Friday, February 15, 2013

RUMPUT EKOR KUCING

RUMPUT EKOR KUCING (Pennisetum polystachion) merupakan sejenis rumput dari keluarga Poaceae yang sering kita jumpa di kawasan belukar dinegara kita. Rumput ini juga dipanggil sebagai Rumput Gajah, Rumput Berus, Rumput Kuning, Rumput Jurig, Mission grass (Inggeris) dan yaa khaehyon chop (Thailand). Baru-baru ini saya membuat lawatan kebun di Setiu (kawasan tanah bris) dimana terdapat terlalu banyak rumput ekor kucing tumbuh dikawasan kebun kelapa sawit baru ditanam dan keliling kebun sayur komersil yang saya buat pemeriksaan. Kenapa ia dipanggil sebagai 'rumput ekor kucing'?....Pastinya kerana bunga rumput ini memang betul-betul seperti ekor kucing bentuknya. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari kawasan tropika di Afrika seperti dari Ethiopia, Tanzania, Uganda, Cameroon dan sekitarnya tetapi kini telah tersebar diseluruh dunia. Artikel malam Jumaat ini saya sempat mennulis artikel kedua dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis rumput ekor kucing yang selalu kita jumpa dikawasan belukar terutama dikawasan tepi pantai tanah bris untuk menambahkan ilmu pengetahuan pembaca blog ini. 


Rumput ini mempunyai ciri rumput yang tumbuh menegak (erected) dengan sistem akar serabut dan ia memang tidak mempunyai stolon (Lihat foto sebelah). Ketinggian rumput ini sekitar 0.5 - 2.5 meter bergantung kepada keadaan tanah dan persekitaran. Batang rumput ini ada yang bercabang dan ada yang tidak bercabang. Daunnya adalah jenis tirus  yang panjang (leaf blade) keluar dari batang rumput ini sepanjang 10 - 50 cm panjang dan 3 - 15 cm lebar. Batang yang mengeluarkan bunga berbentuk selinder tumbuh menegak dengan panjang melebihi 300 cm. Batang ini keluar kebanyakannya dari bahagian perdu pokok.


Bunga rumput ekor kucing keluar dibahagian paling atas batang yang tumbuh menegak. Bunga berbentuk 'spiciform' iaitu berbentuk selinder memanjang 5 - 35 cm dengan banyak bulu sekelilingnya (Lihat foto sebelah). Bunga ini berwarna coklat kekuningan atau kuning  kehijauan bergantung kepada tahap kematangan bunga. Bunga ini sebenarnya terdiri dari banyak bunga kecil (flower spikelets) yang tersusun padat membentuk selinder. Ada yang tumbuh menegak keatas dan sebahagian bunga akan melentur atau membengkok seperti ekor kucing. Setiap spikelet bunga berukuran 2-5 mm panjang dengan mempunyai banyak rerambut atau bulu (panjang bulu sekitar 4-12 mm panjang). Salah satu daripada bulu ini membesar sehingga 6 - 15 mm panjang. Biji rumput ini adalah ringan dan disebarkoan oleh air, haiwan, angin dan ia melekat pada pakaian kita serta mesin jentera ladang. 


Saya belum jumpa akan faedah rumput ini dalam sektor pertanian selain daripada dikategorikan sebagai rumput bermasaalah (noxious grass). Apa yang saya perhatikan jika rumput ini tumbuh dikawasan kebun, ia mengalahkan rumpai lain dan amat cepat membiak dikawasan yang ada air dan subur. Tanaman utama kita terjejas pertumbuhannya juka rumput ini tidak dikawal dari peringkat awal lagi. Kaedah penggunaan racun rumpai jenis sistemik boleh digunakan diselang dengan racun rumpai jenis sentuh. Jika pokok ini telah menjadi dewasa dengan bunga banyak (lihat foto sebelah) maka amat sukar untuk dikawal bagi kawasan yang luas terbuka. Belum ada kepastian sama ada rumput ini boleh digunakan sebagai tumbuhan penghalang hakisan tanah. Faedah saintifik mengenai khasiat rumput ekor kucing juga belum banyak kajian dijalankan. WallahuAlam!
  
RUMPUT EKOR KUCING... ITULAH NAMANYA...
TUMBUH LIAR... KAWASAN BERPASIR ASALNYA...
UNTUK HAPUSKAN... SUSAK KITA DIBUATNYA...
PERLU DIKAWAL... DARI PERINGKAT AWALNYA...

By,
M Anem
Taman Bunga Saujana,
Putrajaya, WP ,
Malaysia.
(4 RabiulAkhir 1434H)   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.