Tuesday, August 27, 2013

BUAH KABONG - KAJIAN KES

POKOK BUAH KABONG (Arenga pinnata) merupakan tumbuhan dari keluarga Arecaceae yang terdapat di Malaysia, Indonesia dan Filipina yang boleh menghasilkan manisan. Pokok ini juga dipanggil sebagai Sugar Palm, Arenga Palm, Areng palm, Black-fiber palm, Gomuti Palm, Pokok Aren, Pokok Enau, Irok dan Pokok Kaong (Sila lihat jualan buah kabung diatas). Pokok Arecaceae (Dulu ia dipanggil keluarga Palmae) ini boleh juga menghasilkan air nira (Cecair Manisan) seperti juga tumbuhan yang sama dalam kumpulannya iaitu Nipah, Kelapa dan sebagainya. Lazimnya tumbuhan ini tumbuh liar semulajadi dikawasan yang agak lembab dan ianya berumpun. Dalam membuat beberapa rujukkan, saya mendapati Pokok Kabung adalah satu spesis tumbuhan dalam famili Arecaceae yang berasal dari Asia Tenggara dimana ia juga telah ada di Australia Utara dan juga India Timur. Selain air nira untuk dibuat gula kabong, pokok kabong juga akan menghasilkan buah kabong yang diproses untuk dijadikan isi buah kabong yang sangat popular untuk dijadikan ramuan dalam air minuman seperti air batu campor, Lai chee kang dan sebagainya. Artikel pada subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" tentang beberapa laporan akbar yang boleh dijadikan kajian kes mengenai pokok kabong dan kegunaannya bagi dijadikan bahan bacaan dan rujukan.

LAPORAN AKHBAR 1:
Keenakan buah kabung
22 OGOS 2011
Mohd. Kassim Sudin menunjukkan isi buah kabung yang sudah siap direbus
BALING 21 Ogos 2011 - Kelembutan isinya seumpama gula-gula getah dan rasanya manis. Malah ia juga boleh diibarat seperti kurma Malaysia dan permintaan terhadapnya kini begitu tinggi sekali. Daripada penjaja air batu di tepi jalan hingga ke hotel-hotel bertaraf lima bintang, apatah lagi pada bulan puasa atau Ramadan, ia mendapat tempat. Namun, ramai tidak mengetahui kaedah memprosesnya. Pokok kabung merupakan satu spesies pokok palma dengan batangnya mempunyai pelepah dan banyak ditemui hidup liar di hutan belantara negara ini. Di sesetengah tempat buah kabung dikenali sebagai enau atau nau. Buahnya bertangkai dan berbentuk seakan-akan buah pinang. Bagi pasangan Mohd. Kassim Sudin, 51, dan Siti Fatimah Md. Daud, 48, dari Kampung Kaki Bukit, Rambong dekat sini, kerja memetik buah kabung agak sukar kerana memerlukan kepakaran tertentu. Mohd. Kassim yang telah berpuluh tahun mengusahakan perniagaan buah kabung berkata, selain pandai memanjat, pemetiknya juga perlu lasak kerana tandan dan tangkai buah mempunyai debu dan mengeluarkan getah yang menyebabkan badan menjadi gatal. "Proses mengeluarkan isi kabung bermula dengan merebus buahnya dalam air yang mendidih. Buah itu kemudian dipotong pada tampuknya bagi membolehkan isinya keluar dengan mudah menggunakan pengepit kayu. "Setiap biji buah kabung mempunyai tiga ulas isi yang berwarna putih jernih tetapi isi buah itu tidak boleh dimakan selagi ia tidak direndam dalam air bersih selama tiga hari," jelasnya.

Mohd. Kassim berkata, selain dengan cara merebus, satu lagi kaedah yang boleh digunakan untuk mengeluarkan isi buah kabung ialah dengan membakar tandan buah itu dalam api yang marak. Tambahnya, isi buah kabung yang siap diproses amat enak dimakan sebagai kudapan iaitu dengan mencampuri air sirap, puding atau ais kacang. "Namun, isi buah kabung segar juga boleh dimakan begitu saja kerana lembut dan manis secara semula jadi," jelasnya.  Ditanya tentang hasil yang diraih, peniaga itu berkata, walaupun mengusahakan secara kecil-kecilan, dia dan isteri mampu memperoleh hampir RM1,000 sebulan dengan menjualnya di pasar malam. "Harga yang dijual adalah sekitar RM 13 sekilogram atau RM3 bagi setiap bungkusan kecil yang mengandungi kira-kira 10 biji buah kabung yang siap diproses," katanya ketika ditemui pemberita dekat sini baru-baru ini. Tambahnya, harga buah kabung juga dikesan meningkat sejak kebelakangan ini ekoran diancam kepupusan. "Banyak kawasan hutan diterokai di samping pokok-pokok mati akibat keadaan cuaca tidak menentu," katanya.


LAPORAN AKHBAR 2:
Buah enau satu kemestian
Oleh AZMAN MD. NOOR

BUAH ENAU atau disebut juga buah kabung oleh penduduk tempatan menjadi juadah pilihan istimewa ketika berbuka pada Ramadan bagi penduduk Kedah dan di beberapa negeri di utara Semenanjung (Lihat foto buah dan isi kabong diatas). Keenakan buah hutan itu terutama apabila dicampur dalam minuman seperti cendol atau ais kacang amat terkenal di kalangan masyarakat. Isi buah itu yang putih dan lembut seakan buah laici segar, tanpa diduga asalnya ia adalah buah yang diliputi kulit hitam dan agak sukar untuk disediakan. Rupa pokok enau mirip pokok palma, kelapa sawit atau pokok kurma tetapi pokok enau lebih rendah daripada jenis pohon itu. Ia tumbuh di kawasan hutan manakala buahnya yang berjuntaian cukup menarik mata memandang. Buah enau yang baru dipetik memiliki getah yang agak gatal dan memerlukan kemahiran tinggi untuk memprosesnya sebelum boleh dimakan.  Seorang penduduk Kampung Tanjung Nering, Kupang, Baling, Ayob Che Ahmad, 55, yang juga pakar dalam memproses buah enau memberitahu, buah tersebut perlu dibakar dan direbus bagi mendapatkan hasil seperti diingini.

Proses membakar buah akan mengambil masa setengah jam bagi melembutkan kulitnya. Selepas dikopek, buah direbus sehingga lembut dan enak dimakan khususnya apabila dicampur ais. Menurutnya, buah tersebut bukan sahaja popular di Baling tetapi seluruh Kedah berdasarkan permintaan yang datang dari seluruh negeri itu. Tambahnya, apa yang pasti, menjelang Ramadan buah enau akan menjadi perhatian utama dan mendapat permintaan tinggi. Beliau menambah, walaupun mengambil masa agak lama untuk menyiapkan, namun setiap kali menjamah buah istimewa itu hatinya berasa puas. Bapa kepada empat anak itu berkata, sewaktu mengutip buah enau mentah di hutan atau di kebunnya, dia akan memilih buah muda kerana isinya lebih lembut.

Rakan Ayob, Abdul Razak Abdullah, 46, berkata, mencari buah enau amat mencabar namun rasa penat hilang apabila teringatkan ahli keluarga yang meminati buah hutan itu. "Kami sanggup membakar buah ini bersama-sama dan proses mengeluarkan isi yang jernih ini juga adalah satu kepuasan," katanya yang juga seorang guru. Beliau menambah, kebiasaannya buah tersebut akan dibungkus dan dijual pada harga RM5 sebungkus dengan berat kira-kira 10 gram. Harga itu ujarnya, amat berpatutan kerana proses yang agak susah dan mencabar selain pokoknya mengeluarkan buah mengikut musim.



LAPORAN AKHBAR 3:
Pokok kabung perlu ‘dipujuk’
Oleh HARIS FADILAH AHMAD
17 Febuari 2011


Pokok Kabung perlu dipanjat untuk mengambil manisan kabung.
KUALA LIPIS 16 Feb. 2011 - Gula kabung sememangnya tidak asing bagi orang Melayu terutama yang tinggal di pedalaman untuk digunakan dalam kuih-muih. Kegunaan gula kabung dilihat amat penting terutama ketika menyediakan juadah berbuka puasa, kenduri dan hari raya. Antara kuih-muih yang lazim dicampur dengan gula kabung adalah dodol, kuih koci, lepat, nasi manis dan pengat. Pokok kabung iaitu sejenis pokok palma yang berasal dari Indonesia atau dikenali juga sebagai pokok enau atau nama botaninya, Arenga Pinnata agak berbeza dengan spesies palma yang lain. Perbezaan pokok daripada keluarga Arecaceae itu adalah semakin batangnya meninggi dan matang, tandan bunga serta buahnya pula kian merendah di bahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah. Malah, apabila tandan yang tumbuh di batang itu semakin hampir ke tanah, ia menandakan pokok kabung berkenaan akan mati.

Ini berbeza dengan spesies palma lain iaitu pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggiannya. Mengikut kepercayaan, pokok kabung dikatakan hanya akan mengeluarkan nira daripada tandannya sepadan dengan ‘pujukan’ yang diberikan oleh pengusaha. 
Bagi pengusaha nira kabung, konotasi ‘pujukan’ bermaksud dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu dari arah atas dan bawah masing-masing sebanyak dua kali. Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan yang boleh mengeluarkan cairan itu. Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira seperti tandan bunga jantan.

Secara saintifiknya, tujuan mengetuk batang tandan itu adalah untuk melonggarkan rongga saluran aliran nira berkenaan. Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, ia perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kekotoran di bahagian kelopaknya. Pengusaha nira akan menghiris bahagian hujung tandan yang dicantas itu pada waktu pagi dan petang sehingga aliran niranya deras dan masuk ke dalam tabung buluh yang dipasang. Menurut kajian, gula kabung boleh menggantikan gula biasa kerana bahan itu tidak mengandungi glukosa dan sesuai untuk kesihatan terutama di kalangan penghidap kencing manis. Maseriah Talib, 50, dari Kampung Peruang, Benta, merupakan antara pengusaha gula kabung kecil-kecilan yang sering mendapat tempahan orang ramai, di samping menjalankan perniagaan di pekan sehari berdekatan.

Menurutnya, kerja memasak nira atau manisan itu dalam kawah di bangsal belakang rumahnya sehingga menjadi pekat sebelum diisi ke dalam acuan daun mengkuang untuk dikeraskan mengambil masa selama lima minit. Berbekalkan kemahiran membuat gula kabung sejak usia muda lagi, dia menjelaskan, keenakan gula kabung memang tiada tandingannya kerana rasa manisan itu berbeza dengan gula biasa yang diperbuat daripada tebu. Katanya, kerja membuat gula kabung bermula apabila nira daripada tandan dibawa pulang ke rumahnya untuk diproses. Kebiasaannya, jelas Maseriah, tiga tabung buluh berukuran 1.5 meter boleh menghasilkan sebanyak 13 buku gula kabung setiap hari. Sejurus sampai di rumah, katanya, manisan itu dimasak sehingga pekat dan berwarna coklat kemerahan sebelum dimasukkan ke dalam acuan daun mengkuang. “Saya menjual antara RM4.50 hingga RM5 sebuku mengikut saiz dan kualiti kepada pelanggan yang datang ke rumah dan juga menerusi tempahan daripada peniaga di bandar Benta dan Raub. “Biasanya, pada Ramadan, gula kabung mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai yang membuat persiapan bagi juadah berbuka puasa dan untuk jualan di bazar Ramadan,” katanya. Malah, menurut Maseriah, gula kabung boleh melonjak sehingga RM7 sebuku jika mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan orang Melayu. 

Menerusi jualan gula kabung, jelasnya, dia mampu meraih pendapatan sehingga RM1,300 sebulan untuk perbelanjaan dapur dan persekolahan anak. Dalam pada itu, Maseriah berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana banyak membantu membiayai perusahaan gula kabungnya dengan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk membina bangsal dan peralatan memproses gula itu. Katanya, beberapa stesen televisyen tempatan dan luar negara juga pernah membuat dokumentari, selain menerima lawatan pelancong asing untuk melihat lebih dekat perusahaan gula kabung secara tradisional. Gula kabung, menurutnya, bukan sahaja dicampur untuk menyedapkan masakan kuih-muih malah sering dijadikan buah tangan atau cenderamata kepada pembesar pada majlis tertentu di daerah Lipis. Sementara itu, seorang lagi pengusaha di Kampung Peruang, Mustafa Yunus, 56, memberitahu, perusahaan gula kabung mampu memperoleh pendapatan lumayan untuk menyara kehidupan keluarga dan persekolahan anak-anak. “Kerja ini memerlukan ketekunan dan kesabaran bermula daripada mengambil nira, memasak menjadi gula kabung sehinggalah ia dijual ke pekan sehari,” katanya. Mustafa memberitahu, setiap hari sebanyak 20 hingga 40 buku gula kabung dihasilkan bergantung kepada jumlah air nira yang berjaya dikumpul. Tambahnya, permintaan terhadap gula kabung terus meningkat terutama ketika Ramadan kerana ia bahan penting untuk membuat inti atau manisan kuih, selain buahnya boleh dijadikan halwa untuk digunakan sebagai campuran dalam minuman.

Jualan buah kabong di Penang.
GULA KABONG ... POPULAR JUGA...
BANYAK DIJUAL...BULAN PUASA...
PENGUSAHA ... TRADISIONAL SAJA...
NILAI POTENSI... JIKA DI USAHA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
224 Hotel Jelai, Raub,
Pahang,
Malaysia.
(22 Syawal 1434H)









No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.