Sunday, November 3, 2013

VARIETI - DURIAN (Part 3)


DURIAN (Durio zibethinus) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang sangat popular di Asia khususnya di Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan sebagainya. Buah durian ini hanya dikenali oleh orang-orang barat semenjak zaman kolonial Belanda sekitar tahun 1912 dimana, walau pun ada diantara mereka yang mengatakan bau durian itu busuk (Skunk of the orchard) tetapi durian mempunyai rasa sangat sedap (Morstesen and Bullard , 1964). Sehingga kini pun, buah durian dihalang untuk dibawa masuk kedalam bilik hotel kerana baunya yang kuat akan menganggu penghuni hotel yang lain akibat edaran udara di dalam sistem berhawa dingin. Saya dapati kebanyakan hotel di Malaysia, Indonesia dan Thailand membuat peraturan dan papantanda menghalang buah durian dan Manggis untuk dibawa masuk kedalam bilik penginapan. Durian akan menyebabkan ada bau durian yang kuat dalam hotel sementara getah manggis boleh sebabkan warna hitam yang merosakan cadar tilam atau langsir dalam hotel. Artikel subuh Ahad ini saya bertenaga untuk menulis dalam 'Anim Agro Technology" mengenai senarai varieti durian yang ujud dinegara kita untuk bacaan anda berdasarkan kepada buku rujukan yang saya buat kajian.


Durian merupakan tumbuhan natif dari kawasan di Malaysia dan juga Thailand tetapi kini telah disebarkan ke kawasan lain seperti di Sri Lanka, Selatan India, Myanmar, Vietnam, Filipina, New Guinea dan kini telahb banyak di tanam di Australia Utara. Di Malaysia sahaja terdapat seluas 104,655 hektar tanaman durian dilaporkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2011 dengan penghasilan sebanyak 300.47 juta metrik tan yang bernilai RM 1.40 billion. Terdapat banyak spesis durian dan jenis yang popular ditanam adalah Durio ziberthinus Murr. . Antara spesis lain yang boleh dijumpai dibeberapa lokaliti seperti di Borneo, Indonesia dan Thailand adalah seperti durian dinamakan sebagai Lai (Durio kutejensis), Keratongan Durio oxleyanus (Hairy durian) ,Tabelak Durio graveolens (Red Durian) dan Lahong Durio dulcis (Durian berbau kuat). Spesis tersebut adalah spesis yang jarang kita jumpa. Durian dalam pengkelasan adalah dibawah Order Malvales iaitu dalam Keluarga Bombaceae. Keluarga Bombaceae mempunyai 200 spesis dimana genus Durio mempunyai 28 spesis yang mana 19 spesis daripadanya terdapat di kepulauan Borneo. Banyak tu! . Daripada 19 spesis tersebut, didapati sebanyak 14 spesis terdapat di Sabah dan 16 spesis di Sarawak (Abang Mokhtar, 1991). Adakah spesis-spesis ini telah diambil dan digunakan untuk program pembiakbaka oleh negara lain ?.

Pokok durian besar iaitu tingginya mencapai 35 – 45m tetapi pokok durian yang dibiakkan secara tampang bersaiz sederhana iaitu 10 -15m tinggi. Kebanyakkan pokok yang berasal daripada biji mempunyai banir di pangkalnya. Daun durian jenis mudah dan berbentuk bujur panjang,iaitu 6 -12cm panjang dan 2- 4cm lebar. Tangkainya bersinus dan panjangnya kira-kira 1cm. Permukaan daun berwarna hijau tua berkilat dan permukaan bawahnya berwarna keemasan. Bunga dikeluarkan dalam jambak, setiap jambak mengandungi 40-50 kuntum bunga. Kudup bunga berbentuk bulat dan ditutupi epikaliks. Kelopak bunganya lima, berbentuk sesudu dan berwarna putih kekuningan. Salut bunganya bercuping 4-6 dan bercantum dipangkal. Stamennya banyak berbentuk berkas dan benang sarinya panjang ( 3-5cm ). Dihujungnya terdapat stigma yang bulat berwarna jingga. Buah durian besar iaitu bergaris pusat 18-20cm dan bentuk bulat atau bujur panjang. Kulitnya tebal dan berduri tajam. Warna kulit hijau atau hijau kekuningan. Tangkai berbentuk silinder kira-kira 3-6cm panjang. Buah mempunyai lima pangsa di mana setiap pangsa mengandungi 1-6 ulas isi. Isinya berwarna putih kuning atau kuning keemasan. Tekstur, aroma, rasa dan ketebalan isinya juga berbeza-beza bergantung pada varieti. Bijinya bujur panjang dan berwarna perang muda hingga coklat.

Isi Durian Chanee (D123)
Jadual diatas menunjukkan 25 varieti durian (Dari D122 hingga D146) yang telah didaftarkan di negara kita yang boleh dibuat rujukkan. Pendaftaran varieti durian pada tahun 1971 adalah D122 (Durian Rim D1) dari Selangor dan varieti ke 75 iaitu D146 (Durian Lempur Mas) yang telah didaftarkan pada 1985. Varieti durian D134 (Bertanda tm) mungkin telah pupus akibat bencana alam, perang dunia ke 2 dan juga akibat serangan perosak dan penyakit. Senarai diatas dua varieti durian yang popular dikalangan petani dan peminat durian. Durian varieti Chanee (D123) dan Varieti Beserah (D145) yang juga disyorkan penanaman oleh Jabatan Pertanian. Kajian dan pemerhatian pada Varieti Chanee (D123) di ladang durian di Kg Bekoh, Tangkak , Johor yang saya buat mendapati varieti chanee atau D123 ini mempunyai kebanyakannya 3 ulas dalam satu pangsa. Setiap ulas mempunyai kemungkinan biji penoh (80%). Biji separuh saiz (10%) dan tanpa biji atau Kesep (10%). Kalau makan satu biji seorang memang tidak boleh habis kerana isinya cukup banyak dan mengenyangkan. Bijinya adalah bersaiz besar dengan kulit biji berwarna coklat dan terdapat lapisan musilage pada bahagian embrio biji. Bijinya boleh di tanam untuk dijadikan pokok penanti dalam proses penyediaan anak benih cantum durian. Harga di pasaran varieti ini adalah sederhana tinggi dimana permintaan untuk varieti ini memang sangat menggalakkan. Kajian harga di Tangkak pada tahun 2010 mendapati harga bagi D123 antara RM 7.00 - RM 15.00 sekilogram kerana varieti ini gugur pada tahap penghujung musim durian. Sila baca atrikel saya tulis durian chanee - Sila  klik  disini).


Isi Durian Beserah (D145)
Durian Varieti Beserah (D145) yang didaftarkan pada 1981 juga membawa nama varieti sebagai Tuan Mek Hijau. Durian ini mempunyai isi warna kuning yang mempunyai rasa manis dan aroma yang sederhana kuat. Walau pun warna kulit varieti ini agak kehijauan apabila ia masak, ini kadang-kadang kurang menarik kepercayaan pelanggan. Durian varieti ini juga mendapat harga pasaran yang baik dan banyak ditanam di Pahang, Johor dan juga Selangor. Saya beberapa kali makan buah varieti Beserah ini di Pusat Pertanian Serdang yang mempunyai banyak koleksi varieti durian di Malaysia. Sila rujuk artikel ini Part 2,3,4,5 untuk maklumat lanjut. Wasallam!


VARIETI DURIAN.. ADUH BANYAKNYA...
DARI D1 HINGGA D199... JUMLAHNYA...
ADA YANG PUPUS... APA SEBABNYA...
PILIH YANG DISYORKAN... ADA BENIHNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Ladang Tepositori Durian,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(15 Ramadan 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.