Friday, May 24, 2013

SAYUR - AKTIVITI LEPAS TUAI

PENUAIAN HASIL LADANG merupakan operasi awal dalam pengendalian lepas tuai. Beberapa aspek penting bagi penuaian adalah untuk menentukan tahap kematangan yang sesuai dan cara penuaian yang betul. Lazimnya tahap kematangan sayuran dan buah-buahan ketika penuaian mempengaruhi mutu selepas tuai dan ketahanan semasa penyimpanan. Saya dapati citarasa sesuatu jenis sayur berbeza sekiranya hasil dikutip terlalu muda atau terlalu tua. 
Masa penuaian yang sesuai bagi sayuran bergantung pada iklim, musim penanaman tertentu, varieti dan jenis sayur. Menentukan tahap sesuatu jenis sayur itu telah mencapai puncak mutu terbaik, bukanlah satu perkara yagn mudah dilakukan. Jangka masa kematangan yang tertera pada label yang terdapat pada paket atau katalog biji benih boleh digunakan sebagai panduan sahaja. Indeks penuaian bagi kebanyakan jenis sayuran buah dan sayur daun adalah berdasarkan saiz dan warna. Sayur buah pada peringkat muda seperti timun dan bendi, misalnya, boleh dipetik pada beberapa saiz mengikut keperluan pasaran. Manakala kebanyakan sayur buah yang diperlukan pada peringkat matang seperti tomato dan cili, penuaian mungkin bergantung pada perubahan warna sayuran tersebut. Bagi sayur daun pula, saiz biasanya digunakan sebagai kriteria utama bagi indeks penuaian. Manakala sayuran seperti kubis, kepadatannya boleh digunakan sebagai asas penuaian. Umumnya, peringkat kematangan yang sesuai untuk penuaian berbeza mengikut jenis sayur dan cara pemasarannya. Artikel pagi Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti penuaian dan lepas tuap produk tanaman untuk dijadikan bahan bacaan ringan dan rujukan.

Pengendalian hasil sayuran yang dibuat di ladang perlu dilakukan dengan cermat bagi mengelakkan berlakunya sebarang kecederaan mekanikal yang boleh memberi kesan lebam, calar atau pecah. Pengendalian awal yang dilakukan di ladang lazimnya akan dapat mengurangkan kadar kerosakan sayuran pada peringkat pengendalian yang berikutnya. Disamping itu, operasi penyediaan di rumah pembungkusan dapat dikurangkan sekiranya penyediaan awal telah dilakukan di ladang. Saya sering memeriksa beberapa ladang terutama di TKPM (Lihat foto sebelah) dimana struktur lindungan perlu dibina untuk aktiviti menuai diladang bagi membuat prenggredan, pemilihan dan juga memasukan sayuran kedalam bakul plastik atau bakul buluh. Kawasan teduhan ini penting untuk melindungi sayuran daripada terdedah kepada matahari dan dapat bekerja ketika hujan atau cuaca terlalu panas.


Saya dapati aktiviti memetik sayuran dikebun dinegara kita kebanyakan menggunakan tangan sahaja atau menggunakan pisau yang tajam. Pisau yang digunakan mestilah sentiasa tajam dan bersih untuk kita mengelakkan penyebaran virus dari satu pokok ke pokok yang lain. Teknik untuk penuaian berbeza bergantung pada bahagian tanaman yang dipetik. Bagi sayur jenis crucifer (kobis, kailan, kubis bunga dan brokoli), batang utamanya dipotong dengan pisau tajam dan pembersihan boleh dibuat di ladang. Manakala sesetengah sayur daun yang lain (bayam, kangkung) biasanya dicabut dengan tangan. Perlulah dipastikan supaya bahagian tangkai yang dipotong tidak menyentuh permukaan tanah. Sayur buah yang mempunyai tangkai yang ada lapisan pemisah (kacang panjang, buncis, cili) boleh dipetik dengan cara memutuskan tangkai dengan mudah menggunakan tangan. Sebaliknya sayur buah yang mempunyai tangkai yang liat, memetik menggunakan tangan boleh merosakkan sama ada tangkai atau buah (bendi, terung, timun, labu). Sayur jenis ini boleh dipetik dengan cara memotong tangkai buah dengan menggunakan gunting (secateurs) atau pisau.

Apa yang saya tahu, masa yang sesuai untuk menjalankan operasi penuaian perlu difikirkan. Penuaian perlu dilakukan pada waktu yang paling sejuk, sama ada pada awal pagi atau lewat petang (Lihat foto sebelah di projek MAFC Lembah Bertam). Bagi sayuran untuk pasaran tempatan boleh dipetik pada waktu pagi. Bagi tujuan untuk pasaran yang jauh, penuaian lebih baik dilakukan pada waktu petang sekiranya pengangkutan yang sesuai dapat diatur untuk mengangkut sayuran ke pasaran pada waktu malam atau awal pagi keesokan harinya. Pengalaman saya menjaga beberapa projek TKPM telah memberikan kefahaman tinggi mengenai perkara ini.  Bekas pengisi sayuran yang digunakan semasa penuaian mestilah mempunyai saiz yang sesuai dan boleh dibawa oleh pekerja ke seluruh ladang. Bekas tersebut mestilah mempunyai dinding yang tidak tajam untuk mengelakkan kerosakan pada sayur. Penggunaan bekas yang kotor atau tercemar oleh tanah, sisa tumbuhan dan sisa yang reput perlulah dielakkan.

Sayuran yang telah dipetik mestilah dikumpulkan di tempat yang redup sekiranya pengangkutan segera tidak dapat dilakukan. Sayuran yang terdedah pada cuaca panas matahari akan mengalami peningkatan suhu yang menyebabkan sayur mudah rosak dan layu. Merenjis dengan air mungkin perlu supaya sayur tidak layu. Sayuran yang telah dipetik juga mesti dielakkan daripada tercemar degan tidak meletakkannya secara terus di tanah terutamanya tanah basah. Jadual 1 dibawah menunjukkan beberapa jenis sayur daun dan sayur buah serta jangkamasa untuk ia sesuai dituai. Bagi tujuan ini kita akan merujuk terus kepada varieti tanaman yang lazimnya ditulis pada label paket benih. Sebagai contoh, bayan akan dituai 4 minggu lepas tanam (MLT), Kailan (6 HLT), Sawi (4 HLT), Bendi (8 HLT) sehinggalah kepada tanaman sengkuang iaitu 3-5 HLT.  

JADUAL 1: JANGKAMASA MENUAI SELEPAS DITANAM

Pembungkusan di ladang lazimnya adalah aktiviti menggunakan bahan pembungkus yang sesuai serta tahan lasak semasa di ladang dimana ini amat penting untuk mengurangkan kerosakan semasa pengendalian dari kebun dan pengangkutan dengan lori. Kaedah pembungkusan yang baik dapat mengurangkan kehilangan air daripada sayuran dan kerosakan mekanikal yang boleh mempengaruhi mutu sayuran pada peringkat penggunaan. Memasukkan hasil yang dituai terus ke dalam bungkusan yang tersedia untuk dipasarkan adalah digalakkan bagi mengurangkan kerosakan disebabkan oleh pengendalian berganda. 


Mengangkut sayuran keluar dari ladang ke rumah pembungkusan perlu dilakukan dengan cepat untuk mengelakkan sayuran daripada terdedah terlalu lama pada persekitaran yang kadangkalanya terlalu panas atau terlalu lembap. Jenis kenderaan yang digunakan perlu disesuaikan dengan jarak pasaran dan jumlah sayuran yang dikendalikan. Lori kecil atau trailer yang disambungkan ke traktor boleh digunakan untuk mengangkut sayuran yang dipetik ke tempat pengumpulan atau rumah pembungkusan. Jalan ladang perlulah dalam keadaan baik sebab kerosakan terhadap sayuran mudah berlaku jika diangkut melalui jalan yang tidak rata lebih lebih lagi jika menggunakan kenderaan yang tidak sesuai. Bekas yang berisi sayur mestilah dipunggah ke dalam kenderaan dengan cermat dan disusun dengan sebaik mungkin supaya tidak mudah terbalik atau terlalu memberi beban kepada bekas di lapisan bawah, yang boleh menyebabkan kecederaan. Akhir sekali adalah aktiviti di Rumah pembungkusan iaitu merupakan kawasan teduhan untuk melakukan operasi penyediaan bagi menyediakan sayuran untuk pasaran. Rumah untuk aktiviti  pembungkusan boleh merupakan bangsal yang mempunyai peralatan yang terhad atau kompleks yang dilengkapi dengan berbagai-bagai jenis peralatan moden. Operasi penyediaan yang dijalankan meliputi pemilihan, pemotongan, pembasuhan, pengeringan, penggredan, penyimpanan dan pembungkusan. Kesesuaian sesuatu operasi penyediaan berbeza mengikut jenis sayur dan jenis pasaran. Diharap artikel ini memberi ilmu pengetahuan kepada anda semua dalam pengenadlian lepastuai sayuran. Wasallam!


Memeriksa cili yang sesuai dipetik di TKPM Sekijang.
MEMETIK HASIL... HATI AMAT SENANG...
DIKUMPUL DI GRED... ROSAK DIBUANG...
MASUK BAKUL ... KE LORI DINAIKKAN...
HANTAR KE PEMBORONG... DIJUALKAN...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Pengasas TKPM Sekijang,
Segamat, Johor,
Malaysia.
(15 Rejab 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.