Wednesday, August 14, 2013

KELAPA SAWIT - APA DIA?

SEJARAH KELAPA SAWIT
Sawit atau kelapa sawit (Elaeis guineensis) berasal dari Afrika Barat. Industri sawit Malaysia dan Indonesia bermula apabila empat anak benih dari Afrika ditanam di Taman Botani Bogor, Indonesia pada 1848. Benihnya dari Bogor ini kemudiannya ditanam di tepi-tepi jalan sebagai tanaman hiasan di Deli, Sumatera pada 1870-an dan di Rantau Panjang, Kuala Selangor pada tahun 1911-1912. Di Taman Botani Bogor terletak di Bogor di Indonesia terdapat pohon kelapa sawit tertua di Asia Tenggara yang berasal dari Afrika. Dibina pada 1817, seluas 87 hektar hasil usaha Prof. Dr. Reinwadt, ahli botani Belanda. Terdapat 20,000 tanaman yang tergolong dalam 6,000 spesies. 
Perladangan kelapa sawit di Malaysia merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. Industri sawit Malaysia bermula pada 1917 apabila Ladang Tenmaran di Kuala Selangor ditanam dengan benih dura Deli dari Rantau Panjang. Apabila pewarisan bentuk buah difahami, penanaman komersil beralih daripada bahan dura kepada kacukan dura x pisifera (D x P). Kacukan D x P menghasilkan buah tenera. Penanaman ladang menggunakan bahan D x P berlaku secara mendadak pada awal 1960-an apabila Felda membuka tanah rancangan secara besar-besaran. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kelapa sawit berdasarkan artikel dari wikepedia yang disesuaikan dengan pengetahuan dan pengalaman penulis.

CIRI POKOK KELAPA SAWIT
Kelapa sawit termasuk tumbuhan pohon. Tingginya dapat mencapai 24 m. Bunga dan buahnya berupa tandan, bercabang banyak. Buahnya kecil, bila masak berwarna merah kehitaman. Isi buahnya padat. Isi dan kulit buahnya mengandung minyak. Minyaknya itu digunakan sebagai bahan minyak goreng, sabun, dan lilin.Hampasnya dimanfaatkan untuk makanan ternak. Hampas yang disebut bungkil itu digunakan sebagai salah satu bahan pembuatan makanan ayam. Tempurungnya digunakan sebagai bahan bakar dan arang. Kelapa sawit berkembang biak dengan biji, tumbuh di daerah tropika, pada ketinggian 0 - 500 m di atas permukaan laut. Kelapa sawit menyukai tanah yang subur, di tempat terbuka dengan kelembaban tinggi. Kelembapan tinggi itu antara lain ditentukan oleh adanya curah hujan yang tinggi, sekitar 2000-2500 mm setahun. Pelepah sawit meliputi lai daun, setiap satunya mengandungi lamina dan midrib, racis tengah, petiol dan kelopak pelepah. Lai daun berukuran 55 sm hingga 65 sm dan menguncup dengan lebar 2.5 sm hingga 4 sm. Ada dua jenis bentuk kedudukan lai daun dalam Elaeis oleifera. Setiap pelepah mempunyai lebih kurang 100 pasang lai daun. Bilangan pelepah yang dihasilkan meningkat sehingga 30 hingga 40 ketika berumur tiga hingga empat tahun dan kemudian jumlahnya menurun sehingga 18 hingga 25 pelepah. Stomata atau rongga terbuka untuk menerima cahaya dalam proses fotosintesis wujud pada permukaan lai daun. Pelepah matang berukuran hingga 7.5 sm dengan petiol lebih kurang satu perempat daripada panjang pelepah serta mempunyai duri. Pelepah sawit tersusun dalam bentuk pusaran yang mana setiap satu pusaran bagi setiap lapan pelepah.


BAKA KELAPA SAWIT
Program pembiakan di Malaysia dan Indonesia sejak 1920-an terhadap baka dari Deli untuk tujuan komersil telah menjadikannya seragam dan bermutu tinggi. Bahan ini kemudiannya dikenali sebagai dura Deli. Sawit boleh diklasifikasikan kepada tiga jenis bentuk buah berdasarkan ketebalan tempurung, iaitu dura (tempurung tebal),tenera (tempurung nipis) dan pisifera (tiada tempurung) . Buah tenera menghasilkan minyak yang lebih banyak berbanding buah dura kerana perbezaan ketebalan tempurung. Pisifera adalah mandul betina, iaitu bunga betina yang sepatutnya berkembang untuk menjadi buah dan tandan akan gugur sebelum matang. Keadaan ini menyebabkan pisifera tidak mengeluarkan tandan, sebaliknya banyak mengeluarkan bunga jantan. Namun, ada juga segelintir pisifera yang subur. 
Program pembiakan dan pemilihan baka sawit di Malaysia dimulakan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 1912, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia(MARDI) mulai tahun 1969, Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM) pada 1979, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sejak 2000 . Program biakbaka sawit adalah berdasarkan kepada objektif berikut (1) Meningkatkan hasil minyak (2) Meningkatkan kualiti minyak (3) Mengurangkan kadar ketinggian pokok (4) Tahan kepada perosak dan penyakit. Induk untuk pengeluaran biji benih D x P dipilih berdasarkan hasil tandan dan komponen kualiti tandan dari pokok yang diketahui akan semua salasilahnya. Data ukuran vegetatif sering diambil kira ketika pemilihan. Rekod hasil dikumpul bagi tempoh tidak kurang empat tahun berturut-turut. Komponen kualiti tandan seperti peratusan perahan minyak dan hasil isirung ditentukan melalui kaedah ‘analisis tandan’ di mana 3 - 5 tandan dianalisis setiap pokok. Semua data yang dikumpul berdasarkan pokok individu. Pada tahun 2003, dianggarkan 58 juta benih D x P dikeluarkan di Malaysia. Jumlah keluaran pada tahun tersebut meningkat selepas pengurangan permintaan antara 2000 hingga 2002. Peningkatan ini disebabkan aktiviti penanaman semula.

POTENSI MINYAK SAWIT
Program penyelidikan berjaya meningkatkan hasil minyak sawit berlipat kali ganda berbanding hasil daripada pokok liar di Afrika. Sungguhpun wujud progeni dan pokok individu dengan hasil minyak melebihi 12 tan sehektar setahun, namun masih wujud ruang yang luas untuk mencapai potensi hasil maksimum 18.2 tan sehektar setahun.  Hasil tandan dan perahan minyak dura Deli dan kacukan dengan pisifera, terutama dengan baka AVROS, adalah unggul dan digunakan untuk menghasilkan bahan tanaman di seluruh dunia. Sungguhpun hasil FFB daripada bahan D x P tidak meningkat dengan ketara berbanding bahan dura, namun hasil minyak telah dimajukan daripada 3.7 tan sehektar setahun (dura) kepada 6.3 tan sehektar setahun (D x P). Kelapa sawit adalah salah satu komoditi pertanian utama bagi negara Malaysia yang perkembangannya demikian pesat. Selain produksi minyak kelapa sawit yang tinggi, produk sampingan juga tinggi. Secara umum hasil dari industri kelapa sawit terdiri atas tiga macam iaitu minyak cair, padat dan gas. Minyak kelapa sawit berasal dari unit proses pengukusan (sterilisasi), proses klarifikasi dan buangan dari hidrosiklon. Pada umumnya, minyak industri kelapa sawit mengandungi bahan organik yang tinggi sehingga berpotensi mencemari air tanah dan permukaan sungai dan air laut. Sedangkan minyak likat kelapa sawit dikelompokan menjadi dua iaitu likat yang berasal dari proses pengolahan dan yang berasal dari basis pengolahan minyak cair. Limbah padat yang berasal dari proses pengolahan berupa Tandan 

KEPENTINGAN KELAPA SAWIT
Industri makanan berasaskan minyak sawit di Malaysia telah mengalami perkembangan pesat sejak tiga dekad yang lalu. Kawasan tanaman sawit meningkat daripada anggaran satu juta hektar dalam tahun 1980 kepada dua juta hektar dalam tahun 1990, dan hari ini ia berada pada keluasan 3.8 juta hektar, bersamaan dengan lebih 500 juta pokok sawit.  Dari segi penghasilan minyak sawit mentah (CPO), pengeluaran dicatat pada 13.35 juta tan dalam tahun 2003 daripada sejumlah 370 kilang buah sawit di seluruh negara.  Industri ini juga turut terbabit secara meluas dalam aktiviti hiliran, daripada penapisan sehingga kepada penghasilan minyak masak dan oleokimia.  Malaysia mempunyai jumlah penduduk yang agak kecil seramai 24 juta orang dan dengan itu, penggunaan minyak sawit secara tempatan adalah agak terhad.  Oleh kerana itu, lebih 90 peratus pengeluaran minyak makan tahunan telah dieksport, menjadikan hasil sawit punca pendapatan tukaran wang asing yang penting untuk negara ini, serta tonggak ekonomi negara. 

Nilai eksport minyak sawit pada tahun 2003 berjumlah RM 26.15 bilion ketika harga purata minyak sawit mentah berada pada paras RM 1,544 satu tan. Hari ini, Malaysia menyumbang anggaran 50 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia dan anggaran 60 peratus daripada jumlah dagangannya. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa sejumlah besar keluasan kawasan tanaman minyak sawit yang telah dikatakan ditanam di dalam kawasan hutan tropika, sebenarnya ditanam di kawasan hutan pembalakan, atau ditanam semula di dalam kawasan yang sebelum itu ditanam dengan tanaman lain. Contohnya, daripada tahun 1990 hingga 2000, ketika kawasan tanaman kelapa sawit di Malaysia meningkat sebanyak 1.4 juta hektar, kegiatan menanam getah, koko dan kelapa masing-masing menurun sebanyak 0.4, 0.3 dan 0.2 juta hektar.  Sejumlah besar keluasan kawasan tanaman ini ditanam semula dengan kelapa sawit kerana ia tanaman yang lebih menguntungkan. Nilai pelaburan terkini dalam industri minyak sawit Malaysia dianggarkan sekitar RM62 bilion dengan sejumlah besar pembiayaan ini diperoleh dalam negeri. Peningkatan secara meluas penanaman sawit ini membawa pembangunan yang amat diperlukan di kawasan luar bandar, dan telah menjadi tulang belakang ekonomi luar bandar.  Seramai 290,000 pekebun kecil di skim tanah kerajaan serta pekebun kecil persendirian, bergantung sepenuhnya kepada tanaman ini untuk kehidupan harian mereka. Hasil pendapatan daripada sawit membawa kesan penting dalam mengekalkan kestabilan sosioekonomi golongan ini. Tambahan pula, seramai 180,000 lagi pekerja di ladang sawit dengan jumlah pendapatan dan kebajikan mereka yang lain, adalah penyumbang besar kepada kestabilan politik dan sosio-ekonomi terutamanya ketika krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997-1998.

KEGUNAAN KELAPA SAWIT
Kelapa sawit dapat dipelbagaikan kegunaannya Jika getah dapat dipelbagaikan kegunaannya menjadi 1,500 jenis barangan, begitu juga dengan kelapa sawit. Antara barangan yang terbaru hasil dari penyelidikan kelapa sawit dapat hasilkan. Aiskrim adalah diantara kegunaan istimewa minyak sawit ialah sebagai bahan asas dalam pengeluaran aiskrim. Walaupun lemak susu adalah bahan paling sesuai digunakan dalam pembuatan aiskrim, minyak sayuran yang diadun istimewa boleh dijadikan bahan alternatif. Penggunaan minyak sawit dan minyak isirung sawit dalam pembuatan aiskrim bukan sahaja menghasilkan aiskrim lembut dan gebu, tetapi tidak mudah rosak.
Konfeksi adalah produk Pengganti Lemak Koko (CBR) adalah lemak yang digunakan untuk menggantikan secara separa atau keseluruhan penggunaan lemak koko dalam pembuatan produk coklat dan konfeksi. Melalui proses pemisahan, minyak sawit dan minyak isirung sawit boleh digunakan untuk menghasilkan CBR. Produk coklat dan konfeksi yang diperbuat menggunakan CBR berasaskan minyak sawit mempunyai rasa hampir menyamai produk yang diperbuat menggunakan lemak koko. Ini kerana bahan berasaskan minyak sawit menghasilkan produk dengan permukaan berkilat, dapat bertahan lebih lama dan mudah cair apabila dimasukkan ke dalam mulut. Produk Krimer adalah adunan minyak sawit dan minyak isirung sawit, serta lain minyak digunakan secara meluas untuk menggantikan lemak susu dalam penyediaan krimer kopi bukan berasaskan tenusu. Krimer sawit menggantikan penggunaan krimer tenusu dalam penyediaan minuman kopi, serta ia tahan lebih lama dan lebih mudah digunakan. Minyak sawit dan minyak isirung sawit sangat sesuai digunakan untuk menghasilkan bahan krimer kerana ia tidak mudah mengalami oksidan, satu ciri yang mampu mengelakkan rasa tidak enak apabila kopi diminum. Secawan kopi yang menggunakan krimer berasaskan sawit lebih enak, berperisa dan memuaskan cita rasa peminumnya. 

Produk Serbuk Santan adalah bahan penting digunakan kebanyakan rakyat Malaysia untuk menghasilkan lauk-pauk dan kuih-muih tradisional atau moden. Minyak sawit yang diadun dan diproses menggunakan teknik sembur kering dapat menghasilkan bahan pengganti untuk serbuk santan kelapa. Serbuk santan berasaskan minyak sawit menyerupai santan kelapa komersil dari segi warna, bau, rupa dan rasanya. Serbuk santan berasaskan sawit juga memiliki nilai pemakanan yang baik kerana ia mengandungi kandungan lemak tepu yang rendah. Ia tahan lebih lama (tidak tengik) daripada tengik kerana mempunyai anti oksidan semulajadi seperti tokopherol dan tokotrienol. Ia juga tidak mudah basi walaupun ditinggalkan dalam suhu bilik. Pada suhu 15ÂșC pula, ia dapat bertahan untuk tempoh sekurang-kurangnya selama tiga bulan.  Produk Sosej dan Burger
Lelemak sawit juga boleh digunakan sebagai lelemak istimewa bagi menggantikan lemak haiwan dalam pembuatan makanan berasaskan daging seperti sosej, burger, bebola daging dan ayam, serta nugget. Diperbuat 100% daripada lelemak sawit, ia dirumus khusus sebagai pengganti lemak mentah lembu, ayam dan kulit ayam. Keluaran berasaskan sawit ini tidak menimbulkan rasa kurang enak makanan, malah menambah lagi keenakan sosej dan burger dihasilkan. Tanpa kolesterol dan mikrob makanan perosak, ia adalah makanan bersih dan halal untuk dinikmati. Mungkin anda tidak menyangka bahawa 80% daripada minyak sawit yang dihasilkan di Malaysia digunakan sebagai bahan makanan. Bagaimana dengan sejumlah 20% lagi? Selebihnya adalah untuk kegunaan dalam pembuatan produk bukan makanan.

PERSAINGAN PERINGKAT DUNIA
Malaysia perlu mematuhi keputusan Mekanisasi Pembangunan Bersih (CDM), satu prosedur ditetapkan mengikut Konvensyen Rangka kerja Perubahan Iklim (UNFCCC), bertujuan menstabilkan kepekatan gas rumah hijau (GHG) di atmosfera. Industri sawit Malaysia perlu mengambil kira penebasan hutan, pencemaran alam sekitar, hak asasi manusia dan perubahan iklim. Industri juga perlu membuat penyesuaian ke atas struktur dan sistem teknologi yang diguna pakai selari dengan keputusan UNFCCC dan pada masa sama, memastikan penghasilan produktiviti keluaran sawit terus dapat dipertingkatkan. Persaingan minyak sawit dengan minyak sayuran dan lelemak lain dunia akan berterusan pada masa depan. Bagi mempertahankan Malaysia terus unggul sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia. Langkah-langkah yang perlu diambil ialah (1) Inovasi dan teknologi pengeluaran produk makanan dari minyak sawit (2) Biomas dari buangan sawit (3) Biofuel dari minyak sawit (4) Meningkatkan produktiviti minyak sawit. semua tindakan ini selaras dengan Dasar untuk memenuhi permintaan makanan dunia,  Mengelakkan kemusnahan hutan, Mengelakkan kemusnahan habitat haiwan, Mesra alam dan juga selaras dengan keputusan UNFCCC untuk menangani pemanasan sejagat melalui pengurangan pelepasan GHG ke atmosfera yang menyebabkan kenaikan suhu air laut, kemarau dan juga ribut taufan.Minyak sawit akan menjadi minyak sayuran dan lelemak utama dunia. Oleh itu industri sawit perlu bersedia mengadaptasikan pendekatan pengurusan yang dapat mempertahankan kedudukan industri dari pesaing minyak sayuran dan lelemak lain dunia. Hampir 90% pengeluaran minyak sawit negara di eksport ke 140 buah negara seluruh dunia, selain menyumbang kepada 60% minyak sayuran dan lelemak yang di perdagangkan di pasaran dunia. Tidak mustahil minyak sawit akan di eksport dan digunakan semua penduduk 202 negara seluruh dunia pada masa akan datang. Minyak kacang soya, biji sesawi dan bunga matahari.

Pada tahun 2003, keluasan hektar tanaman kacang soya, biji sesawi dan bunga matahari seluruh dunia masing-masing berjumlah 88.4 juta hektar (61%), 25.2 juta hektar (17.4%) dan 22.6 juta hektar (15.6%) jauh lebih besar berbanding keluasan tanaman sawit yang hanya berjumlah 8.5 juta hektar (5.9%).
Namun, dari segi penghasilan, minyak kacang soya berjumlah 31.4 juta tan atau 38.5%, hanya berbeza 3.3% dengan keluaran minyak sawit berjumlah 28.7 juta tan atau 35.2%. Manakala pengeluaran minyak biji sesawi dan bunga matahari hanya masing-masing 12.5 juta tan atau 15.3% dan 9 juta tan atau 11%.  Senario ini memberikan kelebihan kepada minyak sawit, malah lebih strategik sekiranya negara pengeluar minyak lain mengimport minyak sawit dari Malaysia dan tanaman berkenaan ditukar kepada tanaman makanan lain atau menanam hutan yang boleh memulihkan keadaan alam sekitar serta dapat mengurangkan pelepasan GHG yang membahayakan atmosfera.  Malaysia berjaya merekacipta inovasi dan menghasilkan penemuan produk baru dari keluaran sawit seperti produk oleokimia, nutraseutikal,farmaseutikal, kosmetik, detergen, kelengkapan pendandanan, minyak masak, majerin, produk makanan dan lain-lain. Produk -produk ini bukan sahaja bermutu tinggi, malah lebih baik dan setanding produk lain yang ada di pasaran. Pulangan dari produk ini membantu sektor pertanian negara berkembang dan menjadi punca pendapatan utama kepada negara. Pada tahun 2003, kadar pertumbuhan sektor kelapa sawit mencapai 5.2% GDP berbanding unjuran awal 4.5% dan telah menyumbang sejumlah RM26.3 bilion kepada pendapatan negara hasil perolehan eksport.

CABARAN GLOBALISASI KELAPA SAWIT
Pada tahun 2000 hingga 2050, industri sawit perlu memberi perhatian dan menanganinya dengan bijak ke atas lima faktor luaran bagi memastikan industri berupaya bersaing dengan pengeluar minyak sayuran dan lelemak lain dunia. Pertambahan penduduk dunia meningkat kepada 9 bilion pada tahun 2050. Permintaan ke atas minyak sawit akan meningkat sedangkan kawasan tanaman berkurangan. Tindakan proaktif yang perlu diambil ialah adalah seperti ujudkan inovasi dan teknologi baru dan juga meningkatkan pengurusan ladang, penggunaan bahan tanaman bermutu tinggi, pembajaan berjadual, menangani penyakit pokok kejenteraan ladang perlu diguna pakai dan kemajuan dalam bidang internet dan e-komersil. Kemajuan dalam bidang internet dan e-komersil membolehkan pengilang dan peniaga mengurangkan kos pengeluaran. teknologi baru yang inovatif seperti teknologi Pensterilan Berterusan Buah Tandan Segar, Automasi Keseluruhan Kilang, Pemprosesan Tandan Kosong, Teknologi Pembuangan Benda Asing dan Rawatan Efluen bagi kilang pemprosesan buah sawit berjaya meningkatkan kecekapan pengilangan dan mengurangkan penggunaan pekerja sebanyak 50 peratus. Inovasi dan teknologi baru seperti ini akan di galakkan pemakaiannya kepada semua kilang pemprosesan buah sawit di seluruh negara.

KESIMPULAN: TANAMAN KELAPA SAWIT
Industri minyak sawit adalah satu cerita kejayaan Malaysia. Transformasi ekonomi Malaysia daripada negara pengeluar komoditi utama berasaskan pertanian kepada negara pengeluar moden bagi barangan makanan tambah nilai, adalah selaras dengan polisi penswastaan Malaysia dan juga adalah asas kepada polisi pembangunan kerajaan seperti yang termaktub dalam Visi 2020. Dengan mengguna pakai biji benih daripada negara luar dan memperbaiki kaedah penanamannya agar bersesuaian dengan keadaan tempatan, Malaysia kini memiliki sebuah industri bertaraf dunia. Ia adalah hasil visi dan perjuangan ramai pengusaha, baik pada peringkat kerajaan mahupun sektor swasta, mempeloporinya dengan polisi strategik termasuk mengadakan dan melaksanakan polisi pengurusan alam sekitar. Seperti yang ditonjolkan oleh pihak industri hari ini, ia telah berkembang mengikut masa untuk menjadi lebih secocok dengan alam sekitar. Tanpa sangsi, pihak industri memang memiliki praktik pengurusan yang terbaik bagi menggalakkan pertanian yang berkekalan. Sebalik semuanya ini, yang nyata industri minyak sawit di Malaysia masih belum berpuas hati dengan rekod pengurusan alam sekitar sedia ada yang menitikberatkan sistem pengurusan kumbahan secara agronomik dan ‘di hujung paip’. Pihak industri bertekad untuk berubah, serta komited bagi memasuki satu era pengurusan alam sekitar yang baru.Ia tampak lebih nyata dalam keadaan agenda dunia yang lebih meluas ke arah pembangunan berkekalan. Dengan 90 peratus daripada hasil minyak sawit Malaysia diurusniagakan di pasaran antarabangsa, pertimbangan ke atas tiga perkara utama merangkumi ekonomi, sosial dan alam sekitar, menyerlahkan polisi pihak industri yang menyokong pengeluaran serta pengagihan berterusan, secara ekonomi dan mesra alam, bekalan makan yang selamat dan mudah diperoleh kepada penduduk dunia yang semakin bertambah.
Sumber: Adaptasi dari Wikepedia.


KELAPA SAWIT... POKOK PALMA...
LUAS DITANAM... MIMYAI DIUTAMA...
HASIL SAWIT... NILAI BERJUTA-JUTA...
KUKUH EKONOMI... UNTUK NEGARA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Felcra Melikai,
Mersing, Johor,
Malaysia.
(4 Syawal 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.