Monday, December 2, 2013

Kelapa Sawit (Part 2)

Kelapa Sawit (Elaeis guineensis) adalah tanaman utama di Malaysia pada masakini. Kelapa sawit terdiri daripada dua spesies Arecaceae atau famili palma yang digunakan untuk pertanian komersil dalam pengeluaran minyak kelapa sawit. Kelapa sawit Afrika (Elaeis guineensis) adalah jenis yang berasal dari Afrika Barat di antara Angola dan Gambia. Sementara itu Kelapa Sawit Amerika (Elaeis oleifera) pula adalah berasal dari Amerika Tengah atau pun Amerika Selatan. Terdapat seluas 4,691,160 hektar tanaman kelapa sawit di Malaysia pada tahun 2012 berbanding cuma 642,00 hektar direkodkan pada tahun 1975. Pada masa ini Negeri Sabah merupakan kawasan utama tanaman sawit di Malaysia (1.362 juta ha atau 29.7%) diikuti dengan Sarawak (0.840 juta hektar atau 16.6% ) dan Johor (0.712 juta hektar atau 15.32%). Negeri paling kecil mempunyai tanaman kelapa sawit adalah di Pulau Pinang iaitu cuma 14,000 hektar sahaja. Daripada jumlah keluasan tersebut seluas 2.807 juta hektar kelapa sawit ditanam oleh pihak estet swasta (59.8%) sementara 20.2% dimajukan oleh Skim Kerajaan (FELDA - 675,167 ha, RISDA- 80,262 dan FELCRA- 160,832) , 321,947 hektar (7,1%) oleh Skim Kerajaan Negeri dan bakinya seluas 540,194 hektar (12.98%) oleh pekebun kecil. Nilai buah segar industri kelapa sawit Malaysia sekitar RM 4.6 billion dengan nilai pasaran produk berasaskan ekspot sebanyak RM 36.110 billion. Terdapat seramai 451,000 orang yang terlibat dengan industri kelapa sawit dengan sebanyak 1,264 buah perladangan (estet). Statistik menunjukkan pada masa ini ujud sebanyak 444 buah kilang memproses buah kelapa sawit dan beratus-ratus kilang atau syarikan yang memproses hasilan daripada industri kelapa sawit di Malaysia. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman kelapa sawit dan teknologi yang berkaitan dengannya.


Pembiakan benih sawit adalah penting dalam industri kelapa sawit kerana kelapa sawit adalah berlainan kultivar. Di Malaysia program pembiakan dan pemilihan baka sawit di Malaysia dimulakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 1912 sebelum diambilalih oleh MARDI mulai tahun 1969 dan Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM) pada tahun 1979. Pada masa ini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sejak tahun 2000 menyambung aktiviti pembiakan dan penyelidikan kelapa sawit. Pihak estet swasta mempunyai program pembiakan tersendiri. Program pembiakbakaan sawit adalah berdasarkan kepada objektif-objektif  seperti untuk meningkatkan hasil minyak, meningkatkan kualiti minyak, mengurangkan kadar ketinggian pokok dan juga untuk mencari varieti sawit yang tahan kepada perosak dan penyakit. Lazimnya pokok induk untuk pengeluaran biji benih D x P dipilih berdasarkan hasil tandan dan komponen kualiti tandan dari pokok yang diketahui salasilahnya. Data ukuran vegetatif sering diambil kira ketika pemilihan. Rekod hasil dikumpul bagi tempoh tidak kurang empat tahun berturut-turut. Komponen kualiti tandan seperti peratusan perahan minyak dan hasil isirung ditentukan melalui kaedah 'analisis tandan', dengan 3 - 5 tandan dianalisis bagi setiap pokok. Semua data yang dikumpul berdasarkan pokok individu.


Pemilihan Berulang Salingan (RRS) diamalkan untuk memilih induk, dengan dura dan pisifera dipilih secara berasingan, dan kemudian dikacukkan. Ujian progeni dijalankan untuk menilai keupayaan bergabung induk-induk berkenaan. Misalnya, pisifera AVROS bergabung baik dengan dura Deli untuk menghasilkan buah tandan segar (FFB) yang banyak dan perahan minyak yang tinggi. Pengeluaran biji benih D x P berpandukan kepada Piawai Malaysia MS157:1997, iaitu Biji Benih Kelapa Sawit Untuk Penanaman Komersil. Hanya D x P bermutu dikeluarkan dan dipasarkan kepada pengguna. Kawalan mutu yang tinggi dipastikan agar tidak berlaku pencemaran ketika mengumpulkan debunga pisifera dan pendebungaannya terkawal pada induk penanti dura. Pada tahun 2003, dianggarkan 58 juta benih D x P dikeluarkan di Malaysia. Jumlah keluaran pada tahun tersebut meningkat selepas pengurangan permintaan antara tahun-tahun 2000 hingga 2002. Peningkatan ini disebabkan oleh aktiviti penanaman semula.


Industri makanan berasaskan minyak sawit di Malaysia telah mengalami perkembangan pesat sejak tiga dekad yang lalu. Kawasan tanaman sawit meningkat daripada anggaran satu juta hektar dalam tahun 1980 kepada dua juta hektar dalam tahun 1990, dan hari ini ia berada pada keluasan 3.8 juta hektar, bersamaan dengan lebih 500 juta pokok sawit. Dari segi penghasilan minyak sawit mentah (CPO), pengeluaran dicatat pada 13.35 juta tan dalam tahun 2003 daripada sejumlah 370 kilang buah sawit di seluruh negara.  Industri ini juga turut terbabit secara meluas dalam aktiviti hiliran, daripada penapisan sehingga kepada penghasilan minyak masak dan oleokimia.  Malaysia mempunyai jumlah penduduk yang agak kecil seramai 24 juta orang dan dengan itu, penggunaan minyak sawit secara tempatan adalah agak terhad. Oleh kerana itu, lebih 90 peratus pengeluaran minyak makan tahunan telah dieksport, menjadikan hasil sawit punca pendapatan tukaran wang asing yang penting untuk negara ini, serta tonggak ekonomi negara.


Nilai eksport minyak sawit pada tahun 2003 berjumlah RM 26.15 bilion ketika harga purata minyak sawit mentah berada pada paras RM 1,544 satu tan. Hari ini, Malaysia menyumbang anggaran 50 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia dan anggaran 60 peratus daripada jumlah dagangannya. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa sejumlah besar keluasan kawasan tanaman minyak sawit yang telah dikatakan ditanam di dalam kawasan hutan tropika, sebenarnya ditanam di kawasan hutan pembalakan, atau ditanam semula di dalam kawasan yang sebelum itu ditanam dengan tanaman lain. Contohnya, daripada tahun 1990 hingga 2000, ketika kawasan tanaman kelapa sawit di Malaysia meningkat sebanyak 1.4 juta hektar, kegiatan menanam getah, koko dan kelapa masing-masing menurun sebanyak 0.4, 0.3 dan 0.2 juta hektar.


Sejumlah besar keluasan kawasan tanaman ini ditanam semula dengan kelapa sawit kerana ia tanaman yang lebih menguntungkan. Nilai pelaburan terkini dalam industri minyak sawit Malaysia dianggarkan sekitar RM62 bilion dengan sejumlah besar pembiayaan ini diperoleh dalam negeri.  Peningkatan secara meluas penanaman sawit ini membawa pembangunan yang amat diperlukan di kawasan luar bandar, dan telah menjadi tulang belakang ekonomi luar bandar. Seramai 290,000 pekebun kecil di skim tanah kerajaan serta pekebun kecil persendirian, bergantung sepenuhnya kepada tanaman ini untuk kehidupan harian mereka. Hasil pendapatan daripada sawit membawa kesan penting dalam mengekalkan kestabilan sosioekonomi golongan ini. Tambahan pula, seramai 180,000 lagi pekerja di ladang sawit dengan jumlah pendapatan dan kebajikan mereka yang lain, adalah penyumbang besar kepada kestabilan politik dan sosio-ekonomi terutamanya ketika krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997-1998.


Dari segi potensi minyak sawit, memang tidak dapat dinafikan bahawa ia mempunyai masa depan yang amat cerah. Program penyelidikan berjaya meningkatkan hasil minyak sawit berlipat kali ganda, berbanding hasil daripada pokok liar di Afrika. Sungguhpun wujud progeni dan pokok individu dengan hasil minyak melebihi 12 tan sehektar setahun, namun masih wujud ruang yang luas untuk mencapai potensi hasil maksimum sebanyak 18.2 tan sehektar setahun. Hasil tandan dan perahan minyak dura Deli serta kacukan dengan pisifera, terutama dengan baka AVROS, adalah unggul dan digunakan untuk menghasilkan bahan tanaman di seluruh dunia. Sungguhpun hasil buah tandan segar (FFB) daripada bahan D x P tidak meningkat dengan ketara berbanding bahan dura, namun hasil minyak telah dimajukan daripada 3.7 tan sehektar setahun (dura) kepada 6.3 tan sehektar setahun (D x P).

Kelapa sawit adalah salah satu komoditi pertanian utama bagi negara Malaysia yang perkembangannya demikian pesat. Selain pengeluaran minyak kelapa sawit yang tinggi, hasil sampinganjuga tinggi.
Secara umum, hasil dari industri kelapa sawit terdiri daripada tiga jenis, iaitu minyak cair, padat dan gas. Minyak kelapa sawit berasal dari unit proses pengukusan (pensterilan), proses pembersihan, dan buangan dari hidrosiklon.  Pada umumnya, minyak industri kelapa sawit mengandungi bahan organik yang tinggi sehingga berpotensi mencemari air tanah, dan sungai serta laut. Minyak likat kelapa sawit dibahagikan kepada dua jenis, iaitu Likat yang berasal daripada proses pengolahan: Limbah padat ini berupa Tandan Kosong Kelapa Sawit, cangkang atau tempurung, serabut atau serat, enap cemar atau lumpur, dan bungkil. TKKS dan lumpur yang tidak tertangani menyebabkan bau busuk, tempat bersarangnya serangga dan lalat dan berpotensi untuk  kita menghasilkan bahan larut lesap. Likat yang berasal daripada pengolahan minyak cair: Limbah padat ini berupa lumpur aktif yang terbawa oleh hasil pengolahan air limbah. Kesimpulan daripada penelitian ini adalah sebagai berikut: Ditinjau dari segi kematangan kompos (seperti nisbah C/N, profil suhu, penyusutan isi padu dan penampilan fizikal kompos), kecepatan proses pengkomposan TKKS dengan penambahan dan tanpa penambahan pengaktif (OrgaDec, Biostar dan EM4) adalah lebih kurang sama tempohnya, iaitu sekitar 13 minggu. Keperluan air untuk proses pengkomposan TKKS berkisar antara 1.7 - 2.3 m³. Kandungan unsur hara kompos sekitar 0.4 % N, 0.029 - 0.05 % P2O5, dan 0.15 - 0.2 % K2O. Kelapa sawit memang satu tumbuhan yang menjana ekonomi negara dan perlu diteruskan penanamannya dan peningkatan dalam teknologi penanaman dan pemprosesan. Wasallam.
Bersambung pada Artikel Kelapa Sawit - Part 3 (Klik disini).

KELAPA SAWIT...APA VARIETINYA...
BENIH DXP... PALING POPULARNYA...
MINYAK MASAK...ANTARA PRODUKNYA...
SEMAKIN LUAS... PRODUK PROSESNYA...

By,
M AnemSenior Agronomist,
Taman Cendana, 
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Malaysia
(Adaptasi dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Kelapa_sawit)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.