Monday, July 15, 2013

SILVERSHINE PLASTIC - FUNGSINYA

PLASTIK SILVERSHINE (Silvershine plastic) merupakan sejenis bahan plastik yang digunakan sebagai penutup batas atau diatas tanah untuk bertindak sebagai sungkupan. Teknologi penggunaan plastik silvershine kini digunakan dengan meluas terutama untuk penanaman sayuran jenis buah seperti cili, terung, tomato, peria, petola, kacang panjang dan sebagainya. Teknologi penanaman terkini seperti sistem fertigasi terbuka dan fertigasi tertutup juga kini banyak menggunakan plastik silvershine sebagai lantai atau pun asas diatas tanah dengan praktikal. Daripada pemerhatian yang saya jalankan di banyak lokasi projek penanaman tanaman makanan terutamnya sayur-sayuran dalam projek TKPM dan swasta, terdapat banyak cara dan teknik penggunaan plastik ini mengikut kesesuaian jenis tanaman, keadaan tanah dan juga jenis plastik yang digunakan. Rata-rata petani ini amat bergantung kepada plastik penutup bumi jenis plastik ini yang memang praktikal, mudah didapati, murah, berkesan dan juga mudah diuruskan. Kebanyakan jenis plastik ini akan reput dan terurai apabila ia lama digunakan dan mudah hancur. Artikel pada petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kehebatan penggunaan jenis plastik silvershine sebagai satu pilihan tepat didalam aktiviti pengurusan kebun yang baik.


Pada masa dahulu, jenis sungkupan yang paling banyak digunakan dan disyorkan adalah seperti lalang, jerami padi, rumput kering serta bahan-bahan buangan ladang yang lain. Jerami padi merupakan jenis sungkupan (mulching) paling popular dikawasan yang ada bekalan mencukupi diletakkan diatas batas (Lihat foto sebelah). Memang tidak dapat dinafikan bahawa ia merupakan jenis sungkupan yang baik untuk tanaman tetapi kesukaran untuk mendapatkannya menjadikan jenis sungkupan plastik menjadi ramai pilihan petani. Plastik Silvershine didatangkan dengan berbagai saiz dan ketebalan bergantung kepada syarikat pembuat dan juga harga pasaran. Jenis standard mempunyai kelebaran 1.2 meter (4 kaki lebar) dengan panjang sekitar 250 meter dijual dengan harga runcit di antara RM 60.00 sehingga RM 80.00 segulong. Bagaimana pun terdapat jenis-jenis lain yang lebar, ketebalan dan panjangnya berbeza.


Plastik silvershine penutup batas ini lazimnya mempunyai warna hitam sebelah belakang dan warna silver (perak) disebelah lagi. Petani perlu faham akan cara pemasangan plastik ini dimana bahagian yang berwarna silver mesti diletakkan menghadap matahari dan bahagian hitam mesti dibahagian bawah menghadap tanah (Lihat foto sebelah). Plastik di rentangkan atau diletakkan diatas batas tanaman mengikut panjang batas dan ditepinya dikambus dengan tanah agar tidak di terbangkan oleh angin. Sebaiknya plastik penutup batas di rentang sehingga ketat dan elakkan daripada ada lekukan ditengah batas kerana ia merugikan ruang penanaman dan menjadi tadahan air. Pasangkan pita sistem pengairan titis diatas batas sebelum memasang plastik penutup batas. Lubang-lubang penanaman dan lubang pembajaan akan ditebuk dipermukaan plastik menggunakan sukat atau alat yang sesuai dengan jumlah dan jarak mengikut keperluan. 


Lapisan permukaan atas plastik silvershine yang berwarna silver akan menerima cahaya matahari dan menghasilkan haba serta membalikkan 'cahaya terang' yang menyebabkan patogen perosak sepertii aphid dan hama lain tidak suka tinggal dibahagian bawah daun. Pokok Cili contohnya memang sesuai ditanam dengan plastik penutup batas silvershine untuk elakan serangan serangga perosak dan juga penyakit. Lapisan permukaan hitam dibahagian bawah akan menyerap lebih banyak haba dan menghalang pertumbuhan rumpai (Lihat foto sebelah). Lapisan ini akan memerangkap wap air yang terhasil dari kepanasan haba dimana ini akan dapat mengekalkan kelembapan tanah dalam batas tanaman. Lubang-lubang lain disekeliling atau diantara lubang penanaman lazimnya untuk tujuan memberi baja atau air kepada batas tanaman.  Plastik penutup batas silvershine adalah antara teknologi moden dalam pertanian yang mampu meningkatkan hasil tanaman dan juga kualiti hasil tanaman. Wasallam!.



PLASTIK BATAS... HITAM BAWAHNYA....
WARNA SILVER... DIMUKA ATASNYA...
DIPASANG AWAL...BAIK FAEDAHNYA...
BANYAK GUNA... BAGAIMANA KOSNYA...

By,
M Anem,
Senior Agrologist,
Projek TKPM Pulau Manis,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(25 Syaaban 1434H)

       

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.