Sunday, June 16, 2013

MANGGA - Varieti di Malaysia


Mangga (Mangnifera indica) merupakan tanaman buah-buahan tropika yang popular di tanam di Malaysia sebagai tanaman komersil atau tanaman tidak komersil. Penanaman mangga secara monokrop mula popular dijalankan di Melaka dan Perak dengan varieti Chok Anan serta di Perlis dengan varieti Harumanis. Saya merupakan pengasas dan pelopor kemasukkan tanaman mangga Chok Anan (MA224 - Melaka delight) dengan membawa banyak benih MA224 semasa bertugas di Melaka pada tahun 1994-1988 dalam projek pemulihan tanah sawah terbiar dengan tanaman mangga (Lihat foto MA224 di Kg Gelam diatas). Pada masa ini terdapat seluas 9,400 hektar tanaman mangga di Malaysia dengan anggaran pengeluaran hasil sebanyak 24,500 tan metrik pada tahun 2012. Kesan projek yang saya buat dulu, pada masa ini kawasan penanaman mangga paling luas berada di Melaka yang terletak di Daerah Alor Gajah dengan seluas 419 hektar. Ini diikuti dengan Daerah Jasin seluas 463 hektar. Selain itu Daerah Kuching, Sarawak seluas 271 hektar (Laporan statistik Tanaman Jabatan Pertanian 2012). Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai varieti mangga yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia mengenai varieti dan sedikit penciriannya untuk dijadikan rujukan dan bacaan anda semua.

Tanaman pokok mangga di Malaysia kebanyakannya dilakukan dikawasan tanah pamah terutama dikawasan pantai dimana ia mempunyai iklim sesuai untuk pembungan dan pembuahan. Jabatan Pertanian telah mengeluarkan peta zon tanaman mangga mengikut konsep 'Agroclimatic zones' yang boleh dijadikan rujukan lokasi dan kesesuaian kawasan tanaman mangga. Antara kawasan zon tanaman mangga adalah seperti di Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Mersing dan beberapa lokasi di Pahang. Mangga varieti Harumanis antara varieti yang memerlukan suhu panas dan kering (Kemarau) selama 10-14 hari untuk mengaruh pembungaan (induce flowering) dimana ianya amat kritikal. Bagaimana pun varieti MA224 kurang sensitif dengan keadaan tersebut. Kajian yang saya jalankan mendapati, pada masa ini beberapa varieti mangga popular di Malaysia adalah seperti Chok Anan (MA224), Harumanis (MA128), Golek (MA162), Maha 65 (MA165) , Mas Muda (MA204), juga varieti Nam Dok Mai (MA 223) dan Sala. 


Mangga - Varieti Harummanis

a. MA 128 (Harumanis)
Buahnya berbentuk lonjong (Ovoid oblong) dengan purata berat sebiji sekitar 340 - 450 gram. Warna kulit buah ketika muda adalah hijau dan bertukar kepada hijau gelap atau hijau sederhana apabila masak. Bagaimana pun apabila disarung dengan Pembungkus Khas Kertas Lapisan Berlogam, kulitnya akan bertukar menjadi warna kuning keemasan dan cantik. Isinya berwarna kuning oren dengan rasa amat enak, manis, berjus dengan aroma yang kuat. Buah harumanis mempunyai biji ditengahnya yang berukuran 8.7 cm x 4.2 cm. Varieti ini sesuai ditanam di negeri utara Semenanjung Malaysia seperti di Perlis dan Kedah kerana kawasan tersebut mempunyai jangkamasa kemarau dan panas agak panjang untuk aruhan pembungaan. Lazimnya varieti ini mengeluarkan hasil dalam bulan Mei hingga Jun setiap tahun. Kalau 10 - 15 tahun dahulu harga pasaran Mangga Harumanis sekitar RM 6.00 - RM 10.00 sekilogram, pada tahun 2013 harga runcit buah mangga ini dipasarkan pada Gred Premium sekitar RM 25.00 sekilogram. Buah ini telah mendapat luang pasaran ekspot ke Jepun melalui Jabatan Pertanian dan FAMA.
Harumanis


b. MA 162 (Foo FattGolek)
Bentuk buah adalah lonjong panjang dengan purata berat sekitar 600 - 
650 gram. Kulit buah akan menjadi hijau kekuningan atau hijau cerah apabila ianya telah masak. Warna isi buah mangga Foo Fat atau Golek ini adalah oren dengan kandungan fiber yang amat sedikit. Rasanya buah adalah manis dengan sedikit rasa masam dan ia mengandungi biji ditengahnya berukuran 14 cm x 3.3 cm ketebalannya. Varieti ini sudah agak sukar dijumpai ditanam secara komersil dinegara kita. Kebanyakan pokok varieti ini ditanam dikawasan taman perumahan dan beberapa stesyen Jabatan Pertanian.


MA 162 - Mangga Golek atau Foo Fatt

3. MA 165 (MAHA 65)
Varieti ini juga mempunyai bentuk buah yang panjang lonjong dengan purata sebiji buah beratnya sekitar 550 - 600 gram. Buah muda mempunyai warna kulit hijau muda dan akan menjadi warna kuning kehijauan apabila masak. Isinya juga berwarna oren kuat dengan rasa manis dan masam serta kurang mengandungi serabut (fibre). Buah ini mempunyai biji ditengahnya dengan ukuran biji
7 cm x 4.5. Pokok mangga varieti ini juga agak kurang ditanam oleh petani komersil secara monokrop. Saya dapati hanya beberapa Stesyen Jabatan Pertanian dan MARDI yang masih menyimpan baka varieti ini untuk dijadikan rujukkan. Pokok mangga ini juga ada ditanam dikawasan taman perumahan.


Mangga MA 165

4. MA 204 (Melele/ Mas muda)
Buah Varieti Melele mempunyai bentuk bulat panjang (Ovoid oblong) dengan anggaran purata berat sekitar 350 - 400 gram. Buah muda mempunyai kulit  berwarna hijau cerah saya dapati sehingga buah Melele masak betul pun ia masih berwarna hijau cerah. Isinya berwarna kuning cerah dengan tekstur yang halus. Rasanya adalah masam manis dan mempunyai biji ditengahnya berukuran sekitar 11 cm x 4.5 cm. Varieti ini juga antara varieti yang tidak lagi popular ditanam oleh petani kerana kurang mendapat sambutan.


Mangga MA 204 - Melele atau Mas Muda


5. MA 223 (Nam Dok Mai)

Nam Dok Mai adalah varieti mangga yang berasal dari Thailand dengan bentuk buah Lonjong Panjang (Oblong Elongate) dan purata berat buah sekitar 400 gram sebiji. Buah muda mempunyai kulit berwarna hijau dan akan bertukar kepada hijau kekuningan apabila masak. Ia mempunyai isi berwarna kuning dengan tekstur halus dan rasa yang sangat manis. Bijinya adalah besar dengan ukuran sekitar 12.7 cm x 4.5 cm.
Mangga jenis Nam Dok Mai



6. MA 224 (Chok Anan)
Varieti ini juga berasal dari negara Thailand dan saya telah perkenalkan ke Melaka pada tahun 1989. Buah Chok Anan merupakan buah berbentuk bulat lonjong dengan warna kulit hijau ketika muda dan akan menjadi kuning apabila masak. Isinya mempunyai warna kuning oren dengan tekstur sederhana dan rasa manis. Buah ini mempunyai aroma yang sederhana dan purata berat buah sekitar 300 - 400 gram sebiji. Keistimewaan varieti ini adalah kerana ia mamou berbuah sepanjang tahun jika dikawal pertumbuhannya walau pun lazimnya ia bermusim. Kelebihan varieti ini adalah kerana ia berbuah awal dan mempunyai buah lekat (fruit set) yang amat baik. Kaedah cantasan sempurna membolehkan varieti ini kini merupakan varieti mangga yang paling luas ditanam di Malaysia iaitu kini telah merangkumi sebanyak 60% keluasan penanaman. Saya merupakan orang yang bertanggungjawab membawa masuk varieti ini rasa bangga dengan prestasi varieti ini dalam industri tanaman mangga negara.

7. Sala
Mangga Sala merupakan sejenis mangga yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran Thailand. Mangga ini mempunyai bentuk buah yang lonjong bulat dan agak panjang. Purata berat sebiji buah diantara 300 - 450 gram atau lebih lagi jika dijalankan penjarangan buah. Kulitnya berwarna hijau muda ketika masih muda (Lihat foto sebelah) dan akan kekal berwarna hijau apabila masak. Isinyaberwarna kuning oren dengan rasa yang masam manis dan sesuai untuk dimakan segar atau buah muda dibuat jeruk. Kelebihan varieti ini adalah kerana ia mempunyai kadar putik buah lekat lebih baik daripada varieti harum manis dan agak kurang diserang ulat pengorek batang.

Begitulah 7 varieti mangga yang saya dapat tulis kali ini untuk dijadikan bahan rujukkan. Sebenarnya terdapat banyak lagi varieti mangga yang boleh ditanam di Malaysia kalau kita usahakan bersungguh-sungguh seperti di India, Thailand dan Australia. Potensi menanam mangga masih terbuka luas kalau mahu diusahakan bersungguh-sungguh walau pun kalau hendak dibandingkan dengan tanaman kelapa sawit dan getah mungkin kena fikir dua kali. Semuga artikel ini memberi maklumat berguna kepada anda. Wasallam!


Pembungkus mangga berlogam untuk Harumanis.

VARIETI MANGGA...BANYAK JENISNYA...
CHOK ANAN... DITANAM DIMANA-MANA...
HARUMANIS PULA...PREMIUM KUALITINYA...
BENIH DIJAMIN... SPBT SKIM AMALANNYA...


By
Anem
Senior Agronomist
Kg Gelam, Bukit Rambai,
Melaka, 
Malaysia
(30 JamadilAkhir 1434)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.