Monday, August 5, 2013

LIMAU MANIS - TESTIMONI

LIMAU MANIS (Citrus spp) merupakan pokok buah-buahan yang berdaun sepanjang tahun dan bersaiz kecil hingga ke sederhana. Limau Manis (Citrus suhuensis) yang popular di Malaysia dari jenis Limau Madu (Citrus chinensis), Limau Langkat, Limau Mandarin dan beberapa jenis lagi.  Pokok limau mengeluarkan banyak cabang dan ranting, mempunyai tabiat pertumbuhan dahan dari menegak hingga melempai dan kanopi berbentuk bulat hingga ke bujur. Pokok limau manis memang mempunyai sistem perakaran akar tunjang. Varieti Limau Madu dan Limau Mandarin mempunyai daun berbentuk 'lanceolate/oblong' dengan tiada pembentukan kepak (wing) pada tangkai daun. Pada kebiasannya daun pokok limau berwarna daripada hijau muda ke hijau tua. Pada sesetengah varieti dibahagian daun terdapat kelenjar-kelenjar minyak (oil glands) yang mengeluar aroma yang menarik apabila dilipat atau diramas. Pokok yang dibiak secara tampang mula berbunga antara 2-3 tahun selepas ditanam. Bunga terbentuk secara satu-satu atau secara jejambak di celah-celah tangkai daun pada ranting-ranting muda. Kebiasaannya bunga mengeluarkan bau yang harum. Bunga mempunyai 5 kelopak yang berasingan, berwarna putih dan terletak di atas kalik. Stamennya yang banyak dan bercantum dipangkal biasanya berwarna puteh dengan hujungnya (anther) berwarna kuning. Stigma pula berwarna hijau kekuningan dan mempunyai stil yang sama panjang dengan stamen dan kedua-dua stamen dan stil terdapat di dalam kuntum bunga. Keluasan tanamn limau manis di Malaysia berjumlah 1,890 hektar dari pelbagai varieti seperti Limau Manis, Limau Bali, Limau Kasturi dan sebagainya pada tahun 2012. Artikel malam Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai testimoni tanaman limau yang diusahakan oleh usahawantani di Jerantut untuk dijadikan contoh.

Pendebungaan pokok limau berlaku secara pendebungaan sendiri. Agen pendebunga juga membantu dalam proses pendebungaan dengan dibantu agen pendebunga seperti lebah madu, kutu trip, semut, rama-rama dan sebagainya. Angin juga membantu proses pendebungaan pokok limau. Stigma bunga berupaya menerima debunga antara 1-3 hari sebelum antesis dan antara 6-8 hari selepas antesis (Lihat foto sebelah). Daripada pemerhatian ladang yang saya buat, enam hari selepas proses pendebungaan maka semua bahagian bunga akan luruh kecuali bahagian ovari dan stil. Ovari akan mula membesar dan stil mulai kering bermula dari bahagian stigma (101-105 hari selepas antesis) bergantung kepada varieti dan cuaca. Buah limau lazimnya berwarna hijau diperingkat muda dan akan bertukar kepada hijau berkilat atau oren bergantung kepada varieti. Buah limau di Malaysia kebanyakannya adalah untuk dimakan segar atau diproses (Limau Kasturi, Kimau Lemon) dan juga digunakan dalam perubatan tradisional. Tanaman limau madu seperti air laut yang sering pasang dan surut dimana ia diusahakan secara komersil tetapi akibat serangan CGD ia pupus dan dimulakan semula selepas beberapa waktu. Ini disebabkan oleh beberapa masaalah pengurusan tnaman limau madu seperti serangan Citrus Greening Disease (CGD), kanker dan sebagainya.

KAJIAN KES 1

JERANTUT 1 April 2010- Penanaman limau madu atau nama saintifiknya Citrus sinensis banyak diusahakan petani di Hulu Tembeling, Jerantut, Pahang berasaskan permintaan yang meningkat di pasaran tempatan. Bertolak hakikat itulah, seorang petani Kampung Tempan, dekat sini, Adenan Nipah, 55, beliau telah memajukan tanah pertanian seluas lapan hektar untuk tanaman limau madu dan sayur-sayuran. Katanya, projek tanaman itu bermula pada 1994 sebagai percubaan awal walaupun harus bersaing dengan pasaran buah-buahan tempatan lain. "Benih limau ini saya peroleh daripada Jabatan Pertanian yang turut memberi bimbingan dari aspek pengurusan tanaman dan ladang pada peringkat awal," katanya di Kampung Tempan, dekat sini baru-baru ini. Menurutnya, sebanyak 700 anak benih limau itu disulam di kawasan tanah pinggir kampung tersebut yang sudah diteroka untuk dimajukan dengan projek yang berkenaan. "Setelah tiga tahun bersusah payah menjaga tanaman ini, akhirnya membuahkan hasil pertama pada 1997 sehingga kini dan mendapat pasaran yang baik di pasar tani dan pusat pelancongan Taman Negara," ujarnya.

Tanaman itu, katanya, dijaga dengan rapi untuk mengelak pokok limau tersebut mati akibat serangan ulat, penyakit tanaman dan musuh lain iaitu babi hutan. "Kini cuma sebanyak 600 batang pokok mengeluarkan buah antara 400 hingga 700 biji," katanya. Katanya, sekilogram buah limau itu dijual dengan harga RM4 kepada pelawat di Taman Negara Kuala Tahan, Kampung Pagi dan kawasan berdekatan. Beliau berkata, pendapatan harian jualan buah limau mencecah antara RM80 hingga RM100 digunakan untuk belanja dapur, persekolahan, membeli baja dan racun serangga.  "Limau yang baru dipetik boleh dimakan begitu sahaja atau dapat bertahan beberapa hari untuk diperah menjadi jus yang manis," katanya. Tambahnya, usaha itu akan diteruskan dengan memajukan tanah terbiar berdekatan rumah dengan tanaman limau dan buah naga yang boleh mengecapi pulangan lumayan sesuai dengan kudrat dalam usia emasnya. Semuga artikel ringkas malam ini memberikan iilmu tambahan kepada pembaca semua.



KAJIAN KES 2

BALING 15 Julai 2011- Ketika kebanyakan pekebun memilih tanaman komoditi utama seperti getah dan kelapa sawit untuk mendapat keuntungan, namun lain pula bagi dua beranak yang lebih suka mengusahakan tanaman limau madu. Malah, usaha berani Ramli Salleh, 70, dan anak sulungnya, Basri, 35, mula meraih hasil lumayan dan dijadikan contoh oleh para pekebun lain. Mereka membuktikan kesungguhan mengusahakan tanaman limau madu sehingga mengeluarkan hasil sebanyak 12 tan metrik semusim. Kebun milik mereka seluas lapan hektar terletak di Kampung Lubuk Batu, Kuala Pegang, di sini yang diusahakan sejak tahun 2001 dijalankan secara sepenuh masa, kini mampu menguasai permintaan pasaran limau madu tempatan. Menurut Basri, kebun yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka memang dijaga sepenuhnya bagi menjamin mutu buah yang lebih baik dalam mereka meneroka pasaran buah limau madu. Katanya, bermodalkan kira-kira RM100,000 hasil pinjaman daripada Agro Bank dan wang simpanan sendiri, dia bersama bapanya telah berusaha untuk memastikan tanaman limau madu mengeluarkan hasil berganda dengan penjagaan rapi. ''Semua usaha menanam dan menjaga dilakukan sendiri bagi memastikan tanaman ini mengeluarkan hasil mengikut jadual,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.


Basri mengakui walaupun sedikit sebanyak masalah berlaku terutama dari segi serangan penyakit, namun mereka mendapat khidmat nasihat dari Jabatan Pertanian. Katanya, jabatan itu turut membantu memastikan tanaman limau madu secara komersial itu dapat berbuah lebat dan tidak diserang penyakit secara serius. Keperluan limau madu untuk pasaran tempatan cukup melegakan dua beranak ini. Ini kerana setelah limau itu cukup tua, ia boleh dikutip sendiri oleh peraih dan pembeli yang datang ke kebun. Malah, jelas Basri, selain peraih tempatan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) turut membeli hasil tanamannya untuk diedarkan kepada penjual buah di luar daerah ini. Basri berkata, kebiasaannya peraih dan pembeli akan datang memetik sendiri buah limau di pokok dan membelinya pada harga di ladang kira-kira RM1.00 sekilogram. Tambah beliau, walaupun harganya agak rendah berbanding dengan harga dipasaran, tetapi kerja memetik buah dilakukan oleh mereka sendiri. Kata Basri, kebiasaannya setiap hari antara 200 hingga 300 kilogram buah dapat dikutip oleh peraih dan pembeli. Bagi Ramli pula, keinginan mengusahakan tanaman limau madu amat berpotensi tinggi kerana permintaan di pasaran cukup menggalakkan berbanding buah-buahan lain.


Usaha bekas guru itu tidak sia-sia dan berbaloi sehingga boleh dibanggakan terutamanya dapat memberi dorongan kepada anaknya untuk terlibat dalam bidang pertanian itu. Selain itu, usaha tersebut dianggap sebagai menyahut seruan dan hasrat kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan. ''Usaha ini untuk memberi dorongan kepada anak saya supaya terlibat dalam bidang pertanian selain memperoleh pendapatan yang lumayan,'' katanya. Baginya, walaupun baru pertama kali terlibat dengan tanaman itu, sekurang-kurangnya, beliau dapat belajar selok-belok tanaman limau madu. Ladang limau madu dua beranak itu juga menjadi contoh betapa usaha pertanian secara komersial boleh menandingi dan mendatangkan hasil berlipat ganda setanding dengan tanaman komoditi lain. Limau madu itu yang rasanya agak manis merupakan satu daya tarikan kepada peminat buah-buahan tersebut. Kejayaan Ramli dan anaknya mengusahakan tanaman komersial itu telah membuka mata kebanyakan petani di sekitar kampungnya yang sebelum ini hanya membiarkan tanah sawah terbiar dan ditumbuhi lalang. Pengusaha tanaman limau lain juga menunjukkan minat mempelajari teknik yang dilaksanakan oleh Ramli dan anaknya dan mereka seringkali berkunjung ke ladang limau madu tersebut. Begitulah dua testimoni mengenai aktiviti penanaman limau bali yang dijalankan sebagai makluman.

LIMAU MADU.. ADALAH GELARANNYA...
BERWARNA HIJAU... WARNA KULITNYA...
RASA YANG MANIS... MASAM ADA JUGA...
KHIDMAT NASEHAT... PETANI BERJAYA... 

By,
M Anem
Senior Agronomist
Room 329, Lead View Hotel,
Manjung, Perak,
Malaysia.
(23 Ramadan 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.