Saturday, January 5, 2013

PASAR KARAT

PASAR KARAT adalah satu lagi aktiviti pemasaran yang kini menjadi trend di negara kita. Apakah dia pasar karat?. Nama pasar karat ini dari dua patah perkataan iaitu 'PASAR' yang bermakna tempat jual beli dan 'KARAT' iaitu jualan barang-barang lama atau barang-barang antik (Besi lama selalunya karat). Pasar Karat banyak di dapati dibandar-bandar besar di seluruh dunia dan di Malaysia kita boleh persi pasar karat di bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Ipoh (Banyak Barang Antik), Kota Kinabalu dan banyak lagi bandar lain diseluruh negara. Konsep perniagaan pasar karat adalah berasaskan kepada jualan barangan terpakai, barang lama, barang antik, barang pelik, barang usangalat ganti terpakai, barang hiasan dan sebagainya. Penjual di pasar karat kebanyakannya adalah bukan sepenuh masa (Part time) sahaja dan hanya sebahagian kecil sahaja yang merupakan perniagaan tetap. Artikel malam ini saya menulis maklumat untuk dibaca mengenai pasar karat dalam 'Anim Agro Technology' berdasarkan pemerhatian dan tinjauan.  


Lokasi Pasar Karat ini kebanyakannya di kawasan tanah lapang atau kini ada yang telah masuk didalam kawasan kompleks perniagaan seperti AmCorp Shah Alam, Mid Valley dan sebagainya. Dikawasan khas ini, peniaga akan membuka bonet kereta atau van dan memasang payung serta kanvas diatas tanah untuk mempamerkan barangan yang hendak dijual. Kebanyakan penjual tidak meletakkan tanda harga kerana barang yang dijual kadang-kadang adalah barang terpakai yang tidak boleh digunakan lagi. Pembeli yang berminat kena memeriksa dan membelek barang yang diminatinya dan barulah berlaku tawar menawar mengenai harga jualan. Contohnya kipas angin meja lama yang telah rosak, berapa agaknya hendak dijual kerana pembelinya hanya mahu motor eletriknya sahaja dan suis kipas? , kena pandai tawar menawar untuk menentukan harganya. Barang antik logam lazimnya dijual dengan harga tinggi bergantung kepada usia dan tahap keantikan (antiquity) barangan tersebut. Peminat barang antik memang tidak sayang duit untuk membeli barangan tersebut. Barang lama seperti duit syiling, tembikar lama, telefon lama, radio lama, buku lama, barang letrik lama, setem lama, senjata seperti keris, pedang, senapang, pistol, parang adalah  diantara barangan yang ada dipamerkan.


Operasi pasar karat selalu dijalankan  seminggu sekali atau dua kali lazimnya pada hari Sabtu atau Hari Ahad. Pasar Karat Ipoh yang berdekatan dengan Hotel Ipoh City diadakan contohnya setiap hari Ahad dari jam 7.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Saya suka berjalan melihat pasar karat ditempat tersebut sebulan sekali jika ada masa lapang untuk melihat barang-barang. Ada yang mempamerkan barang jualan di dalam kereta atau di dalam bonet kereta. Mereka menjual sebagai hobi atau suka-suka sahaja setiap minggu. Kebanyakan barangan yang dijual pun ada pembeli khusus (niche market). Saya melihat ada peminat duit lama yang sedang tawar menawar dengan penjual dan mereka memang pakar mengenai duit lama tersebut. Penjual barang karat pun mungkin orang yang mempunyai hobi menyimpan duit lama yang telah lama disimpan. Menjual ada yang sepenoh masa dan ramai merupakan 'part-time job' di pasar karat dimana ini akan menambahkan lagi pendapatan mereka yang mempunyai hobi mendatangkan pendapatan tambahan.


Kini pasar karat telah mula menjadi satu daya tarikan kepada pelancong tempatan dan pelancong luarnegara. Beberapa lokasi pasar karat dilokasi strategik kini telah disenaraikan untuk dijadikan tempat lawatan kepada pelancong domestik dan juga pelancong dengan pelbagai kemudahan dan jaminan keselamatan. Siapa yang tidak kenal dengan Pasar Petaling Street di Kuala Lumpur?. Tempat ini merupakan satu lokasi dimana ramai pelancong suka mengunjunginya. Konsep pasar karat ala 'Jualan Bonet Kereta' atau 'Car boot sale' telah mula mendapat tempat dikalangan rakyat Malaysia. Pihak berkuasa dan kerajaan tempatan sepatutnya terus aktif mempromosikan dengan lebih agresif keujudan pasar karat agar lebih tersusun, tersohor dan dikunjungi oleh lebih ramai pembeli. Walau pun kebanyakkan rakyat Malaysia mampu untuk membeli barangan baru untuk kegunaan harian, keujudan pasar karat akan terus menjadi tumpuan khusus kepada mereka yang suka akan perkara tersebut.

PASAR KARAT.... DIMANA LOKASINYA...
BARANG LAMA... ANTIK JUGA ADANYA...
HARGA DI TAWAR... PUAS PEMBELINYA...
TARIKAN KHUSUS... ADA YANG DICARINYA...

By,
M Anem
Pasar Karat Ipoh,
Ipoh, Perak,
Malaysia.
(17 Muharram 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.