Thursday, July 25, 2013

TELUR MATA KERBAU

TELUR MATA KERBAU adalah satu istilah yang diberikan kepada telur ayam yang digoreng separuh masak dengan sedikit minyak atau tanpa minyak (kuali tidak melekat). Saya fikir amat ramai orang Malaysia yang suka makan telur mata kerbau terutama untuk sarapan diwaktu pagi. Saya dapati ia disediakan sendiri dirumah atau direstoran dan hotel-hotel taraf berbintang. Merujuk kepada foto yang saya sediakan diatas, saya masih tercari-cari bagaimana gelaran nama "Telur Mata Kerbau" ini diberikan nama. Mungkin bentuknya yang bulat dengan warna kuning bulat ditengahnya dan dikelilingi dengan warna putih seakan mata kerbau tetapi sebenarnya mata kerbau asli berwarna hitam!. Jenis telur yang sering digunakan untuk menyediakan telur mata kerbau adalah telur ayam. Telur Ayam gred AA, A atau B memberikan kepuasan kepada peminat telur mata kerbau kerana ianya dikatakan lebih lazat, enak dan mengenyangkan. Selain daripada terminologi 'telur mata kerbau', terdapat beberapa perkataan lain berkaitan dengan produk telur seperti 'Telur Dadar', 'Telur Bungkus', 'Telur Separuh Masak", "Scrabble eggs" dan sebagainya. Artikel subuh kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai telur mata kerbau yang kita suka untuk menambah ilmu pengetahuan.

Dalam kita hendak menyediakan telur mata kerbau, paling utama adalah bahan telur ayam segar yang dibeli dari kedai, pasar atau supermarket. Penting untuk membelu telur ayam yang masih baru dan segar kerana telur yang agak lama rasanya kurang enak kepada mereka yang handal didalam menilai kelazatan makanan. Bagi menjadikan telur ayam itu halal dan bersih, sebaiknya dibasuh dahulu dengan air mengalir kulit telur sehingga suci. Panaskan kuali diatas dapur dan buhuh sedikit minyak masak sehingga cukup panas. Bagi mereka yang ada membeli kuali tidak melekat di Langkawi (barang ini merupakan satu daripada buahtangan kalau pergi ke pulau tersebut) tidak perlu membubuh minyak kedalam kuali. Pecahkan telur diatas kuali dan letakkan kedalam kuali panas. Dalam beberapa saat sahaja matikan api kuali untuk membiarkan putih telur menjadi keras dan bahagian kuning separa keras. Bergantung kepada citarasa, ada yang suka telur mata kerbau separa keras dan ada yang suka semuanya keras. Keluarkan telur tersebut daripada kuali dan hidangkan untuk dimakan.

Cara kita makan telur mata kerbau mempunyai banyak seninya bergantung kepada peminat. Ada yang suka makan terus telur mata kerbau begitu sahaja, ada yang bubuh kicap, ada yang bubuh lada sulah dan tidak kurang juga yang bahan perasa lain sebagai menambah kelazatan seperti garam. Paling lazim adalah membubuh telur ini kedalam hidangan seperti nasi lemak (Lihat foto sebelah), diatas mee goreng, mee hoon goreng, nasi goreng, kue teow goreng dan pelbagai makanan kegemaran rakyat Malaysia. Mengenai harga telur mata kerbau berbeza-beza mengikut premis jualan sama ada ianya Gerai, Restoran atau Hotel. Paling lazim adalah berharga sekitar RM1.00 satu unit telur mata kerbau dan mampu mencecah harga lebih mahal daripada itu. Bagaimana pun kita jarang-jarang bertanya berapa harga satu telur mata kerbau kerana cajnya selalu dimasukkan dalam harga hidangan yang disajikan. Saya harap artikel ini sesuai dibaca oleh anda semua sebagai satu hidangan dari blog saya subuh ini. Wasallam!

Mee goreng mamak dengan telur mata kerbau.
TELUR MATA KERBAU... ENAKNYA...
MUDAH DIBUAT... TAK PAYAH TANYA...
ADA TELUR AYAM... KUALI MINYAKNYA...
CAMPAK TELUR ... JADILAH DIA NYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(16 Ramadan 1434H)

  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.