Saturday, October 19, 2013

POKOK KARAS - TEKNIK PENANAMAN

Pada umumnya terdapat dua spesies pokok yang boleh menghasilkan gaharu iaitu POKOK KARAS (Aquilaria spp.) dan POKOK CENDANA (Gyrinops spp.). Proses terjadinya gaharu (resin) apabila pokok yang mengalami luka atau diserang penyakit dan kulat yang menjangkiti pokok tersebut merebak ke dalam jaringan pembuluh kayu (vesel). Lazimnya untuk terus hidup, kulat tersebut akan menggunakan cairan sel dalam saluran pokok sebagai sumber tenaganya atau pun sebagai makanannya secara perlahan-lahan sehingga ini akan menyebabkan kurang atau terhentinya penghantaran makanan kepada daun. Sel-sel yang isinya sudah dimakan oleh kulat akan membentuk suatu kumpulan sel mati pada jaringan pembuluh kayu. Hasil tindak balas kimia dalam kayu tersebut akan menghasilkan resin atau damar wangi yang dinamakan gaharu dan apabila dibakar akan mengeluarkan aromanya yang tersendiri. Artikel petang ini sambil cuti rehat di rumah, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok karas yang kini telah ditanam untuk menghasilkan gaharu yang mendapat permintaan dengan harga tinggi.

Pokok karas yang mengeluarkan gaharu adalah dari famili Thymelaeceae yang mana terdapat 25 spesies Aquilaria dijumpai di seluruh dunia. Di Malaysia terdapat lima spesies utama iaitu; A. malaccensis, A. hirta, A. beccariana, A. rostrata dan A. microcarpaTerdapat tiga spesies kurang dikenali termasuk A. brachyanta, A. cumingiana dan A. crassna. Menurut Pensyarah Fizik Kayu, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr. Mohd Zin Jusoh, beberapa faktor harus dipertimbangkan dalam usaha penanaman pokok karas secara perladangan. Antaranya adalah, pemilihan anak benih, jarak tanaman, kaedah penanaman, kaedah suntikan dan pasaran. Ia juga harus dinilai untuk meminimumkan risiko yang ada bertujuan mendapat hasil yang maksimum selepas tujuh tahun penanaman. Pertama, dari segi pemilihan anak benih sering menjadi persoalan. Terdapat dakwaan bahawa spesies A lebih baik dari spesies B dan ada yang sebaliknya kerana ia lebih cepat membesar dan lebih mahal. Kita seharusnya meneliti semula kawasan penanaman kerana pokok karas memerlukan habitat yang unik berbanding dengan pokok lain.

Lazimnya pokok karas yang sihat dan membesar dengan cepat akan dapat menghasilkan gaharu yang sedikit berbanding pokok yang sakit, ‘stres’ dan cedera. Ini sebenarnya selari dengan kejadian semulajadi gaharu di dalam hutan dimana pokok karas yang berada di kawasan berbatu dan mengalami tindakbalas kecederaan yang teruk menghasilkan gaharu yang lebih bermutu. Kita juga harus melihat kepada permintaan pasaran dan spesies yang menjadi pilihan pembeli dan mempunyai harga yang tinggi. Spesies Aquilaria malaccensis merupakan salah satu spesies yang mempunyai nilai komersial yang tinggi. Saya dapati daripada beberapa testimoni pengusaha, kaedah penanaman, jarak penanaman 6 kaki x 6 kaki (430 pokok seekar) atau 10 kaki x 10 kaki (1,000 pokok seekar) sesuai dilaksanakan di Malaysia. Dalam pemantauan penulid dibeberapa lokasi penanaman, kaedah tanaman secara integrasi adalah lebih meminimumkan risiko, malahan memberi pulangan jangka pendek yang boleh menampung kos keseluruhan. Kaedah ini saya dapati memang boleh dilakukan bersama-sama dengan tanaman herba dan tanaman kontan tetapi perlu dipastikan agar jarak tanaman harus sesuai dengan keadaan tanah.

Selepas pokok karas mencapai usia lima tahun, suntikan sejenis enzim dilakukan untuk merangsang penghasilan gaharu dan dibiarkan selama dua tahun sebelum mendapat hasil yang optimum. Lazimnya tanpa pendekatan ini pokok karas tidak mampu membentuk gaharu di dalamnya kerana didalam keadaan dengan semulajadi, gaharu terbentuk apabila pokok karas akan mencecah usia 20 – 40 tahun melalui kecederaan fizikal atau serangan mikro organisma. Pokok karas adalah sesuai ditanam di kawasan dataran rendah dan pergunungan pada ketinggian antara 0 dan 750 meter (m) dari aras laut. Keperluan purata taburan hujan kurang dari 2,000 sentimeter (cm) setahun dan suhu paling sesuai adalah di antara 27-32 darjah Celsius dan cahaya matahari di antara 45 - 70 peratus. Dalam keadaan biasa, pertumbuhan pokok mampu mencapai ketinggian antara 25 dan 40 meter dan diameter antara 60-80 sm pada ukur lilit. Tanah yang sesuai bagi penanaman pokok karas adalah dari jenis lempung dan liat berpasir dan pH tanah antara 4. – 6 pH. Penanaman karas boleh dijalankan di tanah persendirian, hutan simpan dan tanah kerajaan melalui dua kaedah tanaman iaitu (a) Penanaman ini dilaksanakan dengan jarak tanaman 3 x 3m dengan jumlah sebanyak 1,000-1,3000 pokok sehektar atau (b) Penanaman dengan jarak tanaman 2 meter x 2 meter dengan jumlah yang boleh mencapai 1,600 batang pokok sehektar. Pokok karas juga boleh ditanam di bawah pokok-pokok yang lain yang berumur antara 5-8 tahun seperti di ladang kelapa sawit, ladang getah, ladang Kopi, ladang Acacia secara tanaman berselang.

Bagi mendapatkan teknik penanaman dan penjagaan yang betul kita boleh memohon menghadiri kursus penanaman pokok karas dengan jabatan berkaitan seperti Jabatan Hutan, FRIM atau pun lain-lain agensi yang ada kepakaran. Paling kritikal dalam penanaman pokok karas adalah sumber bekalan benih yang tulin serta kaedah inokulasi pokok untuk mendapatkan produk terbaik. Walau pun kini telah banyak syarikat pembekal benih karas di Malaysia, petani yang henadk membeli benih perlu memeriksa dahulu. Diharap artikel ini dapat memberikan info berguna. Wasallam!.

POKOK KARAS...ADA POTENSI...
HENDAK TANAM...BENIH KUALITI...
POKOK DIGANGGU....TEBUK LAGI...
GAHARU KELUAR ... TEKNIK TERKINI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Stesyen Pertanian Tangkak,
Jalan Bekoh. Tangkak,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(16 Dzulhijjah 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.