering dimana tahap keperluan air kacang tanah bergantung pada air hujan. Kadar hujan sekitar 100 -150 mm sebulan mencukupi pada peringkat awal penanaman sementara kadar sebanyak 50 -100 mm sebulan pada peringkat reproduktif. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman kacang tanah sebagai panduan petani dan semua pihak.

Benih kacang tanah yang digunakan adalah benih yang berasal dari varieti disyorkan seperti Margenta, Menglembu dan sebagainya. Bagaimana pun di negara Indonesia terdapat banyak varieti berpotensi hasil tinggi seperti Varieti Gajah, Macan, Kidang, Biawak, Kancil dan Turangga. Pemilihan varieti sebaiknya dinilai dari segi potensi hasil dan tahap kesesuaiannya dengan kawasan tanah serta ketahanan serangan perosak dan penyakit serta harga pasaran. Kajian menunjukkan bagi kacang tanah untuk produk digoreng misalnya lebih baik digunakan varieti berbiji dua dengan bentuk biji dan kelongsong yang baik. Kadar jumlah benih tergantung pada ukuran biji sekitar 80 kg biji/ha atau 120 kg/ha dengan kadar percambahan benih lebih 80 %. Tanah perlu dibajak 2 kali sedalam 15-20 cm dirotor serta diratakan dan sebaiknya dibina batas atau alor air sedalam 30 cm dan lebar 20 cm. 

Penanaman kacang tanah dengan jarak tanam 40cm x 15 cm atau 40cm x 10 cm dengan benih satu biji setiap lubang sehingga kepadatan tanaman sekitar 250,000 sehektar. Penanaman juga dapat dilakukan secara baris ganda (50 cm x 30 cm) x 15 cm juga dengan kadar satu biji benih selubang. Cara menanam dengan menugal sedalam 3-5 cm dengan kayu tajam dimana kemudian lubang tanam ditutup dengan tanah. Pembajaan kacang tanah pada umumnya boleh gunakan kadar baja iaitu sebanyak 50 kg Urea, 50 Kg SP 36 dan 50 Kg KCL serta 125 gram baja bio (rhizonut) dan baja organik dengan kadar secukupnya. Semasa memberi baja ia boleh ditabur disekiling pokok atau diantara barisan tanaman. bagi jenis tanah masam atau pH tanahnya rendah maka perlu diberikan kapor dolomit sebanyak 300 - 500 kg/ha dengan cara ditaburkan merata pada saat pengolahan tanah akhir.

Merumput, mengemburkan dan manaikan tanah pada pangkal pokok kacang tanah perlu dijalankan sebanyak 2 kali selama pertumbuhan tanaman. Merumput dilakukan kali pertama pada umur tanaman berumur 15 HST (Hari Lepas Tanam) sebelum tanaman berbunga atau bergantung keadaan rumpai. Mengawal rumpai boleh dilakukan dengan tajak, rotovator (sila lihat foto disebelah) atau cangkul. Penggunaan racun rumpai untuk kawal rumpai dikebun kacang tanah memang tidak dibenarkan. Kerja merumput kedua dijalankan pada 45 HST setelah bunga kacang tanah telah masuk ke dalam tanah. Elakkan menimbus tanah sebelum proses pendebungaan selesai kerana ini menyebabkan buah tidak akan terbentuk. Menimbus tanah dilakukan ketika kerja merumput dengan mengambil tanah dikeliling batas diletakkan diatas dahan dengan ketebalan sesuai. 
Bersambung pada Artikel berikut - Part 2 (Sila klik disini).



KACANG TANAH...APA TEKNOLOGINYA...
DI MALAYSIA...KURANG MENANAMNYA...
SAYA PAPARKAN... BACAAN BERSAMA...
BUAT RUJUKKAN.... UNTUK SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Kacang Tanah,
Kg Sialang, Tangkak,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(19 Rabiulawal 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.