Wednesday, January 16, 2013

DURIAN : PASARAN EKSPOT

DURIAN (Durio zibethinus Murr) merupakan komoditi penting di kawasan Asia Tenggara untuk pasaran domestik dan pasaran ekspot. Pemasaran domestik durian telah dibincang dalam artikel sebelum ini (Klik disini) dan pasaran ekspot durian merupakan satu alternatif dalam sistem pemasaran buah durian. Negara Thailand merupakan negara paling berjaya dalam menembusi pasaran ekspot durian didunia. Jumlah ekspot durian dari thailand hanya 5 - 7% sahaja daripada jumlah pengeluaran durian negara tersebut. Durian merupakan 35 - 40% daripada jumlah buah-buahan yang dihasilkan dinegara tersebut setiap tahun. Pesaing Thailand dalam ekspot durian di Singapura adalah Malaysia yang menguasai 99% pasaran durian segar. Bagaimana pun Thailand memonopoli pasaran durian di Hong Kong, China, Jepun, Brunei, Taiwan dan USA. Nilai ekspot durian dari Thailand terus meningkat setiap tahun terutamanya ke USA dan Jepun kerana kuasa membeli yang kukuh. Artikel malam ini selepas meninton Berita TV jam 8.00 malam, saya menulis artikel dalam 'Anim Agro Technology' berkaitan tajuk ekspot buah durian kepasaran antarabangsa.


Durian Thailand kini diekspot dalam bentuk Durian Segar, Durian Sejuk Beku dan Pes Durian. Pasaran untuk durian sejuk beku dan Pes Durian banyak tertumpu ke USA, Canada dan Australia. Durian segar yang terpilih dari varieti Min Thong, Chanee dan Kan You  merupakan antara jenis yang paling banyak diekspot. Malaysia berjaya mengekspot durian segar dan juga durian sejuk beku ke Hong Kong, China dan beberapa negara lain walau pun jumlahnya tidak banyak berbanding dengan ekspot durian Thailand. Antara varieti durian dari Malaysia yang popular untuk diekspot adalah jenis Durian Raja Kunyit atau Durian Musang King (D197). Teknologi mengekspot durian dari Thailand ada saya terbitkan dalam artikel bertajuk 'Petik dan Ekspot Buah Durian' (Klik disini).


Walau pun cabaran untuk kita mengekspot durian ini banyak, Thailand masih mampu mengekspot durian segar bernilai lebih dari USD 30 juta setahun. Dalam lawatan kerja  saya ke salah satu pusat pengekspotan durian di Chantaburi, Thailand pada Mei 2012 mendapati, aktivti dijalankan dengan piawaian yang tinggi untuk durian Thailand yang hendak diekspot. Buah durian Mon Thong, Chanee dan Kan Yau merupakan antara varieti durian Thailand yang telah berjaya di ekspot termasuk kenegara kita Malaysia. Mereka memilih sebahagian dari buah durian matang yang dikutip diatas pokok untuk diekspot dan bukannya dari buah durian yang gugur sendiri. Buah ini di pilih dari yang mempunyai kualiti premium untuk tujuan ekspot.


Cabaran dalam mengekspot durian memang banyak diantaranya masaalah Kos Pengeluaran Tinggi (High Production Costs), Pembungkusan (Packaging), Bau (Aroma), Kualiti (Quality), Penyimpanan (Storage), Pengguna (Consumer preference) dan Persaingan dengan komoditi lain. Kos Pengeluaran buah durian terus meningkat dengan kenaikan kos bahan input seperti baja, racun kimia, kos tenagakerja dan pengurusan. Kuantiti dan kualiti buah durian yang terhasil setiap musim juga tidak menentu akibat perubahan cuaca dan persekitaran. Harga buah durian dipasaran domestik juga mengekang pasaran durian untuk ekspot. Pasaran buah durian yang bermusim terus bersaing dengan buah-buahan yang tidak bermusim seperti betik, nenas, nangka untuk pasaran ekspot kerana kos pengeluaran yang sama dan pengeluaran hasil secara bermusim. Pemprosesan dan pembungkusan durian untuk pasaran ekspot saya dapati melibatkan kos dan teknologi yang tersendiri. Durian untuk ekspot perlu di buat proses pemilihan, dibersihkan, dibuat rawatan, dibungkus dengan kotak khas, dilabel, dibawa dengan lori berhawa dingin dan dihantar melalui kargo udara. Semua ini melibatkan kepakaran dan kecekapan dari peringkat ladang hingga pengguna diluar negara. Kualiti buah durian juga tidak menentu akibat amalan agronomi berbeza dikalangan petani, faktur cuaca, serangan perosak dan sebaginya. Hanya buah yang mencapai piawaian sahaja sesuai untuk diekspot. 


Penyimpanan dan penghantaran buah durian untuk ekspot juga memerlukan kepakaran dan kecekapan. Durian segar dari kebun perlu dengan segera dibawa ke pusat-pusat pengumpulan seterusnya di hantar ke pusat rawatan ekspot. Penyimpanan dalam suhu sejuk membantu dalam memanjangkan 'shelf-life' buah durian untuk pasaran ekspot. Negara pengimpot durian mempunyai Citarasa Pengguna (Consumer preference) yang khusus terhadap durian. Bukan mudah untuk memperkenalkan varieti durian baru kepasaran ekspot. Kebanyakan durian yang kurang kuat baunya, sederhana manis dan isi yang baik menjadi pilihan. Berbeza dengan pengguna pasaran domestik yang suka buah yang sangat manis dengan pahit dan lemak, kuat baunya dan cantik warna isinya. Pasaran ekspot durian mempunyai potensi yang besar pada masa akan datang dengan produk durian sejuk beku, pes durian dan produk makanan berasaskan durian. Semuga negara kita akan menerokai pasaran ekspot durian pada masa akan datang dengan lebih berjaya. Wasallam! 

EKSPOT DURIAN .... TINGGI NILAINYA....
DURIAN SEJUKBEKU... SATU CARANYA...
DIHANTAR SEGERA... GUNA KARGO UDARA ....
PEMINAT DURIAN... DAPAT NIKMATINYA...

By,
M Anem
Bangkok, Thailand
(Lawatan Agro-Challange KUAT)
12.12.2012

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.