Saturday, May 18, 2013

BUNGA NENAS


NENAS (Ananas commosus) merupakan sejenis tanaman buah-buahan dari keluarga Bromeliaceae yang banyak ditanam di Malaysia. Pernahkah anda melihat "BUNGA NENAS"?. Mungkin bagi penanam nenas mereka pernah melihatnya tetapi bagi kebanyakan kita tidak berpeluang untuk melihat bunga nenas sebenar (Lihat foto diatas). Kita di Malaysia beruntung kerana negara kita merupakan salah satu negara menanam nenas dengan keluasan sebanyak 16,850 hektar pada tahun 2010 yang menghasilkan sebanyak 416,070 metrik tan. Kawasan penanaman nenas di Malaysia adalah di Johor dengan Daerah Pontian (3,686 hektar), Daerah Kluang (2,950 hektar) dan Daerah Muar (1,286 hektar) pada tahun 2010 terutama penanaman nenas di tanah gambut. Saya juga berpeluang membangunkan projek tanaman nenas diatas tanah gambut terbiar ketika bertugas di Daerah Muar iaitu seluas 180 hektar di kawasan Bt 14, Air Hitam, Muar di bawah projek ACDA Jabatan Pertanian iaitu dikawasan tanah terbiar pada tahun 2008. Beberapa varieti nenas yang popular di tanam di Malaysia seperti Nenas Moris, N36., Gandul, Josapine, Maspine, Yankee dan terkini adalah nenas Josapine. Artikel petang ini sambil berehat memandang Selat Tebrau diJohor Bahru, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai 'Bunga Nenas' sebagai satu lagi sumber maklumat berguna kepada pembaca semua.

Nenas merupakan sejenis tumbuhan yang tidak tinggi (sekitar 1.0 - 1.2 meter bergantung kepada varieti) dan mempunyai rumpun yang ada batang dan banyak daun (Lihat foto sebelah). Buah nenas sebenarnya adalan sejenis buah berganda (multiple fruit) yang mana setiap kali membentuk buah mempunyai lebih daripada 200 bunga. Apa yang saya perhatikan, keujudan bunga nenas banyak bergantung kepada varieti nenas, tahap penjagaan, umur pokok serta faktur iklim. Berdasarkan kepada taklimat Pegawai LPNM di Stesen Alor Bukit, di Johor, saya diberitahu bunga nenas ada dua makna didalam industri tanaman nenas. Perkara ini yang akan saya bincangkan pada kali ini mengenai bunga nenas yang ada kaitan dengan aruhan untuk pembungaan tanaman nenas dan bunga nenas pada buah yang boleh digunakan untuk tujuan pembiakbakaan (Plant breeding).


Dalam kategori pertama, 'Bunga Nenas' adalah bahagian tengah tanaman nenas (pucuk nenas) yang telah sesuai untuk dibubuh hormon bagi tujuan pengeluaran buah (Lihat foto sebelah yang saya ambil di LPNM Station). Lazimnya bunga ini akan keluar selapas 6 - 8 bulan bergantung kepada umur, varieti dan penjagaan tanaman diladang. Pucuk pokok nenas yang telah sedia untuk dihormon adalah mempunyai bentuk yang putarannya agak jelas dan warna pangkal pelepah daun agak keputihan. Pangkal pucuk daun juga akan kelihatan membengkak sedikit dan akan kelihatan seperti 'bunga' jika dilihat dari sudut atas. Hanya pegawai dan petani yang mahir sahaja dapat membezakan keadaan ini berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman. Bubuh hormon sama ada Pil ANAA atau Etylene dibahagian pucuk nenas ini untuk aruhan pengeluaran bunga. Beberapa minggu kemudian akan keluar bunga yang akan mejadi putik buah seterusnya menjadi buah nenas sehingga ia sesuai untuk dipetik.


Bunga nenas sebenarnya terletak pada buah nenas dibahagian hujung setiap kluster buah. Bergantung kepada varieti nenas, saiz dan warna bunga nenas berbagai daripada warna ungu, kuning, merah dan sebagainya (Lihat foto sebelah). Bunga ini mempunyai sistem seperti bunga lain dimana ada debunga dan stigma yang akan menghasilkan biji benih. Bunga ini yang akan digunakan oleh saintis didalam program biakbaka nenas untuk mendapatkan varieti baru. Teknik yang betul digunakan didalam biakbaka tanaman nenas dimana ini akan menghasilkan nenas hybrid yang mampu mendapatkan varieti baru yang lebih tinggi hasilnya atau tahan kepada serangan penyakit. Bunga pada nenas memang jarang kita dapat lihat kerana ramai kurang teliti akan kehadirannya. Adakah anda diantara orang yang berpeluang melihat bunga nenas?

BUNGA NENAS...APA DIMAKSUDKAN...

PUCUK NENAS... UNTUK ARUHAN..
BUNGA SEBENAR...BUAH KELUARKAN...
IA BERGUNA....UNTUK PEMBIAKAN...   

By,
M Anem
Senior Agronomist
Stesyen Nenas Alor Bukit,
Pontian, Johor,
Malaysia

(29 JamadilAkhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.