Friday, October 4, 2013

KULUBAN

KULUBAN atau 'Kulban' merupakan sejenis makanan berasaskan tumbuhan (Vegetarian food) yang disediakan secara tradisional yang popular dikalangan masyarakat Jawa di Malaysia dan dipercayai berasal daripada Indonesia. Saya amat minat makan kulban ini yang disediakan menggunakan resepi yang asli daripada bahan-bahan organik yang ada dikawasan kampong. Sejak kecil dulu memang hidangan kulban ini disediakan oleh ibu saya sebagai makanan yang istimewa juga. Ada yang kata kulban sama seperti nama 'Urap' sahaja bergantung kepada bahan yang digunakan. Kulban ini dimakan dengan nasi putih yang masih panas dan ikan kering bulu ayam serta sayur nangka muda masak lemak. Lebih enak lagi kalau dimakan dengan sambal belacan atau sambal krosek. Baru-baru ini Wak Aziz dikampong telah menyediakan juadah kulban untuk perewang-perewang yang membantu bergotongroyong sebagai hidangan dalam majlis kenduri kahwin. Memang seronok juga dapat makan kulban yang disediakan dimana ia masih segar dimakan bersama-sama sanak saudara dan orang-orang kampong. Artikel petang ini sambil melihat ERL yang melalui bawah hotel Best Western Premier Dua ini, saya gembira menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai juadah kuluban yang amat digemari oleh masyarakat jawa untuk bacaan anda.


Juadah kulban ini sering disediakan sebagai satu dari menu untuk kenduri 'Cukur Jambul' atau kenduri menerima anak atau bayi yang baru lahir dipanggil 'Muputan'. Para jemputan akan membaca doa selamat dan beberapa acara lain sebelum dihidangkan dengan nasi putih dengan kulban yang dibuat dari daun ubi kayu bersama kueh mueh tradisional lain. Antara kuih yang dihidangkan semasa majlis sebegini adalah seperti epok-epok, kueh lopis, onde-onde, lemet ubi, lemet pisang, rangin, koci, lempeng berinti, abok-abok  dan sebagainya. Keseronokan anak-anak apabila bapa yang balik dari 'muputan' membawa 'berkat' untuk dimakan bersama ahli keluarga yang sering ada juadah kulban didalamnya. Kini segalanya tinggal kenangan kerana saya telah tinggal di kota.


Daun ubi dicelur dulu.
Bagaimana hendak menyediakan juadah kulban ini?. Saya akan memberikan resepi ini berdasarkan ingatan dan temubual dengan isteri Wak Aziz baru-baru ini. Paling utama adalah mendapatkan bahan asas membuat kulban iaitu pucuk daun ubi (Manihot esculenta), Kacang Panjang (Vigna sesquipedalis), Taugeh (Vigna mungo), Kangkong (Imponea reptans), Kelapa Parut (Cocos nucifera), Cili Padi (Capsicum frustecens), Cili Merah (Capsicum annuum), Cekur (Kaemferia galangga), Bawang Merah (Allium cepa), Bawang Putih (Allium sativum), Belacan, Gula, Garam dan serbuk perasa (Jika perlu). Daun ubi, kangkong, kacang panjang dan taugeh dicelur dahulu sehingga lembut (jangan 'overcook') dan toskan airnya. Kelapa hendaklah dikupas dan diparut kasar untuk dicampur dengan bahan ramuan. Semasa perut kelapa elakkan daripada bahagian kulit tempurung yang berwarna coklat. Kumpulkan kelapa parut dalam bekas yang bersih. Untuk lebih tahan lama sebaiknya isi kelapa dibakar dulu sebelum diparut.


Ramuan kulban disediakan dengan kita goreng bawang, bawang putih dahulu sebelum menumbuk lumat dalam lesung semua termasuk bawang putih, bawang merah, cili padi, cili merah, daun limau purut, cekur, belacan (dibakar dahulu), garam, gula dan serbuk perasa (jika mahu). Apabila lumat masukkan ramuan kedalam bekas yang ada kelapa parut dan gaul sehingga sebati. Campurkan ramuan tadi dengan daun ubi, kacang panjang, taugeh atau kangkong yang telah masak dan gaul sehingga sebati. Kulban ini boleh dihidangkan untuk dimakan dengan nasi atau dimakan begitu sahaja. Makanan ini mudah dihadamkan dan mengandungi serat yang tinggi serta baik untuk kesihatan selain daripada enak dimakan. Selamat mencuba. Wasallam!

NAMA KULUBAN... MENU JAWA...
DAUN UBI...DICAMPUR KELAPA...
MASA KENDURI... AMAT BIASA...
LEMAK PEDAS... MEMANG TERASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1017, Best Western Premier Dua Sentral,
8, Jalan Tun Sambhanthan, 
Kuala Lumpur,
Malaysia.
(4 Oktober 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.