Tuesday, January 7, 2014

CILI PADI - VARIETI

CILI PADI (Capsicum frustecens Linn) merupakan sejenis tanaman daripada keluarga Solanaceae yang memberikan rasa pedas kepada makanan. Tanaman cili padi mempunyai banyak musuh dan penyakit jika ditanam secara komersil dan tidak mempunyai teknologi yang sesuai. Pengalaman penulis yang banyak kali menanam cili padi mendapati di antara masaalah utama adalah serangan Penyakit Kerinting Daun dan pokok akan cepat mati selepas itu. Banyak teknologi yang telah diaplikasi tetapi belum jumpa yang betul-betul 'baik punya' untuk mengatasi masaalah ini, Bekalan cili padi yang kurang dan serangan penyakit menyebabkan harga cili padi tidak pernah jatuh. Nama lain bagi Cili padi adalah seperti Cili api, Cili rawit (Lombok Rawit), Cabai burung, Lada Jarum atau Lada Tunggeng (kerana buahnya dalam keadaan terbalik) dan bermacam lagi. Pemerhatian yang dibuat saya dapati cili padi ini merupakan sejenis tumbuhan sangat popular di Asia Tenggara terutama di Malaysia, Indonesia dan Thailand.  Penanaman cili padi di Malaysia tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasannya kerana tidak spesifik dilaporkan (bersama dengan cili merah atau cili besar). Penanaman cili padi dibuat untuk bekalan tempatan dan menerima permintaan yang tinggi dikalangan masyarakat tempatan setiap hari. Artikel petang ini saya berfikir dan menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa jenis cili padi yang boleh dijadikan panduan anda.


Cili Padi bukan merupakan tanaman asal Malaysia tetapi dipercayai dari Mexico, Peru dan Bolivia tetapi sekarang sudah tersebar diseluruh dunia. Cili merupakan komoditi pertanian yang penting dalam masyarakat kita dan oleh hampir seluruh lapisan masyarakat Asia Tenggara dalam masakan harian. Saya fikir tanpa cili termasuk cili padi memang makanan tidak sedap langsung. Setahu saya jumlah nilai pengeluaran cili tempaan dan cili kering impot di negara kita bernilai ratusan juta ringgit setahun. Jumlah peredarannya di pasaran sangat besar dimana ia mudah dibeli di pasar basah, pasar malam, pasar tani dan juga Hypermarket. Walaupun pengeluarannya tinggi tetapi kadang kala bekalan cili tidak mencukupi yang menyebabkan harga naik diluar logik. Saya akan bincang beberapa jenis cili padi yang terdapat di negara kita dan negara jiran untuk rujukkan.


JENIS CILI PADI 
Cili Padi sering juga disebut sebagai 'Hot Chili' kerana mempunyai rasa kepedasan yang sangat pedas. Ukuran kepedasan cili padi sekitar 50,000 - 100,000 SHU (Scoville Heat Unit). Kandungan bahan kimia dikenali sebagai 'Capsaicin' merupakan bahan yang menimbulkan rasa pedas apabila kena dengan air liur pada bibir, mulut dan mata. Seperti halnya cili besar, cili padi  juga ada beberapa jenis (varieti belum dijelaskan lagi) dan umumnya dikelompokkan menjadi EMPAT jenis iaitu Cili Padi Kecil, Cili Padi Putih, Cili Padi Hijau dan Cili Padi SIAM. Cili Padi Merah pula adalah berlaku pada kebanyakan jenis cili apabila ia cukup matang.


(1) Cili Padi KECIL/ MINI
Jenis ini sesuai dengan namanya mempunyai bentuk buah cili yang memang kecil dan pendek. Ukuran panjangnya hanya 1-2 cm saja dengan bentuk buah yang bulat dan menirus dihujungnya. Buah cili jenis ini semasa muda biasanya berwarna hijau dan berubah menjadi merah tua kecoklatan bila masak (Lihat foto sebelah). Walaupun saiznya memang kecil, saya dapati cili jenis ini mempunyai tahap rasa paling pedas di antara semua jenis cili padi. Ini juga saya pasti yang menyebabkan timbul peribahasa 'Kecil-kecil Cili Api" yang bermaksud dan mengesahkan akan tahap kepedasannya. Belum ada sesiapa membuat pendaftaran varieti cili padi mini kecuali Cili Varieti Semerah (CA8) secara khusus dilakukan di Malaysia (Sila rujuk artikel berkaitan - Sila Klik disini dan Klik disini).

(2) Cili Padi PUTIH
Cili Padi atau Cili Api ini mempunyai bentuk buah yang panjang tirus (langsing) dan mempunyai ukuran sekitar 4-6 cm (Sila lihat foto sebelah). Apa yang saya buat pemerhatian, didapati buahnya berwarna kuning keputih-putihan bila masih muda dan berubah menjadi merah kekuningan setelah masak. Menurut beberapa petani dan peraih, cili padi jenis ini paling enak bila digunakan dibuat sambal kicap dan juga sambal bakso. Kajian dengan beberapa usahawan membuat sos cili padi mendapati mereka lazimnya lebih suka menggunakan cili padi putih ini. Ini disebabkan warna sosnya tidak kotor dan mampu menarik perhatian pelanggan. 

(3) Cili Padi HIJAU
Buah cili padi Hijau ini saiznya agak besar dan gemuk dengan panjang sekitar 3 - 4 cm. Jenis ini sesuai dengan sifatnya iaitu semasa cili masih muda buahnya berwarna hijau tua (Lihat foto sebelah). Cili ini hanya berubah menjadi merah tua setelah cukup masak tetapi lazimnya ia matang dalam keadaan hijau juga sebelum masak penuh (Full ripening). Kajian penulis mendapati tahap kepedasan cili padi hijau ini adalah lebih pedas dari cili padi putih akan tetapi saya apati ia masih kalah dengan cili padi kecil. Saya suka akan jenis cili padi hijau yang sesuai dibuat Nasi Goreng Kampong atau Nasi Goreng Cili Padi dan juga untuk dibuat sambal kicap Ala Johor untuk cecah goreng pisang panas.

(4) Cili Padi SIAM
Buah cili padi atau cili api SIAM ini agak besar dan paling panjang saiznya dengan panjang sekitar 3 - 6 cm (Sila lihat foto sebelah). Cili Padi Siam merupakan jenis yang paling banyak dijual di Malaysia kerana ia diimpot dari Thailand dengan kuantiti yang banyak. Cili api Siam ini dijual dengan harga paling murah dipasaran iaitu sekitar RM 6 - RM 8 sekilogram. Cili ini semasa muda buahnya berwarna hijau tua dan berubah menjadi merah tua setelah masak. Rasa tahap kepedasannya adalah 'Paling Kurang Pedas' dengan semua jenis yang lain. Cili jenis ini paling banyak dan sesuai untuk masakan Ala-Thai seperti Tomyam Campur, Kailan Ikan Masin, Sup Sayur dan Ikan Tiga Rasa. Malaysia mengimpot cili api Siam dengan nilai jutaan ringgit setahun melalui Bukit Kayu Hitam dan pintu masuk yang lain.

Demikianlah coretan saya mengenai beberapa jenis cili padi yang dapat saya paparkan untuk entry kali ini. Info  ini diharap dapat mendedahkan kepada pembaca semua akan maklumat yang perlu diketahui. Wasallam!

Cili Siam pada hidangan tomyam.
CILI PADI... MEMANG PEDASNYA...
ADA 4 JENIS...MINI, PUTIHNYA...
JENIS HIJAU...SIAM PUN ADA...
KALAU MENANAM..PILIH MANA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(2 RabiulAwal 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.