Sunday, August 11, 2013

MUAR - SYURGA MAKANAN

MUAR (Muo) merupakan salah satu bandar tertua di Johor yang terletak di Kuala Sungai Muar bersempadan dengan Negeri Melaka. Nama lain bandar ini adalah Bandar Maharani dimana di daerah inilah saya dilahirkan, bersekolah dan juga pernah bertugas selama 5 tahun lamanya. Rasanya tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama bagi kita untuk mencintai persekitaran Bandar Muar. Penduduknya yang berbilang kaum atau keturunan akan melayan tetamu dari luar yang datang bertandang sungguh memukau. Rasanya dengan rasa senang hati, ramai individu yang anda hampiri akan memberi panduan dimana juga destinasi yang wajib dikunjungi oleh seorang yang mengembara. Melalui Jambatan Sultan Ismail yang dibina lama dahulu menuju ke bandar Muar,  anda seolah-olah akan kembali ke zaman kolonial. Semua itu dapat dilihat daripada bangunan-bangunan klasik yang mendominasi bandar Muar. Artikel petang 30 Ramadan 1434 hijrah ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kehebatan Muar sebagai salah satu dari syurga makanan yang enak dan murah serta patut dikunjungi.


Menurut sejarah yang asal, Parameswara pernah singgah di Muar sebelum pergi ke Melaka. Maklumat lain juga ada mengisahkan tentang kehebatan Muar atau nama kunonya, Bentayan adalah sangat panjang. Sesuatu yang sangat sinonim dengan daerah yang pernah menjadi sebahagian daripada empayar Majapahit itu ialah tentang kepelbagaian makanannya. Didapati cerita daripada mulut ke mulut yang mengatakan hidangan sarapan pagi orang Muar berbeza daripada tempat lain bukan satu dongengan. Memang telah diketahui sekiranya menu sate dan mi bandung di Kuala Lumpur atau di Melaka, dimakan pada waktu malam tetapi keadaannya ini amat berbeza di Bandar Muar iaitu 'SATE PAGI'. Pada waktu pagi di Muar, kita akan disajikan dengan pemandangan ramai lelaki separuh umur membakar sate di kaki lima kedai masing-masing. Senario itu boleh dilihat di warung atau kedai-kedai di Jalan Abdullah, Jalan Maharani hingga ke Jalan Petrie dan juga di Tanjung Emas. Antara kedai yang boleh disinggah ialah kedai yang terletak berhampiran Hotel Paris di Jalan Abdullah atau di Terminal Sate Muar dimana ia berdekatan dengan stesen bas Bentayan.


Mee Bandung Muar, Jalan Abdullah.
Saya lazimnya lebih suka memilih untuk bersarapan pagi di Restoran Selera Bandung Muar di Jalan Abdullah. Muar yang merupakan sebuah bandar yang masih mengekalkan ciri-ciri klasik terutama pada seni bina bangunannya. Pemilik kedai itu, Abu Bakar Hanipah memang melayan pelanggan dengan penuh mesra. Dia akan bercerita tentang kelazatan mi bandung dan satenya yang telah menggamit ramai pengunjung dari masyarakat tempatan malahan ada orang asing dari Jepun, Arab Saudi dan Hong Kong yang suka akan resepinya. Mengenai apakah rahsianya kelazatan mee bandung beliau, katanya dia telah mewarisi resipi Mi Bandung Muar nenek moyang yang berasal dari India dan berhijrah ke Muar pada tahun 1930-an. Sate ayam dan daging lembu serta perut pula tidak dihasilkan dengan sambil lewa sahaja sebaliknya menggunakan ramuan yang diwarisi daripada satu generasi ke generasi. Jumlah jualan sekitar 800 hingga 1,000 cucuk sehari. Mi bandung air tangan Abu Bakar yang padat dengan daging cincang, udang segar, sotong, telur dan sayur, ternyata membuka selera.


Kopi 434 apa rasanya? .
Barangkali pengunjung akan rambang mata melihat lebih daripada 25 jenis kueh-kueh tradisional seperti kuih bakar dan koci, dibariskan di atas sebuah meja panjang. Sekeping kuih yang cuma berharga 30 sen dan sebungkus nasi lemak berharga 70 sen membuatkan anda tidak lokek membelanja rakan anda. Jika ingin beralih ke lokasi sarapan yang lebih eksklusif, singgah minum kopi 434 di Jalan Maharani (Lihat foto disebelah). Jangan lupa menikmati roti bakar dan telur separuh masak yang juga boleh mengenyangkan. Terdapat juga 'Kedai Bai' di Jalan Hashim yang dibuka sejak pagi dengan hidangan pelbagai kuih mueh dan teh sarbat dimana harganya amat murah sekali. Mee goreng, pisang goreng, pelbagai kuih tempatan dan dijual pada warung yang memang menjadi tumpuan maysarakat tempatan dengan harga serendah RM 3.00 seorang mampu kenyang perut.


Gerai Asam Pedas popular.
Makanan Asam pedas juga merupakan satu identiti di daerah ini dimana Asam Pedas Parit Jawa merupakan resepi asam pedas yang popular. Pekan Parit Jawa yang merupakan pusat pendaratan ikan menggunakan ikan segar yang dimasak asam pedas dengan resepi istimewa. Perjalanan yang mengambil masa 20 minit untuk mencuba asam pedas perlu elakan dari terlewat kerana kita mungkin terlepas menikmati asam pedas istimewa di gerai Asam Pedas Pak Yahya jika anda bercadang ke sana lewat tengah hari. Pergi kegerai asam pedas seawal jam 11.00 pagi dimana beberapa gerai disini sudah bersedia menghidangkan asam pedas segar. Jika anda sampai sekitar pukul 1.30 tengah hari jawabnya anda akan gigit jari sahaja kerana mereka ada yang sudah berkemas mahu pulang.  Diantara faktor utama asam pedas muar laris kerana harga, kesegaran ikan, varieti ikan dan pakej makanan yang ditawarkan.  Orang Muar sudah makan tengah hari sejak jam 11.00 pagi dimana menunya ialah asam pedas mengikut pilihan ikan seperti siakap, sembilang, ikan pari atau kembung, sayur kubis, sambal belacan dan telur masin. Biasanya hidangan untuk lima orang, saya hanya akan caj kurang daripada RM20 saja. Kita juga boleh berkunjung ke warung asam pedas di Jalan Joned dan Medan Selera Tg Emas.


Apam Jepun Muar - Enak dan Manis.
Selain sarapan pagi, menu makan tengah hari di Muar juga unik. Restoran Herba dan Rempah Ratus Nasuha yang terletak di Jalan Muar- Pagoh misalnya, menyediakan nasi beriani mengandungi ramuan tujuh herba. Selain itu ada menu 'Apam Jepun' yang terletak di satu sudut terpencil di Jalan Abdullah iaitu terdapat sebuah kereta tolak di Jalan Sisi milik Yusuf Daud, 45. Ramai tahu lelaki itu menjual sejenis kuih yang dinamakan apam jepun yang sesuai untuk hidangan minum petang. Apam Jepun yang diusahakan sejak tahun 1940 itu umpama apam balik dan dorayaki. Namun, ia berbentuk bulat dan intinya adalah campuran kacang tanah dan kacang merah. Pada tahun 1960-an kami idmaklumkan yang harga sekeping apam jepun berharga 5 sen tetapi kini harganya mencecah 25 sen sekeping.


Murtabak Singapore -
banyak daging
Saya juga sering membeli 'Murtabaak Singapore' semenjak lama dulu di Muar. Restoran itu yang terletak di Jalan Kesang, Tanjung Agas Muar (Kini jadi Daerah Ledang) menghidangkan menu ini sepanjang tahun berhampiran dengan rumah sewa saya dahulu. Istimewanya tentang martabak itu ialah saiznya yang besar dan diadun bersama telur dan daging lembu cincang yang ada didalam dan diluar kulit murtabak (Lihat foto sebelah)Jika anda tidak kuat makan, memadailah memesan martabak berharga RM6 dan yang bersaiz besar RM8 sekeping. Kedai itu dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam. Murtabak ini boleh dimakan begitu sahaja atau dengan kuah bawang atau minta sahaja kuahnya. Menu lain tidak lengkap hidangan makan malam anda jika tidak mencuba 'Tauhu Goreng Bentayan' yang juga istimewa untuk bandar ini. Makanan ini hanya terdapat di Muar saja dimana ia adalah warisan daripada ibu mertua saya sejak 15 tahun lalu dakwa pengusahanya iaitu Puan Adibah Shamsuri.  Sepinggan tauhu goreng Bentayan cuma berharga RM2 saja. Meskipun tauhu goreng itu dihidangkan bersama timun, taugeh dan dicicah dengan kicap cili padi, rasanya cukup enak. Kepedasannya mampu menitiskan air mata anda.


Tauhu Goreng Bentayan
Selain itu makanan rojak petis adalah istimewa di Muar dimana rojak petis adalah makanan yang tidak kurang hebat (Baca artikel rojak petis - Sila Klik Disini). Berbeza daripada rojak biasa didapati Rojak Petis Muar dimakan bersama tempe dan juga tauhu. Penyediaannya juga mudah dengan rasa manis, pedas, masin, masam buah-buahan terpilih. Harganya sekitar RM3 satu pinggan yang dihidangkan dengan air buah-buahan. Terkini adalah Medan Selera Ikan Bakar Sabok Awor. Selain Melaka yang terkenal dengan ikan bakar kini daerah Muar juga ada medan ikan bakar setanding di Melaka. Berhampiran dengan Lebuhraya AMJ ia mudah dikunjungi. Jangan anda terkejut dengan harga makanan di Restoran Ikan Bakar Wak Jos. Hidangan popular termasuklah ikan siakap kukus, sotong goreng tepung, kupang berlada, udang sambal, ikan kembong goreng dan dua minuman jus hanya berharga RM40. Restoran milik Josri Alwee atau Wak Jos, 52, sentiasa sesak dengan pelanggan.


Cendol Pulut - Tengah malam ada.
Muar memang syurga makanan yang unik dimana anda boleh minum cendol pada waktu tengah malam. Perkara itu tidak mustahil di Muar dimana anda boleh mencuba cendol pulut atau kacang yang diusahakan oleh Abdul Nasir Meerasah, 54, di Uptown Jalan Sisi, Muar. Di tempat Uptown yang dibuka pada hari Sabtu dan Ahad di Jalan Sisi kita juga berpeluang mencuba menu lain seperti tauhu bakar dan otak-otak Muar (enak sungguh otak-otak Muar). Muar yang kaya dengan kepelbagaian makanan dan opera kehidupannya yang muhibah serta harmoni dahulu dikenali juga dengan bandar orang bersara (Bandar Pencen) dimana ramai pegawai kerajaan yang menetap di Muar. Ini kerana bandar ini mempunyai makanan yang enak, murah dan persekitaran untuk bersara yang selesa. Selepas bersara nanti saya akan tetap berkunjung ke Muar kerana hanya 30 minit sahaja dari rumah penulis yang terletak di Melaka melalui Lebuhraya AMJ. Semuga anda akan menikmati menu istimewa daerah ini yang cukup enak untuk hidangan sekeluarga.

DIBANDAR MUAR... MAKANAN UNIKNYA...
SATE PAGI... MI BANDUNG MUAR ENAKNYA...
APOM JEPUN.. PEDAS ROJAK PETISNYA...
MARTABAK SINGAPORE...BANYAK DAGINGNYA...
TAUHU GORENG BENTAYAN.. ADA DIMANA...
TAHU GORENG... KOPI 434 LAWANNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Bandar Maharani, Muar,
Johor, Malaysia.
(2 Syawal 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.