Sunday, January 20, 2013

PEAR

PEAR (Pyrus communis) merupakan sejenis buah-buahan yang sangat popular diseluruh dunia. Saya kenal buah pear semenjak kecil dulu kerana  ia mudah dibeli dari gerai buah-buahan di pekan kecil di Gersik dan Bukit Gambir di Johor dengan harga yang murah. Saya berpeluang melawat ladang pear di Beijing (2000 dan 2012), di negara Korea (1999) dan di Mesir (2005) dan dapat memetik sendiri buah tersebut diatas  pokok. Pembacaan saya daripada beberapa buah buku mendapati, buah pear ini ada dua jenis iaitu Pear yang berasal Eropah iaitu Europe Pear (Pyrus communis) dan Pears berasal dari kawasan Asia atau disebut Asian Pear (Pyrus pyrifolia). Terdapat lebih dari 39 varieti atau spesis buah pear dimana kebanyakannya jenis yang ditanam dulu adalah dari kumpulan pear eropah lebih popular. Pengeluaran buah pear adalah lingkungan 23 juta metrik tan setahun dan angka ini agak konsisten terutama dari jenis pear eropah dibeberapa negara. Negara pengeluar utama buah pear eropah dunia adalah USA, Itali, Argentina dan Sepanyol. Pengeluaran Pear Asia sekitar 16 juta metrik tan dari beberapa negara utama seperti China (15.4 juta mt - lebih separuh pengeluaran pear dunia), Jepun (0.3 juta mt) dan Korea (0.3 juta mt). Pear Asia mempunyai rasa lebih rangup dan lebih manis dengan bentuk buah agak bulat. Buah Pear Asia juga mempunyai kandungan asid yang rendah, kurang rasa sebenar berbanding buah pear eropah dan lebih lama jangkahayat penyimpanan (Loger shelf life). Artikel tengahari Jumaat ini (selepas sembahyang Jumaat) saya sempat menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buah-buahan temperate pear yang memang kita sudah makan semenjak dulu lagi.


Pokok pear adalah jenis pokok saka yang mempunyai batang, dahan dan akar dengan ketinggian 5 - 8 meter dan lebar kanopi sekitar 3 - 5 meter keliling. Bentuk dahan pokok adalah rimbun, membulat atau bentuk piramid. Pokok pear adalah jenis hermaprodite dimana pendebungaan adalah secara sendiri (self compatible). Bagaimana pun berlaku pendebungaan secara kacukan dengan pokok dari bunga pear lain yang dilakukan oleh serangga terutamanya lebah madu. Bunga pear lazimnya keluar pada hujung ranting dengan bunga berwarna putih dengan jumlah banyak pada pokok berumur lebih dua tahun. Bunganya mempunyai 5 kelopak, 5 pistil dan mempunyai sebanyak 20 stamen (Lihat foto dibawah). Tanaman ini merupakan tanaman temperate yang perlukan suhu sejuk atau salji untuk menghasilkan bunga (induce flowering). Bagaimana jika musim sejuk atau salji amat sejuk berpanjangan, ini akan menjejaskan pengeluaran bunga pear. Pokok pear boleh ditanam dalam pelbagai jenis tanah asalkan mempunyai sistem saliran baik dan ada kelembapan mencukupi dan sebaiknya dipasang sistem pengairan sempurna. Sebaiknya ditanam dikawasan tanah agak rata untuk memudahkan pengurunan ladang dan pokok.


Penoh bunga pear dipokok.
Penanaman pear menggunakan anakbenih cantuman yang disediakan pada pertengahan musim panas atau hujung musim panas menggunakan pokok penanti terpilih. Bagaimana pun, kaedah menanam dengan keratan batang ada juga digunakan untuk klon-klon tertentu. Jarak penanaman adalah 5-6 meter antara pkok dan 3-4 meter dalam barisan  atau kombinasi 4-5 meter antara pokok dengan 2-4 meter antara barisan (tanaman padat). Pada peringkat awal penanaman, perlukan aktiviti 'latihan pokok' dengan menjalankan cantasan pembentukkan dimana konsep percabangan adalah 'terbuka tengah'. Kawalan rumpai dijalankan sebaiknya dengan menggunakan cara pemotongan menggunakan jentera atau semburan racun rumpai terpilih.  Pembajaan menggunakan banyak baja organan dan baja NPK tetapi perlu dikurangkan unsur N kerana akan menyebabkan pokok menjadi vegetatif.  Tanah pada pH 5.5 - 6.5 adalah sesuai untuk tanaman buah pear.   


Buah pear mula dituai selepas 3 - 4 tahun jika ditanam menggunakan anakbenih cantuman dan 5 - 6 tahun jika ditanam daripada bijibenih. Pokok yang berumur 8 - 10 tahun mampu mengasilkan buah pear paling optima. Anggaran hasil yang boleh didapati daripada pokok yang ditanam menggunakan bijibenih adalah sebanyak 8 metrik tan sehektar (umur 5 tahun) dan meningkat kepada 20 mt/ha (7 tahun) dan sebanyak 50 - 80 mt/ha jika pokok berumur 10 tahun. Kajian dibeberapa lokasi di Eropah menunjukkan, jangkahayat pokok pear adalah mampu hidup selama 40 - 80 tahun lamanya jika diuruskan dengan baik. Teknologi mengutip hasil buah pear adalah dengan memetik buah menggunakan tangan (hand plucking) walau pun ada dibantu oleh  beberapa peralatan jentera. Buah pear tahan lama jika disimpan didalam suhu sejuk dibawah -5 celsius dalam keadaan segar sehingga kita orang di Malaysia mampu membelinya sepanjang tahun. Wasallam!



BUAH PEAR...AGAK UNIK BENTUKNYA...
PELBAGAI WARNA...LEMBUT ISINYA...
NEGARA MENGIMPOT... BANYAK KUANTITINYA...
DIMAKAN SEGAR... BANYAK KHASIATNYA...

By,
M Anem
Precint 11,
Putrajaya,
Malaysia
(6 RabiulAwal 1434H)









No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.