Monday, December 9, 2013

IKAN HARUAN - TESTIMONI (Part 3)


IKAN HARUAN (Chana striatus) atau lebih dikenali sebagai 'Snakehead Fish' merupakan sejenis ikan karnivor yang hidup didalam air tawar. Satu lagi jenis ikan haruan Besar atau Giant Snakehead (Chana micropeltes) yang juga dipanggil sebagai Giant Mudfish adalah dari kumpulan yang sama. Ikan Toman (Chana melanostoma) juga dari kumpulan ikan haruan yang mudah kita jumpa didalam tasek, sungai, taliair dan kawasan sawah padi. Saya memang suka mengail ikan haruan di Sungai Parit Bengkok depan rumah atau di Kawasan Sawah Ring di Muar. Kadang2 mengail dimana-mana paya atau lubuk ikan di sekitar kampong semasa muda dahulu bersama rakan-rakan sekampong. Mengail ikan haruan memang sangat menyeronokkan kerana daya tarikan atau sentapan yang kuat pada ikan haruan sungguh hebat!. Jarang-jarang kita semasa memancing ikan haruan yang terlepas semula, ini kerana ikan haruan akan makan habis umpan yang digunakan. Malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology"  info megenai testimoni ternakan ikan haruan dan maklumat berkaitan dengan ikan haruan untuk pembaca semua berdasarkan pengalaman sendiri, kajian dan rujukan beberapa sumber.



TESTIMONI 6:
Bakar bertanah... cara unik menikmati haruan sawah



Kita biasa mendengar ikan bakar. Tetapi ramai di antara kita jarang mendengar mengenai ikan bakar bertanah. Inilah keistimewaan penduduk Kampung Ujung Batu, Bintong, Perlis, dalam membuat persiapan menjelang Pesta Musim Timur. Mereka memperkenalkan sejenis masakan ikan sawah yang menggunakan ikan haruan dikenali sebagai masakan 'haruan bakar bertanah'. Namanya yang begitu unik dan pelik itu turut menggambarkan kepada para pembaca betapa unik dan peliknya pemakanan orang-orang dahulu, terutamanya daripada beberapa golongan petani di Perlis yang akan memperkenalkannya. Menurut mereka yang ditugaskan untuk menyiapkan makanan itu, haruan bakar bertanah ini ialah ikan haruan yang dibalut dengan tanah kemudian dibakar. Menyingkap cerita di sebaliknya, pada zaman dahulu kehidupan para petani terlalu susah dan tidak ada kemudahan terutama untuk membakar ikan seperti hari ini. "Orang dulu terpaksa menggunakan inisiatif ini untuk membakar ikan-ikan seperti haruan bagi menyedapkan rasa. Selalunya masakan ini dibuat semasa petani menimba telaga," kata salah seorang daripada mereka, Roslin Kassim.

Katanya, ikan haruan yang diambil dari sawah ini akan dibelah dan dibuang perutnya tanpa menanggalkan sisip. Selepas itu ikan tersebut akan dibungkus dengan sehelai daun pisang sebelum dibalut dengan tanah. "Kalau dulu memang tidak dibungkus dengan daun pisang, sebaliknya dibalut terus dengan tanah," tambahnya. Selalunya tanah yang digunakan untuk membalut ini adalah tanah sawah atau tanah yang diambil dari telaga ikan yang sudah ditimba airnya. Roslin berkata, ikan yang siap dibalut dengan tanah akan dibakar dengan bara api menggunakan api atas dan bawah seperti membakar kuih bahulu. menurutnya lagi, untuk mengecam atau mengenal pasti ikan itu masak atau tidak, tanah yang dibalut ke badan ikan tersebut akan merekah. "Kalau dulu kaum petani terus memasukkan tanah itu terus ke dalam bara api tanpa perlu menggunakan api atas atau bawah. Apabila tanah itu pecah-pecah, itu tandanya ikan tersebut telah masak,'' ujarnya. Mereka yang ditemui dan pernah merasanya mengakui ikan haruan yang dibakar tanpa garam dan hanya menggunakan tanah semata-mata itu memang manis dan sedap, tambahan dimakan bersama sambal belacan orang utara. Ternyata, masyarakat yang tinggal jauh di utara tanah air juga banyak menyimpan pelbagai perkara dan peristiwa yang menarik dan istimewa untuk dikongsi bersama dalam kehidupan serba moden ini.


IKAN HARUAN... HEBAT NAMANYA...
BERWARNA HITAM...ADA CORAKNYA...
DIBAKAR TANAH...RESEPI ISTIMEWA...
LAPORAN AKHBAR...ADA GUNANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 21551, Awana Genting Golf Resort,
Genting Highland Resort, 
KM 13, Genting Highland,
Pahang, Malaysia.
(18 Muharam 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.