Tuesday, February 19, 2013

DURIAN - PRODUK DURIAN 2

PRODUK DURIAN (Durio zibethinus) merupakan segala jenis produk yang berasaskan kepada buah durian dan bahagian lain dari pokok durian. Banyak buah durian yang terhasil setiap tahun di Malaysia, Thailand dan Indonesia apabila musimnya sampai. Kebanyakan buah ini adalah untuk pasaran segar domestik dimana buah durian memang tidak tahan lama. Bergantung kepada varieti dan pengurusan lepas tuai, buah ini tidak boleh disimpan lebih dari 2-3 hari sebelum merekah dan kualiti isinya akan menurun. Banyak kajian telah dijalankan untuk menghasilkan pelbagai produk durian berasaskan isi buah durian. Pembangunan untuk Produk Nilai Tambah (value added) durian dan perlanjutan tempoh penyimpanan buah matang diantara usaha yang dijalankan. Selain itu usaha juga dibuat untuk kita dapat memanjangkan tempoh pemasaran (tempoh musim durian), mengurangkan bau yang kuat (untuk pasaran luar negara melalui udara), mengurangkan kos pengangkutan dan meningkatkan amalan agronomi pertanian kearah yang lebih baik. Pelbagai produk berasaskan durian telah dicipta untuk tujuan ini bagi tujuan pemasaran dan penggunaan hasil durian yang optima. Artikel malam ini saya menulis satu lagi artikel mengenai durian dalam "Anim Agro Technology" iaitu mengenai pelbagai produk berasaskan durian dalam Part 1, Part 2, Part 3 dan Part 4 untuk bacaan dan rujukkan bagi pembaca blog saya.


6.  AISKRIM DURIAN
Aiskrim Durian (Durian icecream) merupakan satu produk aiskrim berasaskan perisa buah durian dari segi aroma dan rasanya. Aiskrim durian merupakan satu produk popular di Malaysia, Thailand, Indonesia malahan ia laku sehingga pasaran antarabangsa yang lain. Aiskrim ini telah dihasilkan oleh beberapa syarikat besar seperti Magnolia, Nestle, Wall's, Kings dan sebagainya. Aiskrim ini dijual dalam bentuk bekas khas, cup dan juga aiskrim batang. Hidangan aiskrim durian ini sering dihidangkan di restoran-restoran antarabangsa, hotel, cafe dan pelbagai outlet lagi. Kebanyakan aiskrim durian memang diberikan warna sama seperti buah durian untuk menarik pembeli. Saya memang sangat suka akan aiskrim perisa durian kerana harganya berpatutan, sedap, aroma yang sesuai dan berkhasiat. Adakah anda berminat dengan aiskrim durian?


7.  LEMPUK DURIAN
Lempuk Durian (Durian paste) juga merupakan satu jenis produk berasaskan durian yang telah pun diusahakan secara turun temurun oleh datuk nenek kita. Lempuk durian dibuat dengan mengambil isi durian yang telah masak dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Isi durian daripada pelbagai varieti durian dikumpulkan dan dimasak sehingga pekat dengan api yang perlahan. Kaedah memasak dan menyediakan lempuk ini bergantung kepada jenis buah dan kuantiti yang hendak disediakan. Apabika sudah pekat ianya disejukkan dan akan dibungkus sebelum dipasarkan atau disimpan sendiri (Lihat foto diatas). Lempuk yang disediakan dengan baik tahan beberapa bulan dan akan lebih lama didalam suhu sejuk.


8.  PULUT DURIAN
Pulut Durian adalah makanan yang berasaskan durian yang sangat sedap. Saya suka makan pulut durian di Pataya , Thailand pertengahan tahun 2012 yang disediakan di restoran muslim dengan durian jenis Chanee dan pulut yang dimasak dengan santan (ada sedikit garam) bersama rombongan. Terdapat pelbagai kombinasi rasa makanan ini iaitu Manis (isi durian), Masin (pulut), Lemak (Pulut dan isi durian) dan aroma durian segar yang dihidangkan. Kita di Malaysia pula suka makan pulut durian dengan kuah durian yang dipanggil sebagai 'Serawa Durian'. Cara buat serawa durian ini juga sangat mudah dengan memasak isi durian bersama santan, gula melaka, daun pandan, sedikit garam sehingga pekat.  Tuang kuah serawa kedalam mangkuk yang mengandungi pulut yang telah dikukus... Sedapnya...


9. BISKUT DURIAN
Biskut Durian (Durian biscuit) adalah satu produk berasaskan buah durian yang paling mudah kita beli dimana-mana kedai. Biskut durian ini disediakan dalam bentuk biskut berlapis biasa atau dalam bentuk 'Wafer Durian'. Ada perasa durian yang dimasukkan terus didalam kepingan biskut tetapi banyak biskut durian yang dibuat dalam dua lapisan dimana diantara lapisan di lapik dengan krim perisa durian. Apa yang pasti mengenai biskut durian adlah ujudnya perisa durian dalam biskut tersebut tetapi yang penting aroma durian dapat dikekalkan didalam biskut tersebut. Harga biskut durian juga murah berbanding dengan produk biskut berasaskan buah-buah tropika lain yang ada dipasaran. Paling mengejutkan apabila saya berada di Mesir pada tahun 2005, saya beli biskut perasa durian diperbuat di Alor Gajah di Kaherah dengan harga yang murah dan masih segar dari kedai didepan hotel. 


10.  KEK  DURIAN
Kek Durian (Durian Cake) mungkin agak kurang diperkatakan diantara produk makanan berasaskan durian. Ini kerana saya tidak minat makan kek walau apa juga perasa kek tersebut. Didalam kedai kek pun, jarang-jarang ada dijual kek durian. Mungkin kita di Malaysia lebih suka makan isi buah durian segar berbanding dengan makan kek berasaskan durian. Pasaran kek durian adalah untuk 'Mat Saleh' yang mungkin kata bau durian itu 'busuk'. Maka dengan kita menyediakan kek durian setidak-tidaknya dia tidak kata bau kek itu busuk. Kek durian ini sering disediakan untuk hidangan Hari Raya (Jika kena dengan musim durian), Kek Durian Hari Jadi (Sah, memang kaki durian) dan Kek Durian Hantaran Perkahwinan dan sebagainya. 
Wallahualam!   

BAU DURIAN ... ADUH MEMANG KUATNYA...
LORI DURIAN ... LAJU PERGERAKANNYA...
PRODUK DURIAN... MACAM2 NAMANYA...
ADA NILAI TAMBAH ... MENGUNTUNGKANNYA...

By,
M Anem
Kg Tras,
Raub, Pahang,
Malaysia.
(19 Safar 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.