Thursday, December 5, 2013

IKAN HARUAN - TESTIMONI (Part 1)

IKAN HARUAN (Chana striatus) atau lebih dikenali sebagai 'Snakehead Fish' merupakan sejenis ikan karnivor yang hidup didalam air tawar. Satu lagi jenis ikan haruan Besar atau Giant Snakehead (Chana micropeltes) yang juga dipanggil sebagai Giant Mudfish adalah dari kumpulan yang sama. Ikan Toman (Chana melanostoma) juga dari kumpulan ikan haruan yang mudah kita jumpa didalam tasek, sungai, taliair dan kawasan sawah padi. Saya memang suka mengail ikan haruan di Sungai Parit Bengkok depan rumah atau di Kawasan Sawah Ring di Muar. Kadang2 mengail dimana-mana paya atau lubuk ikan di sekitar kampong semasa muda dahulu bersama rakan-rakan sekampong. Mengail ikan haruan memang sangat menyeronokkan kerana daya tarikan atau sentapan yang kuat pada ikan haruan sungguh hebat!. Jarang-jarang kita semasa memancing ikan haruan yang terlepas semula, ini kerana ikan haruan akan makan habis umpan yang digunakan. Malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" info megenai testimoni ternakan ikan haruan dan maklumat berkaitan dengan ikan haruan untuk pembaca semua berdasarkan pengalaman sendiri, kajian dan rujukan beberapa sumber.


TESTIMONI 1:
Haruan bodoh bernilai tinggi
Oleh NAS NORZIELA NASBAH
IKAN ketutu lebih sinonim dengan panggilan haruan bodoh,
ikan hantu dan belantuk atas sebab fizikalnya lain daripada ikan biasa.
MELAKA 11 Jan. - Setiap kali mendengar nama ikan ketutu pasti di kalangan kita cuba membayangkan bentuk fizikal dan keunikan yang terdapat pada ikan tersebut. Mungkin ada antara anak muda kini yang langsung tidak mengetahui kewujudan ikan itu yang nama saintifiknya ialahmarbled goby. Di kalangan masyarakat kampung, ikan ketutu lebih sinonim dengan panggilan haruan bodoh, ikan hantu dan belantuk atas sebab fizikalnya lain daripada ikan yang biasa dilihat. Namun begitu di sebalik bentuk fizikalnya yang 'menggerunkan', ketutu merupakan salah satu ikan ternakan yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran. Menyedari perkara ini, Aquaculture Technology Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menternak ikan ketutu dan sejak beroperasi tiga tahun lalu, syarikat tersebut tersenarai sebagai salah satu syarikat yang mempunyai kolam ternakan ikan ketutu terbesar di negeri ini.

Memiliki sebanyak tujuh buah kolam utama yang terletak di Tiang Dua, Jasin di sini, Aquaculture Technology merupakan anak angkat kepada Jabatan Perikanan negeri telah menternak lebih daripada 1,000 ekor ikan tersebut. Pengusahanya, Ng Swee Lui berkata, sejak bergiat dalam ternakan ikan ketutu, perusahaan tersebut terbukti mendapat permintaan tinggi bukan sahaja untuk pasaran dalam negara malah luar negara. Setakat ini, katanya, ketutu ternakannya sudah berjaya menembusi pasaran Singapura, Hong Kong, China, Taiwan, Jepun dan beberapa negara Eropah. ''Saya memulakan bidang ternakan ini sejak tiga tahun lalu dan di kawasan ini sahaja mengandungi tujuh buah kolam yang dibina dengan perbelanjaan sendiri berjumlah RM1.2 juta. ''Selain itu, saya turut memiliki 30 buah kolam ternakan ikan ketutu dan beberapa jenis ikan hiasan di sekitar Alor Gajah," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.


Kata Swee Lui, baru-baru ini pihaknya menerima permintaan dari luar negara yang mengharapkan bekalan sebanyak empat tan ketutu sebulan, namun malangnya pihaknya hanya mampu membekalkan dua tan sebulan. Menurutnya lagi, ikan ketutu senang diternak kerana sifat semula jadinya yang 'pendiam' pada waktu siang namun aktif pada waktu malam. ''Ikan ini mampu membesar sehingga 50 sentimeter dan mencapai berat sehingga dua kilogram dalam masa dua tahun," katanya. Beliau berkata, ikan ketutu boleh mula dijual selepas ia mencapai usia setahun dan harga pasarannya kini untuk setiap kilogram adalah sekitar RM80 hingga RM95. ''Di restoran, ia biasa dijual pada harga mencecah RM120 sekilogram dan kulitnya yang kehitaman serta berwarna sedikit coklat amat enak bagi masakan stim. ''Ia menjadi makanan utama bagi mereka yang menggemari makanan laut dan sehingga kini ikan ketutu mempunyai pasaran yang tinggi jika dijual di restoran makanan laut," katanya. Menceritakan pengalamannya sepanjang menternak ikan ketutu Swee Lui berkata, selain memerlukan modal yang tinggi, ikan berkenaan juga tidak terlepas daripada masalah seperti serangan penyakit. "Jika ada sesiapa yang berminat, perlu mendalami pengetahuan mengenai ikan ini sebelum memulakan ternakan. "Bukan mudah untuk menternak spesies ikan ini dan masalah yang besar ialah apabila ikan diserang penyakit. ''Saya banyak belajar daripada kesilapan sebelum berada pada tahap ini," katanya.




TESTIMONI 2:
Sup haruan kolagen untuk kesihatan
NAZRUL AZIM SHARUDDIN


IKAN haruan sememangnya dikenali kaya dengan
pelbagai khasiat untuk kesihatan.
SEJAK turun-temurun, ikan haruan telah terkenal sebagai sumber makanan dengan pelbagai khasiat kesihatan yang tidak dapat disangkal lagi. Mempunyai nama saintifik Channa striatus, hidupan air tawar itu menjadi makanan yang sangat popular terutama dari kalangan penduduk Asia. Antara khasiat kesihatannya adalah seperti mampu menyembuhkan luka, mengurangkan kesakitan selepas pembedahan serta baik untuk ibu bersalin. Kandungan asid amino dan lemak daripada ikan itu pula baik untuk memulihkan parut luka dengan lebih cepat serta sesuai merawat gastrik. Di samping itu, ia turut mengandungi vitamin A yang berupaya meningkatkan daya ingatan, penglihatan, menjadikan kulit lebih halus dan mengandungi bahan anti oksida bagi fungsi melambatkan proses penuaan. Khasiat lainnya adalah seperti asid arasidonik untuk membantu pertumbuhan sel-sel baru serta kolagen bagi pengekalan kulit muda. Di negara kita, sumber makanan itu kebiasaannya diperolehi dalam bentuk produk pati ikan haruan yang banyak terdapat di pasaran. Namun, bagi sesetengah individu, mereka mungkin sukar untuk meminum pati tersebut kerana rasa dan baunya yang kurang digemari. Justeru, bagi memastikan khasiat ikan itu dapat dinikmati dengan cara yang lebih mudah, ia kini dihasilkan dalam bentuk sup segera.

Dikenali sebagai Sup Haruan Kolagen, produk berkenaan telah dihasilkan oleh sebuah syarikat perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, Bio Haruantech (M) Sdn. Bhd. Menurut Pengarah Urusannya, Mohammad Munir Lukman Hakim, idea menghasilkan sup tersebut timbul setelah mendapati pesakit-pesakit di hospital dan klinik sukar untuk memperolehi ikan haruan. ''Bermula daripada situ, saya mula mengumpul maklumat dan menjalankan kajian bagaimana penghasilan sup ikan haruan. Ia telah mengambil masa selama tiga tahun. ''Selain berkhasiat, sup ini juga mempunyai rasa yang sangat sedap dan sesuai dijadikan makanan harian,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini. Memasuki pasaran pada tahun 2007, produk yang dipaketkan di dalam tin itu pada mulanya kurang mendapat sambutan.

Mencari kaedah penyelesaian, Mohammad Munir kemudiannya meneruskan kajian selama lebih kurang setahun lagi untuk memperbaiki mutu produk tersebut. Akhirnya, beliau telah berjaya menghasilkan sup dalam bentuk serbuk dengan kandungan kolagen yang tinggi dan tidak berbau. Bagi menjamin khasiat sup ini, ia diadun bersama rempah ratus asli yang baik untuk kesihatan seperti kulit kayu manis, lada hitam dan sebagainya. Kandungannya juga semulajadi tanpa menggunakan bahan pengawet atau pewarna selain mempunyai lebih 50 peratus isi ikan. Ini kerana, di dalam isi ikan tersebut terdapat sejenis bahan yang diberi nama Glycine iaitu sebahagian daripada komponen kolagen dalam sel kulit manusia. Bahan ini akan bertindak mempercepatkan percantuman kulit yang terluka dan seterusnya membentuk sel baru. Bercerita mengenai sumber ikan mentah, beliau memperolehinya daripada beberapa kolam ternakan yang diselia di bawah Jabatan Perikanan. ''Sebelum dijadikan ramuan dalam penyediaan sup, ikan-ikan ini akan menjalani ujian DNA dan ujian mikro terlebih dahulu bagi mengenalpasti nutriennya. ''Saya mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan dan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam proses menjalankan ujian ini,'' jelasnya. Cara penyediaan sup itu amat mudah di mana pengguna hanya perlu melarutkan serbuknya di dalam 200 mililiter air dan ia boleh dimakan terus. Ia dijual dengan harga RM16 sekotak di mana setiap kotak mengandungi tiga paket sup. ''Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Setakat ini kilang kami di Rawang telah mengeluarkan sebanyak 20,000 hingga 30,000 kotak untuk memenuhi permintaan pasaran'' jelasnya. Dari segi pasaran, beliau ketika ini sedang berusaha membawa masuk produknya untuk dijual di pasar raya besar. Pada masa akan datang, beliau turut bercadang meneruskan kajian dalam penghasilan produk sup belut pula untuk khasiat kesihatan lelaki. Wasallam!


IKAN HARUAN... EKSOTIK NILAINYA...
SUKAR DITERNAK...APA TEKNOLOGINYA...
HARGA MAHAL... MENGIKUT GREDNYA...
USAHAWAN BERJAYA...UNTUNG PASTINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 21551, Awana Genting Golf Resort,
Genting Highland Resort,
KM 13, Genting Highland,
Pahang, Malaysia.
(18 Muharam 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.