Tuesday, July 9, 2013

KUIH DERAM

KUIH DERAM atau KUIH PEDERAM merupakan sejenis kuih tradisional yang popular dikalangan masyarakat Melayu di Malaysia dan kini menjadi satu jenis kuih yang telah dikomersilkan. Kuih ini ada dibuat sepanjang masa tidak mengira hari-hari perayaan utama dan mudah dibeli dari Pasar Tani, Pasar Malam atau Pasar Minggu. Kuih deram ini mempunyai rasa manis yang lazat hasil daripada adunan tepung beras dengan beberapa ramuan lain seperti rasa keenakan Gula Melaka atau Gula Apong. Saya merupakan salah seorang peminat kuih deram ini yang saya lebih 'familiar' dengan nama lain di Johor sebagai 'Kuih Kuping Keling'. Saya tidak pasti bagaimana nama kuih ini diberi tetapi saya fikir adunan kuih perlu 'diperam' dulu sebelum digoreng ... tetapi semasa memberi nama, huruf 'i' dengan 'p' telah tertinggal ketika mengeja lalu menjadi 'deram'. Kuih ini enak dimakan ketika suam panas selepas digoreng. Bagaimana pun kuih deram yang telah dibungkus dengan kemas dan elok dalam pembungkus plastik juga tahan agak lama jika di simpan dengan baik. Saya banyak membuat lawatan kepada pengusaha-pengusaha membuat kuih deram di Negeri Johor ketika bertugas sebagai pemantau projek-projek Industri Asas Tani dalam meningkatkan kualiti produk makanan berasaskan pertanian. Terdapat lebih daripada 50 orang usahawan yang membuat industri kuih deram di Johor daripada yang berskala individu kecil-kecilan di kawasan rumah sehingga kepada kategori usahawan kuih deram  yang mempunyai kilang besar seperti di Daerah Batu Pahat dengan kuantiti pengeluaran yang banyak. Mereka membuat dan menjual kuih deram kebanyakannya untuk pasaran tempatan dimana ada  sebahagian kecil di ekspot ke Singapura. Artikel malam Khamis ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi dan info kuih deram berdasarkan kepada pengalaman penulis, penelitian, pemerhatian dan rujukkan membaca daripada beberapa buah buku resepi masakkan.



Kuih Deram ini ada dua jenis iaitu Kuih Deram Tradisional dan Kuih Deram Komersil. Perbezaan diantara kedua jenis tersebut adalah bergantung kepada bentuk kuih deram yang dibuat. Gambar diatas menunjukkan kuih deram tradisional yang mempunyai bentuk unik iaitu tidak bulat dengan mempunyai banyak lubang ditengah-tengahnya. Bilangan lubang ini bergantung kepada kehendak pembuatnya diantara 4 - 9 lubang yang di buat menggunakan lidi kelapa ketika adunan tepung masih lembut. Kuih Deram Komersil pula adalah jenis kuih deram yang diadun dan disetak berbentuk bulat dengan satu lubang ditengah-tengahnya. Lazimnya jenis ini adalah jenis yang banyak dijual dipasar tani atau pasar minggu dan dicetak, digoreng, dibungkus pada masa sama digerai jualan. Harga jualan sekitar Dengkil dan Putrajaya sekitar RM 2.00 - RM 3.00 bagi setiap 10 -15 biji. Saiz kuih deram komersil ini berbagai ukuran bergantung kepada cetak yang digunakan tetapi lazimnya sekitar 4-6 inci ukuililit. Tahap kemanisan, keenakan, kelembutan dan warna gorengan bergantung kepada kepakaran penjual kuih deram.


Membuat kiuh deram pada saya sangat mudah dan boleh dipelajari oleh mereka yang memang pandai membuat kuih. Semasa saya membuat tinjauan kebanyak lokasi membuat kuih deram, mereka menyatakan bahawa bahan-bahan asas untuk membuat kuih ini adalah seperti saya nyakan berikut ini. Bagi memudahkan kalibrasi, saya nyatakan kadar yang sesuai untuk membuat kuih deram yang dikatakan 'standard'. Kita perlu menggunakan sebanyak 250 g tepung beras, 250 g tepung gandum. 1/2 cawan gula pasir, 2 cawan air, 1 1/2 cawan gula apong (Gula Melaka), Minyak yang banyak untuk menggoreng dan juga sedikit garam. Pada saya gula apong yang berkualiti dan segar akan memberikan aroma dan rasa yang enak dan sedap. Seterusnya cara membuat adalah dengan kita mengayak tepung gandum dan tepung beras bersama. Kemudian masukkan gula pasir dan gaulkan sehingga rata. Larutkan gula apong dan garam dengan air. Seterusnya kita masukkan ke dalam adunan tepung. Adunkan sehingga sebati dan betul-betul rata. Adunan ini perlu dibiarkan selama 30 minit. Pada masa sama kita boleh memanaskan minyak dengan api yang kecil dalam kuali. Sebaiknya gunakan minyak masak yang baru dan bersih. 


Kemudian canai adunan tepung tersebut sehingga sempurna dan ia perlu dileperkan menggunakan alatan yang sesuai diatas bekas lantai rata. Ketebalan atau nipis adunan yang dibuat akan menentukan kualiti kuih deram. Membentuk kuih deram mengikut pencetak bagi kuih deram komersil dan juga secara manual (Kuih deram tradisional) . Adunan yang telah dicetak atau dibentuk perlu dimasukkan kedalam kuali yang mengandungi minyak cukup panas. Kita perlu terbalikkan beberapa kali adunan kuih deram dalam kuali untuk mendapatkan masak yang sama rata atau warna yang sekata (Lihat foto diatas). Antara petua yang boleh dibuat untuk mengelakkan adunan melekat ketika mencetak, kita boleh taburkan sedikit tepung gandum pada tempat mencanai, acuan pencetak dan tangan kita. Apabila cukup masak, ia akan timbul dipermukaan minyak dan keluarkan serta ditoskan minyaknya. Kuih ini boleh dihidangkan dalam keadaan suam panas atau sejuk ketika minum petang selepas belik rumah dari bekerja. Ia juga sesuai dihidangkan bersama minuman kopi panas. Wasallam!

KUIH DERAM... ENAK RASANYA...
MUDAH DIBUAT... CEPAT PROSESNYA...
DUA JENIS... RASANYA JUGA SAMA...
BOLEH DIBELI... BILA-BILA MASA...

By,
M Anem
Jalan Istana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(17 Syaaban 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.