Tuesday, December 18, 2012

NATURAL FARMING

NATURAL FARMING (NF) adalah satu kaedah pertanian untuk menghasilkan tanaman makanan secara ORGANIK.  Kaedah yang digunakan menggunakan sumber semulajadi seperti mikro-organisma tempatan, tumbuhan, haiwan dan faktor dipersekitaran untuk menyediakan input-input bagi proses penanaman. Saya mula mendengar mengenai Natural Farming semanjak tahun awal 1980'an semasa saya mula bekerja. Pendedahan mengenai konsep 'Natural Farming' ini lebih mendalam setelah saya berpeluang kursus sambil belajar di Korea dua kali. Mengikut beberapa rujukkan orang Jepun iaitu Mansanobu Fukoka dalam tahun 1913 sebelum diperhebatkan oleh orang Korea iaitu Dr Cho Man Kyu (1960'an) dengan lebih saintifik teknologinya. Kedua-duanya menumpukan penggunaan bahan-bahan dari ladang yang dikitar semula menggunakan teknologi NF untuk bahan input tanaman yang menjimatkan kos pengeluaran. Teknologi NF ini telah diperkenalkan di Malaysia dimana ramai pegawai dan NGO berkursus di Korea dan Thailand untuk teknologi ini. Malam ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai teknologi Natural Farming untuk dikongsi bersama pembaca blog ini.


Natural Farming kalau di alih kebahasa kita mungkin bunyinya 'Pertanian Secara Semulajadi' walau bunyinya agak kurang tepat. Sebenarnya ia merupakan satu kaedah alternatif pertanian semulajadi yang mampan, gunakan kos yang rendah, memberikan kualiti produk yang boleh mencapai kualiti, selamat dimakan dan didakwa penghasilan lebih tinggi. Teknologi ini tidak menggunakan baja kimia sintetik dan racun perosak yang dijual. Kita perlu faham akan falsafah mengenai NF iaitu bahan-bahan input pertanian yang digunakan adalah disediakan secara proses pereputan, fermentasi dan ekstrak daripada sumber tymbuhan dan sisa buangan haiwan. Kajian menunjukkan penggunaan bahan-bahan ini dapat memulihkan sistem ekologi dan keadaan tanah yang telah lama rosak akibat penggunaan racun kimia, racun rumpai dan aktiviti alat-alat jentera ladang. Perkataan yang selalu dirujuk didalan teknologi NF adalah 'MESRA ALAM' atau dalam bahasa Inggeris sebagai 'environmental friendly'.


Falsafah NF juga dikaitkan dengan NF sebagai menghormati kehidupan dan menghindari gangguan dari pengamalan aktiviti pertanian hidupan alam semulajadi. Tanaman dan haiwan peliharaan yang diuruskan secara Teknologi NF dipercayai dan dibuktikan mempunyai daya ketahanan yang tinggi terhadap serangan penyakit , serangga perosak dan perubahan cuaca. Pengalaman saya di Johor yang merupakan peneraju pertanian organik menggunakan teknologi NF mendapati produk pertanian yang menggunakan teknologi NF memberikan hasil berkualiti tinggi, rasanya yang lebih enak, bebas daripada sisa bakki racun dan paling penting adalah jaminan tahap keselamatan makanan tersebut. Banyak kaedah NF Korea yang diperkenalkan di dunia dimana kita di Malaysia hanya mengamalkan (1) Tanpa Racun Perosak (2) Tanpa Racun Rumput  (3) Tanpa Pembajakkan  (4) Tanpa Baja Kimia/ Bahan Sintetik  dan (5) Teori 'Nutritive Cycle'. Teori nutritive cycle menitikberatkan setiap perubahan pada fasa pertumbuhan pokok atau haiwan. Pembajaan atau permakanan untuk pokok dan binatang perlu diberi dengan tepat mengikut masa, kuantiti yang diperlukan dan jenis yang sesuai mengikut fasa.


Prinsip NF yang diperkenalkan di Jepun agak berlainan mengenai teknologi NF Korea dimana Masanobu Fukuoka mengariskan 5 prinsip dalam NF. Prinsip tersebut adalah (1) Tiada pembajakkan (No tillage)  (2) Tiada Pembajaan (No fertilizer)  (3) Tiada Racun Kimia (No pesticide/ herbicide)  (4) Tiada Kawalan Rumpai (No weeding)  dan (5) Tiada Cantasan (No pruning). Pembajakan tanah yang dijalankan boleh menganggu ekosistem sedia ada dimana lebih banyak oksijen dan bakteria masuk kedalam lapisan dalam tanah dan ini menyebabkan berlaku pembiakan mikrob yang tidak baik. Banyak mikrob dan cacing serta agen pereputan akan mati akibat kerja membajak tanah yang mengubah struktur tanah walaupun membajak tanah amat digalakan dalam pertanian secara konvenional.


Dalam teknologi NF sering didengar mengenai perkataan IMO (Indegenuous Micro-organism). IMO merupakan satu kumpulan mikrob yang berkuasa khusus digunakan bagi tujuan membaiki keadaan tanah dan memberi kesuburan kepada tanah. Banyak jenis IMO yang kita boleh sediakan seperti Asid Amino Ikan (Fish Amino Acid) dan sebagainya. Terdapat juga Baja NF yang disediakan melalui proses fermentasi dari tumbuhan hijau seperti sayur-sayuran, buah-buahan, sisa buangan haiwan seperti tulang lembu dan kulit telur.  Bahan seperti gula merah atau molases digunakan didalam proses fermentasi tersebut.  Antara formulasi baja yang biasa digunakan adalah dari bahan Kangkong, Batang Pisang dan lain-lain jenis sayur bagi menghasilkan Fermented Plant Juice (FPJ), Fermenter Fruit Juice (FFJ), Fish Amino Acid (FAA) dan Oriental Herbal Nutrient (OHN).  Saya telah belajar banyak kali teknologi tersebut dan faham akan cara membuatnya. Kepada mereka yang berminat boleh mohon untuk belajar daripada pakar-pakar di Jabatan Pertanian dan lain-lain NGO sedia ada di negara kita. SAYONARA! HAMSA HAMIDA!

TEKNOLOGI NF .... SEDAP BUNYINYA...
PRODUK ORGANIK .... HASIL UTAMANYA...
BELUM POPULAR ... KENAPA AGAKNYA...
KENA ADA ILMU ... PERLU KURSUSNYA...

By,
M Anem  
Room 212, Sutera Hotel,
Seremban, Negeri Sembilan,
Malaysia
(4 Safar1434H)



      

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.