Friday, March 1, 2013

MAS COTEK - PANDUAN ASAS (2)


MAS COTEK atau EMAS COTEK (Ficus deltoidea) dari keluarga Moraceae merupakan sejenis tumbuhan natif di Asia Tenggara digunakan untuk dijadikan bahan kesihatan. Tumbuhan ini juga dipanggil sebagai Serapat, Sempit-sempit dan Agoluran (Sabah) merupakan tumbuhan ubatan. Tumbuhan ini dulu tumbuh liar dikawasan belukar dan kini telah dikomersilkan merupakan tumbuhan epifit (Ephyphyte) yang hidup menumpang pada tumbuhan lain asalnya. Kini ia telah ditanam diatas tanah secara komersil dan dijaga rapi untuk menghasilkan pelbagai produk mas cotek apabila ianya diproses.  Tanaman mas cotek boleh mencapai ketinggian sehingga 2 - 3 meter dan mempunyai banyak ranting, dahan dan daun. Bentuk daun mas cotek agak unik kerana ada berbentuk bulat, bentuk bujur telur , berbentuk lonjong atau pun tidak menentu bentuknya. Permukaan atas daun berwarna hijau berkilat sementara dipermukaan bawah berwarna kuning keemasan dengan tompok-tompok hitam diantara urat daun terutama yang bercabang. Artikel malam ini saya meulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai panduan menanam Mas cotek berdasarkan risalah Jabatan Pertanian dan juga pengalaman penulis sendiri yang pernah menanam pokok ini.


Tanaman mas cotek berlawan dengan rumpai yang perlu dikawal. Terdapat beberapa petani yang menggunakan sungkupan plastik diatas tanah bris dan tanah mineral untuk mengawal rumpai. Plastik sungkupan didapati mampu mengekalkan kelembapan tanah pasir dan batas tanaman. Pengalaman saya melawat beberapa projek penanaman mas cotek di Muar, Melaka dan Terengganu mendapati, tumbuhan ini amat sensitif dengan serangan NEMATOD (Meloidogyne spp) pada bahagian akar. Nematod (puru akar) yang menyerang akan menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut dan akhirnya pokok boleh mati. Terdapat beberapa kaedah mengatasi masaalah ini seperti menggunakan media pasir untuk semaian sedalam 60 cm kerana nematod tidak sesuai didalam pasir. Penggunaan bahan gambut sebagai bahan tanaman dalam pasu juga mampu mengelakan serangan cacing nematod. 


Pada waktu peringkat awal penanaman dulu aktiviti penuaian mas cotek dicabut keseluruhan pokok. Pokok yang cukup matang akan dicabut keseluryhannya dan dari tanah dimana satu perdu mencapai 20 kg. Ini dengan mengambilkita berat batang, akat, daun , batang, buah dan sebagainya. Bahagian ini lazimnya digunakan untuk dijadikan pelbagai produk bahan kesihatan. Pada masa ini teknologi penuaian dijalankan dengan memotong dahan pokok mas cotek pada tahap ketinggian 30 cm dari paras tanah. Kaedah ini akan memberikan kita menuai dengan kekerapan 4 - 5 bulan bagi setiap perdu pokok mas cotek. Dahan yang dipotong akan dikumpulkan dan dikeringkan menggunakan cara dijemur dibawah matahari atau didalam oven. Jangkamasa menjemur dalam jangkamasa 4 - 5 hari untuk menghilangkan getah didalamnya. Getah yang ujud pada tumbuhan mas cotek segar boleh menyebabkan keracunan jika dimakan segar. 


Kajian saya di Muar bagi tanaman mas cotek ditanah gambut dulu mendapati, anggaran kos pengeluaran mas cotek sekitar RM 28,500 sehektar. Terdapat peraih yang mempunyai kilang membeli mas cotek segar dengan harga RM 3.00 - RM 5.00 sekilogram berat basah bergantung kepada kualiti dan sama ada kontrak farming atau tidak. Mas Cotek yang telah dikeringkan akan dijual dengan anggaran harga antara RM 23.00 hingga RM 30.00 sekilogram. Pelbagai produk dan jenama daripada tumbuhan mas cotek ada dijual dipasaran sehingga artikel ini ditulis. Paling lazim adalah produk mas cotek didalam bentuk teh, minyak biji mas cotek, serbuk teh mas cotek, minyak urut mas cotek dan banyak lagi. Potensi untuk menanam mas cotek secara komersil adalah baik pada masa akan datang dengan adanya teknologi dan panduan menanam yang disediakan ini. Kajian selanjutnya perlu ditingkatkan oleh pihak tertentu bagi mengangkat tanaman ini sebagai satu industri yang akan memberikan pulangan baik kepada petani yang menanam dan memproses produk mas cotek dinegara kita. Wasallam!

TANAM MAS COTEK .... MUDAH SEKALI...
BENIH DI TANAM ... PENJAGAAN DIBERI...
HASIL DIPROSES ... IKUT SPESIFIKASI... 
PRODUK DIJUAL... MEMANG TIDAK RUGI...

By,
M Anem
Projek Mas Cotek
Kg Sg Nibong,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(3 Safar 1434H)




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.