Thursday, June 6, 2013

SERANGGA - MARFOLOGI

SERANGGA (Insects) merupakan adalah sejenis haiwan daripada kumpulan Anthropods yang lazimnya mempunyai enam kaki (3 pasang kaki). Serangga merupakan kumpulan haiwan yang ppaling banyak populasinya didunia yang terdapat disemua kawasan dimukabumi ini kecuali dilautan luas. Semasa belajar di Universiti dulu memang ada subjek khusus mengenai serangga yang dipanggil sebagai ENTOMOLOGI (Entomology). Ilmu kajiserangga ini merupakan bidang ilmu yang sangat luas daripada cara untuk mengenalii serangga, pengkelasan serangga, marfologi serangga, kerosakan dan kegunaan serangga sehingga kepada kaedah kiratan hidup dan cara kawalan. Laporan daripada beberapa buku menunjukkan terdapat lebih dari 800,000 spesis serangga yang telah dikenalpasti oleh para saintis. Kajian menunjukkan terdapat sebanyak 5,000 spesis dari kumpulan Odonata, 20,000 spesis kumpulan Orthoptera (Belalang), 170,000 dari kumpulan Lepidoptera (Kupu-kupu), 120,000 dari kumpulan Diptera (Lalat), sebanyak, 82,000 spesis dari kumpulan Hemiptera, sebanyak 360,000 spesis dari kumpulan Coleoptera (Jenis Kumbang) dan bakinya sebanyak 110,000 spesis adalah kumpulan Hymenopteraa (Jenis Semut dan Lebah). Peranan serangga dalam kehidupan manusia memang tidak dapat diasingkan lagi kerana ia menyebabkan penyakit, kerosakan hartabenda, kegunaan dalam proses pendebungaan, menghasilkan makanan (madu) dan banyak lagi kaitannya. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai marfologi serangga berdasarkan pembacaan beberapa buah buku dan pengalaman sendiri.

Marfologi serangga mempunyai beberapa peringkat mengikut kitaran hidup. Bagaimana pun saya dapati umumnya serangga dewasa mempunyai 3 bahagian iaitu Bahagian KEPALA (Head), Bahagian DADA (Thorax) dan Bahagian PERUT (Abdomen). Serangga yang belum dewasa kebanyakkannya adalah berbentuk seperti cacing atau lain-lain. Bahagian kepala serangga merupakan satu struktur yang padat dan keras dan terdapat beberapa organ seperti sepasang sesungut (antennae) dan sepasang mata kompoun. Kedua-duanya mempunyai fungsi sebagai alat deria yang membantu serangga untuk melihat, merasa dan mengesan susasana sekitar. Lazimnya bahagian dada (Thorax) serangga terdiri dari tiga ruas yang mudah dilihat dengan mata kasar sementara bahagian abdomen terdiri dari lebihkurang sebanyak 9 ruas. Kepala serangga yang berfungsi sebagai tempat melekatnya antena, mata majmuk, mata oseli, dan alatan mulut untuk makan. Berdasarkan kedudukannya saya dapati lazimnya kepala serangga dibagi menjadi tiga, iaitu Hypognathous, Prognathous dan Danephistognathous. Hypognathous ditakrifkan sebagai apabila alatan mulutnya menghadap ke bawah seperti belalang Acrididae. Bagi serangga yang kepalanya jenis Prognathous apabila alatan mulutnya menghadap ke depan seperti kumbang Carabidae. Sementara itu serangga jenis Ephistognathous apabila alat mulutnya menghadap ke belakang seperti semua serangga ordo Hemiptera. 

Antena serangga berjumlah dua buah atau sepasang iaitu struktur yang berupa alat tambahan yang beruas-ruas dan 'berpori' yang berfungsi sebagai alat sensor. Bahagian yang terdapat pada antena adalah antenifer, soket, scape, pedicel, meriston dan flagelum. Bentuk antena serangga sangat bermacam bentuk yang berdasarkan jenis serangga dan stadiumnya. Mata Serangga terdiri dari dua jenis iaitu mata Majmuk dan mata Oseli. Mata Majmuk berfungsi sebagai alat pengesan terhadap warna dan bentuk semantara Mata Oseli atau biasa disebut mata tunggal berfungsi sebagai pengesan kepada intensiti cahaya. Mata majmuk terdiri dari beberapa 'ommatidia' dan mata tunggal terdiri dari satu. Serangga selalunya akan makan dengan menggunakan mulutnya. Ada beberapa alat mulut serangga untuk tujuan Menggigit - mengunyah, Menggigit-pengisap, Menusuk-pengisap, Memarut-pengisap, Mengait-pengisap dan juga Pengisap.


Jenis-jenis kaki serangga
Bahagian leher serangga mempunyai membran yang dipanggil sebagai cervix yang juga mempunyai organ dikenali sebagai 'cercical sklerit' iaitu berfungsi sebagai engsel yang menghubungkan antara kepala dengan thorax. Beberapa serangga lain mempunyai bahagian cervix sklerit yang bersatu dengan pleura pada prothorax.Thorax adalah bahagian yang menghubungkan antara kepala dan abdomen. Thorax bagi  serangga terdiri dari tiga ruas iaitu Protorak, Mesotorak dan Metatorak. Thorax juga merupakan kawasan 'Lokomotor' pada serangga dewasa kerana pada thorax terdapat tiga pasang kaki dan dua atau satu pasang sayap (kecuali  untuk ordo Thysanura tidak bersayap). Thorax bagian dorsal disebut 'notum'. KAKI SERANGGA serangga dewasa lazimnya berjumlah tiga pasang. Pada fasa pra-dewasa, jumlah kakinya terdapat beberapa jumlah kaki berbeza yang bergantung spesisnya. Secara umum kaki serangga terdiri dari beberapa ruas iaitu trochantin, coxa, trochanter, femur, tibia, tarsus, pretarsus dan kuku (claw). Bentuk kaki serangga dewasa juga sangat berbeza-beza berdasarkan pada fungsinya. Kaki yang digunakan untuk meloncat disebut 'Saltatorial'. Kaki yang diguna untuk menggali disebut 'Fosorial' sementara kaki yang berfungsi untuk berlari disebut 'Kursorial'. Bagi kaki untuk berjalan disebut 'Gresorial' dan nagi kaki untuk menangkap mangsa disebut sebagai 'Raptorial' dan akhirnya kaki yang diguna untuk berenang disebut 'Natatorial'.


SAYAP SERANGGA terdiri dari dua pasang atau satu pasang. Serangga bersayap pada fasa dewasa dan pra-dewasa khusus pada Ephemeroptera yang biasa disebut fasa subimago atau preimago. Sayap serangga secara umum berupa lembaran yang berkepak berfungsi untuk terbang. Bentuk Sayap serangga ini penting untuk diketahui sebagai asas untuk menentukan spesis serangga tertentu, khususnya jenis serangga lalat dan lebah. Sayap serangga bentuknya sangat berbeza-beza ia memang digunakan sebagai asas untuk menentukan ordo serangga. Sayap depan baagi serangga kumbang sangat tebal dan kuat yang digunakan sebagai pelindung tubuhnya disebut 'elytra'. Sayap bahagian depan lazimnya separuh bahagian basal tebal disebut 'corium' dan selebihnya adalah membran. Sayap hemelytra adalah jenis sayap depan disebut sebagai 'Tegmina'. Sayap bahagian belakang (halter) berukuran sangat kecil berfungsi sebagai alat penyeimbang ketika terbang. 


ABDOMEN SERANGGA pula merupakan bahagian tubuh serangga yang mempunyai alat pencernaan, sekresi (Secretion) dan Organ Pembiakan (Reproduction). Abdomen serangga terdiri dari beberapa bahagian Ruas. Kajian menunjukkan kebanyakkan serangga mempunyai bilangan ruas diantara 9 - 10 ruas bergantung kepada spesis serangga. Bahagian dorsal dan ventral mengalami 'sklerotisasi' dimana ia merupakan bahagian yang menghubungkannya yang berupa membran. Bahagian dorsal yang mengalami sklerotisasi disebut 'Tergit', bahagian ventral disebut 'Sternit' dan bahagian ventral berupa membran disebut 'Pleura'. Marfologi serangga merupakan asas kepada para saintis serangga (Entomologist) untuk mengkaji alam serangga dan boleh dipelajari.
Wasallam!

MARFOLOGI SERANGGA... ADA DIA...
ADA ABDOMEN, THORAX...KEPALA...
SEPASANG KAKI... SEPASANG MATA...
MAKLUMAT ASAS... DIJADIKAN DATA...

By.
M Anem
Senior Agronomist
Pusat Pertanian Titi Gantung,
Perak, Malaysia.
(6 Jun 2013) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.