Wednesday, December 5, 2012

LIMAU OREN

LIMAU OREN (Citrus sinensis) atau SWEET ORANGES merupakan sejenis buah-buahan jenis limau dari keluarga Rutaceae yang sangat popular didunia. Limau Manis Oren lazimnya dimakan segar sebagai pencuci mulut selepas makan berat seperti selepas makan nasi setiap hari. Buah oren ini juga sering dihidangkan di hotel-hotel, majlis kenduri dan majlis jamuan rasmi sebagai 'dessert fruit'.  Ekstrak oren dalam bentuk jus dan kordial juga menjadi bahan minuman sangat popular diseluruh dunia. Asal usul limau oren ini dipercayai adalah natif dari Asia Tenggara atau China yang mana telah dimajukan semenjak abad ke 15 apabila Columbus dan juga kolonial membawanya keserata dunia. Pengeluaran oren dunia sekitar 70 juta metrik tan setahun dengan negara Brazil merupakan pengeluar utama buah oren iaitu sebanyak 18 juta metrik tan setahun. Ini diikuti dengan USA (7.5 juta mt), India (6 juta mt), China (5 juta mt) dan Mexico (4.1 juta mt). Negara lain yang banyak menanam limau oren seterusnya seperti Sepanyol, Mesir, Itali, Indonesia (jiran kita) dan juga Turki serta Iran. Kalau dikaji secara mudah, cuaca di Brazil agaknya sama dengan Malaysia tetapi penanaman limau oren di Malaysia tidak pernah menjadi seperti kita menanam getah dan kelapa sawit. Artikel subuh ini saya menulis artikel mengenai Limau Oren (Sweet Oranges) dalam 'Anim Agro Technology' berdasarkan pembacaan buku 'Temperate and Subtropical fruit production - 3rd eddition' terbitan CABI dan banyak sumber lain untuk dikongsi bersama.


Kawasan yang sesuai untuk penanaman limau oren adalah terdiri dari kawasan yang mempunyai cuaca panas, kering serta mempunyai sistem pengairan dan saliran sempurna. Kekurangan air didapati menyebabkan kualiti pokok dan buah limau oren akan terganggu sehingga merugikan penanam. Bahan tanaman oren lazimnya menggunakan anak benih cantuman (asexual propogation) dengan mencantum varieti superior pada pokok penanti yang sesuai (Lihat foto benih limau). Pembiakan melalui biji benih jarang dijalankan kerana perubahan genetik semasa proses pendebungaan mungkin berlaku. Kawalan anak benih penting untuk mengelakan serangan penyakit 'Citrus Greening Disease - CGD' pada tanaman limau oren.


Terdapat banyak varieti dan kultivar limau oren didunia dimana ianya dihasilkan melalui program pembiakan sejak beratus tahun dahulu. Bagaimana pun secara umumnya kultivar limau oren boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu BULAT (Round), NAVEL dan juga PIGMENTED. Varieti Limau Bulat yang popular adalah 'Hamlin' dan juga 'Valencia'. Varieti Hamlin mempunyai hasil yang tinggi dan berbuah awal (musim luruh - pertengahan winter) tetapi kualitinya rendah oleh itu varieti ini sesuai untuk diproses manjadi jus. Varieti Valencia pula berbuah pertengahan musim (late winter to spring) yang mana hasilnya sederhana hingga tinggi merupakan varieti oren paling baik kualitinya untuk makan segar dan sebagainya.


Oren varieti 'Navel'
Limau Oren jenis NAVEL seperti varieti Washington Navel berbuah pada pertengahan musim seperti valencia tetapi hasilnya kurang dari valencia. Varieti ini kurang sesuai dengan kawasan yang mempunyai suhu agak tinggi terutamanya pada waktu malam. Varieti ini sesuai ditanam di kawasasn sekitar Meditrenean. Bagi Jenis 'Pigmented' ia mempunyai banyak kultivar seperti Tardocco, Sanguinello, Moro dan sesuai di tanam juga dikawasan Meditrenean. Nampaknya oren yang mempunyai kualiti baik ditanam disekitar kawasan Meditrenean walau pun Brazil paling luas menanam limau oren didunia. 


Buah oren hijau ketika muda akan bertukar kepada warna oren apabila cukup masak di pokok. Aktiviti memetik limau oren perlu hati-hati agar tidak merosakkan kulitnya hingga calar atau luka. Buah dipetik dengan tangan dan di gredkan mengikut saiz sebelum di sapu lilin (waxed) untuk mengekalkan kesegarannya. Penyimpanan limau oren untuk jangkamasa pendek dengan menyimpan pada suhu dibawah 15 Celsius. Bagi tujuan penyimpanan jangkamasa panjang sehingga beberapa bulan (untuk pasaran ekspot), ianya dijalankan dengan menyimpan pada suhu 3 - 9 Celsius dengan kadar kelembapan 85 - 90%. Kita di Malaysia sentiasa mudah mendapatkan limau oren di Hypermarket, Pasar Malam, Kedai Buah-buahan dan juga Kedai Runcit. Nikmatilah Limau Oren yang segar untuk mendapatkan Vitamin C anda!

LIMAU OREN ....OH! OREN WARNANYA...
RASANYA MANIS.. MASAM PUN ADA...
DI PETIK HIJAU... DIPERAM KULITNYA...
DIMAKAN SEGAR ... JUS OREN SEDAPNYA...
KITA IMPOT.... MERATA TEMPAT JUALANYA...
BOLEH DITANAM ... 'CGD' MASAALAHNYA...

Related Articles:
1. Limau Lemon (Klik disini)
2. Limau Gedang (Klik disini)
3. Limau Bali (Klik disini)
4. Limau Kasturi (Klik disini)
5. Dusun Kg Dingin (Klik disini)
6. Citrus Greening Disease - CGD (Klik disini)
7. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
8. Klon Limau di Malaysia (Klik disini)
9. Anggaran Kos Pengeluaran Limau (Klik disini)
10. Limau Nipis (Klik disini)
11. Limau Mandarin (Klik disini)
12. Limau Purut (Klik disini)
13. Limau Pagar (Klik disini)

By,
M Anem
Room 256, Selesa Hotel,
Batu 5, Jalan Pantai,
Port Dickson, Negeri Sembilan,
Malaysia.
(4 Disember 2012)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.