Saturday, August 3, 2013

VARIETI 'CEMPEDAK DURIAN'

CHEMPEDAK DURIAN (Artocarpus chempeden) merupakan satu varieti chempedak yang tidak begitu popular di kalangan petani dimana ia mempunyai aroma atau bau yang sangat kuat. Varieti ini telah didaftarkan didalam National Listing pada Julai 2013 dengan nombor CH38 dan nama varieti sebagai 'Cempedak Durian'. Ramai diantara kita di Malaysia yang kenal akan buah cempedak dan juga buah durian. Kedua-dua tanaman popular ini memang berbeza diantara satu sama lain kerana buah Cempedak (Artocarpus cempeden) adalah daripada keluarga Moraceae sementara buah Durian (Durio zibethinus) adalah daripada keluarga Malvaceae. Saya biasa dengan cempedak varieti CH28, CH29 dan CH30 yang telah disyorkan oleh Jabatan Pertanian dimana varieti Cempedak tersebut telah pun dikomersilkan penanamannya. Saya juga pernah makan dan kenal akan varieti 'Cempedak-Nangka' yang mempunyai kombinasi antara rasa cempedak dan juga rasa nangka serta ciri-ciri varieti tersebut. Apabila saya ditanya mengenai cempedak varieti "Cempedak-Durian", saya terkeliru dengan buah Cempedak-nangka pada asalnya. Kini saya telah membuat siasatan teknikal mengenai varieti Cempedak-durian yang rupanya telah lama juga 
di promosikan di gerai FAMA pada Pameran MAHA International di MAEPS Serdang pada tahun 2010 dan mungkin ada pada tahun 2012 yang lepas (Lihat foto diatas). Marilah kita sama-sama mengenal akan varieti cempedak-durian yang kurang popular ini untuk dijadikan bahan rujukkan kepada mereka yang berminat untuk menanamnya. Artikel petang Jumaat sementara menunggu waktu untuk berbuka ini, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai varieti 'Cempedak-Durian' yang saya siasat bersama seorang pakar rujuk buah-buahan dari Bahagian Hortikultur Negeri Perak untuk bahan rujukkan anda semua.


Pokok cempedak varieti 'cempedak-durian' ini mempunyai ciri bentuk pokok, daun dan batang yang agak serupa dengan pokok cempedak varieti lain. Ketinggian pokok mencecah 15 - 18 meter dengan batang berbentuk selinder dengan kulit berwarna coklat kelabu gelap (Lihat foto sebelah). Pokok ini mempunyai banyak cabang daripada peringkat rendah (anak benih cantum matatunas) dan bukan daripada benih dari biji. Ranting hujungnya didapati berbulu. Daunnya berbentuk epiliptik kepada bentuk obovate dengan hujung yang tirus berwarna hijau gelap dengan permukaan atas daun adalah berkilat. Saiz daun sekitar 8 - 22 cm panjang dengan 4 - 8 cm lebar dengan panjang tangkai sekitar 2-3 cm. Daun didapati banyak dan merimbun terutama pada pokok muda. Bunga cempedak ini keluar daripada ruas dahan dan juga batang pokok. Bentuk bunga dan warna sama seperti pokok cempedak varieti lain tetapi jumlahnya sederhana banyak bergantung kepada kesuburan pokok, umur dan keadaan cuaca. 


Penanaman pokok varieti cempedak-durian menggunakan anakbenih cantuman matatunas yang telah disahkan ketulinannya. Jarak tanaman disyorkan adalah 9m x 9m untuk mendapatkan kepadatan 123 pokok sehektar. Lubang penanaman berukuran 0.6m x 0.6m x 0.6m dibuat dan masukkan bahan seperti baja organan (7.5 kg) dan Baja Fosfat (150 gram) dan digaul dengan tanah atas serta dibiarkan selama 2 minggu.  Saya sering menasihatkan semua petani agar mempastikan kawasan penanaman cempedak sebaiknya menerima cahaya matahari 100% dengan sistem saliran sempurna bagi mendapatkan kesuburan pokok optima. Anakbenih diletakkan dibahagian tengah lubang dan timbus serta padatkan. Pacak tiang kayu penanda pada pangkal pokok yang baru ditanam. Jadualkan penanaman pada musim hujan kalau kebun tidak dipasang sistem pengairan. Pangkasan dijalankan dua peringkat iaitu Cantasan Pembentukan diperingkat awal penanaman kemudian Cantasan Penjagaan apabila pokok meningkat dewasa. Pokok perlu dicantas (Lihat foto sebelah) untuk mendapatkan perseimbangan dahan dan sistem pengudaraan sempurna. Pembajaan, Kawalan Musuh dan Perosak dijalankan sama sahaja mengikut amalan teknologi tanaman cempedak.


Buah cempedak nangka keluar mengikut musim utama buah-buahan bermusim iaitu sekitar Jun - Ogos setiap tahun dengan jumlah bunga serta buah tidak menentu. Foto sebelah menunjukkan buahnya keluar dari batang pokok dengan bilangan yang agak jarang bergantung kepada umur pokok dan pengurusan tanaman. Lazimnya varieti ini mampu mula berbunga dan berhasil setelah 2.5 - 4 tahun ditanam. Bagaimana pun buah peringkat awal dibuang untuk menggalakkan pokok cepat membesar. Pokok yang berumur 4 tahun keatas lazimnya sesuai disimpan untuk penghasilan tetapi proses penjarangan putik buah perlu dibuat jika jumlahnya terlalu banyak. Ini bertujuan untuk mendapatkan saiz buah sesuai untuk dijual. Antara serangga perosak adalah seperti Lalat Buah (Bactocera carambolae), Ulat Pengorek Batang (Apriona flavescens) dan Ulat Pengorek Buah (Margaronia caesalis) dimana ia dikawal dengan amalan agronomi dan racun serangga. 


Buah cempedak varieti 'Cempedak-durian' ini bersaiz kecil berbanding dengan varieti cempedak popular yang lain.  Jika anda semua lihat, sekali pandang kepada foto sebelah mungkian anda akan 'mengiakan' bentuk buah, warna dan bentuk duri seakan buah durian. Warna kulitnya adalah hijau kecoklatan seperti jenis durian berkulit kehijauan dengan durinya mempunyai bentuk tajam seperti buah durian. Bentuk buah yang bulat lonjong mempunyai tangkai sepanjang 3-5 cm sama seperti tangkai durian. Itu mungkin diantara ciri kenapa penduduk tempatan menamakan varieti ini sebagai 'cempedak seperti durian'. Kebanyakan buah cempedak lain adalah berbentuk selinder memanjang yang amat mudah dikenali tidak seperti buah ini. Berat buah sekitar 500 - 900 gram sebiji bergantung kepada banyak faktur. Kajian menunjukkan harga ladang sekitar RM 3.00 - RM 3.50 sekilogram di Bidor. Perak dan sekitar RM 4.50 - RM 6.00 sekilogram pada jualan runcit.


Paling unik buah varieti ini adalah isinya dan aromanya. Isinya bersaiz besar berwarna kuning oren dengan bilangan ulas sdikit sahaja. Beberapa buah yang dibelah menunjukkan terdapat sekitar 4 - 8 ulas sahaja isinya yang terletak pada bahagian bawah buah. Bahagian atas sering tiada isi ulas dan kosong sahaja. Rasa buah manis dan sederhana manis dengan bacaan kemanisan 10 - 16 % Brix. Jerami dalam buah juga amat sedikit dan macam tiada pada sesetengah buah. Empulur yang berada ditengah buah juga agak besar dan sering juga ulas buah berada disebelah sahaja tidak seperti varieti lain yang isinya penoh seakan 'pusing keliling'. Paling istimewa pada ciri buah ini adalah 'AROMA' atau baunya yang sangat kuat seperti bau durian. Bau kuat yang terdapat menyebabkan kita berselera untuk memakannya. Kepada mereka yang ingin menanam boleh mendapatkan benih cempedak durian daripada pembekal yang ada sijil SPBT. Selamat membeli, merasa dan menanam buah Cempedak-Durian!.


Isi buah yang manis dan lembik (Overripe).

NAMANYA UNIK.... CEMPEDAK DURIAN....
BUAHNYA KECIL.... ISINYA JARANG...
AROMANYA KUAT...BAU TIDAK TAHAN...
VARIETI UNIK... SEDANG DIDAFTARKAN...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Bidor, Perak,
Malaysia.
(1 Ogos 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.