Saturday, November 23, 2013

LEBAH MELIFERA - PENGURUSAN LUAR KOLONI (Part 3)

PENGURUSAN LUAR KOLONI Lebah Mellifera (Apis mellifra) merupakan satu aktiviti sangat penting didalam penternakan lebah. Lebah Mellifera adalah sejenis lebah dari Eropah yang dibawa masuk ke Malaysia semenjak tahun 1976 oleh Jabatan Pertanian. Sebenarnya terdapat beberapa jenis lebah tempatan yang mampu menghasilkan madu seperti Lebah Keran (Apis cerana) dan Lebah Tualang (Apis dorsata) walau pun pengeluaran masih rendah dan tidak menentu. Daripada pembacaan dan pengalaman penulis, terdapat 8 spesis lebah yang terdapat dinegara ini yang perlu di'explore' lagi termasuk terkini yang mendapat perhatian iaitu Lebah Kelulut (Trigona spp). Saya mula kenal dengan lebah madu semenjak awal 1980'an semasa saya mula bertugas di Melaka dan aktif dalam mengembangkan ternakan lebah keran dikawasan tanaman kelapa. Kini benyak pokok kelapa dikawasan Merlimau, Melaka yang telah ditebang dan digantikan dengan pokok kelapa sawit dan menjadi kawasan perumahan dan kawasan kilang. Agaknyapenternakan lebah madu dikawasan tersebut semakin kurang sesuai. Artikel subuh Sabtu ini saya terpanggil untuk menulis teknologi pengurusan luar koloni penternakan lebah termasuk Lebah Mellifera dalam "Anim Agro Technology" untuk rujukkan dan bacaan anda.


Pengurusan Luar Koloni Lebah termasuk didalam menjalankan pemeriksaan terhadap kehadiran sumber makanan, sumber perosak dan penyakit, Sumber Air dan Keadaan Fizikal Haif yang digunakan. Kesemua perkara diatas perlu diperiksa demi menjaga koloni lebah dikawasan ternakan sentiasa aktif, sihat, koloni bersaiz besar dan mampu menghasilkan madu serta produk lain daripada penternakan lebah. Paling asas semasa memilih kawasan untuk menternak lebah adalah adanya SUMBER MAKANAN lebah. Lebah perlukan Nektar dan debunga untuk dijadikan tenaga dan kehidupan hariannya. Tumbuhan yang menghasilkan nektar dan debunga ini terdiri daripada tumbuhan semulajadi seperti pokok gelam, pokok hutan, Rumput Israel (Sila lihat foto sebelah), Bunga Pengantin dan sebagainya. Bagi mempastikan terdapat makanan, beberapa jenis tanaman yang boleh ditanam untuk makanan lebah seperti Belimbing, Kelapa, Nenas, Getah, Jambu Batu dan sebagainya. Kawasan ternakan lebah boleh diletakkan dikawasan tanaman tersebut dibawah naungan atau kawasan lapang yang sesuai untuk pergerakan lebah pergi balik mencari makanan.


Lebah Impot Apis mellifera memerlukan banyak air untuk menyejukkan koloninya. Ia lebih kritikal pada musim cuaca kemarau dan panas pada siang hari. Jika dikawasan ternakan tidak ada sumber air bersih semulajadi seperti sungai, kolam dan lopak air maka wajarlah disediakan bekas-bekas yang mengandungi air bersih untuk diminum oleh lebah berhampiran dengan haif. Elakan bekas tersebut daripada tempat pembiakan nyamuk dan perlulah bekas air diselenggara selalu. Pemeriksaan juga perlu melihat kehadiran serangga perosak dan haiwan yang menganggu koloni lebah. Serangga seperti Tebuan (Wasps) atau Tabuan merupakan ancaman kepada koloni lebah yang menjadikan lebah A. mellifera menjadi mangsanya (predator) kerana lebah ini bergerak agak perlahan berbanding dengan lebah keran (Sila lihat foto sebelah). Tabuan akan menunggu dipintu masuk haif dan menyambar lebah yang terbang keluar masuk. Anda boleh baca artikel mengenai tebuan (Sila klik disini). Sebaiknya musnahkan sarang tabuan dengan membakarnya dan kaedah lain yang sesuai. Jika tidak dimusnahkan, berkemungkinan koloni lebah akan pindah ketempat lain kerana tidak selamat.


Haiwan ternakan seperti Lembu, Kambing dan haiwan liar mungkin menyebabkan haif lebah jatuh atau tumbang kerana dilanggar dikawasan ternakan. Haif yang jatuh akan menyebabkan semua koloni didalamnya akan lari kerana telah rosak. Sebaiknya jika ada ternakan berkeliaran perlu dipasang pagar keliling atau ternakan tersebut diikat pada tali dikawasan meragut rumput. Haif yang diperbuat daripada kayu lazimnya tahan sehingga 10 tahun dan haif yag diperbuat daripada Plywood tahan antara 2-5 tahun sahaja. Pemeriksaan keadaan fizikal haif dijalankan untuk melihat diluar dan dalam (frame) sama ianya masih kukuh atau pun sudah reput. Sebaikya daripada pemerhatian dan pengalaman saya, dinding luar haif perlu dicat dengan warna terang seperti putih untuk mengekalkan suhu dalam haif, melebihi tahap optimum dan melambatkan proses pereputan kayu. Haif-haif yang telah reput atau uzur perlu diganti dengan haif baru atau jalankan penyelenggaraan. Pastikan tiang meletak haif juga dalam keadaan kukuh dan selamat daripada sebarang ancaman. Itulah beberapa fakta mengenai pengurusan luar koloni lebah madu untuk dijadikan panduan dan rujukkan. Sila baca artikel berkaitan dalam Part 1, Part 2, Part 4, Part 5 dan Part 6. Wasallam!.
Haif lebah diletak dilokasi sesuai.
PENGURUSAN LEBAH...ADA CARANYA....
SUMBER MAKANAN... CUKUP UNTUKNYA...
BERIKAN AIR BERSIH...SECUKUPNYA...
KEADAAN HAIF... SENTIASA JAGANYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Projek Ternakan Lebah,
Kg Serkat Darat,
Kukup, Pontian,
Johor, Malaysia.
(12 Muharam 1435H)
  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.