Friday, November 9, 2012

MAMAN - TEKNOLOGI PENANAMAN

MAMAN (Cleome gyandra) merupakan tumbuhan dari keluarga Cleomeceae yang boleh ditanam secara komersil untuk menghasilkan daun maman segar. Belum ada banyak tulisan mengenai amalan agronomi dan teknologi penanaman maman yang di tulis oleh saintis dalam negara kita. Saya telah dapat ilmu amalan agronomi penanaman maman daripada pemerhatian yang dibuat oleh beberapa penanam maman di Negeri Sembilan (Sekitar Gemenceh dan Kuala Pilah) dan membuat beberapa rujukkan daripada beberapa artikel luar negara yang mengusahakan tanaman maman sebagai komoditi penting. Penanaman maman memang mudah dijalankan di kawasan tanah subur yang kaya dengan baja organik dan mendapat sinaran matahari yang banyak serta mempunyai sistem pengairan dan saliran baik. Artikel malam ini sambil berehat di Hotel Seri Malaysia Tanjong Gemok, Rompin, saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai Agronomi Tanaman Maman secara praktikal untuk dibuat rujukkan dan bacaan anda semua.


Maman mudah dibiakkan menggunakan Biji Benih yang cukup matang. Kaedah semaian benih maman di tapak semaian kemudian baru diubah kebatas tanaman TIDAK SESUAI kerana akar maman adalah jenis akar rambut yang halus dimana ia mudah putus dan lambat untuk tumbuh semula. Sebaiknya bijibenih maman mesti ditabur diatas batas tanaman yang telah dibubuh baja organik (Kadar Baja Organik  2-4 metrik tan/ha) bergantung kepada jenis tanah. Sebaiknya penyediaan batas tanaman berukuran 1 meter lebar dan panjang sekitar 3 meter untuk mudah diuruskan (Lihat foto sebelah). Tinggi batas bergantung kepada jenis tanah iaitu sekitar 3 -  6 inci dan alur diantara batas akan berfungsi sebagai saliran ketika hujan. Tanaman maman mudah rosak dan tidak tahan jika tenggelam air. 


Biji maman dan kapsul
Penanaman maman dimulakan dengan menyediakan alur diatas batas dengan jarak 30 cm dan tabur benih maman dalam alur tersebut. Kedalaman menabur benih adalah kritikal dimana ia perlu ditimbus tanah pada sederhana cetek. Jika dibubuh terlalu dalam akan menyebabkan kadar pertumbuhan tidak sekata, pokok kurang tegap dan ini akan menjejaskan keseragaman pertumbuhan. Apa yang saya perhatikan , lazimnya benih bercambah 6 -8 hari selepas ditabur dan ia kemudian perlu dibuat penjarangan. Buang anakbenih yang rapat dengan mencabut dan biarkan jarak antara maman antara 10 - 15 cm diantara barisan dalam batas tanaman. Pokok yang tertinggal akan dijaga untuk penghasilan pucuk dan produk maman kelak. Peranan baja organik dan penyiraman air penting pada peringkat awal penanaman.


Siapa kata maman tidak perlukan aktiviti penjagaan?. Maman seperti tumbuhan jenis sayuran lain, perlu diberikan baja terutama baja unsur Nitrojan dari bahan organik serta baja bukan Organik. Dinegara jiran, baja organik (Tahi ayam atau Tinjar Kambing) sebanyak 20 kg/meter persegi dibubuh selepas 3 minggu penanaman. Baja NPK 15:15:15 boleh ditabur diatas batas tanaman maman sebanyak 120 kg sehektar. Kawalan rumpai perlu dijalankan dengan cara manual terutama sebelum 6 minggu penanaman. Ini kerana pertumbuhan rumpai diatas batas mengganggu pertumbuhan maman dan perlu dijalankan sepanjang masa. Jangan menggunakan racun rumpai untuk mengawal rumpai. Pengairan adalah penting diberikan kerana kekurangan air akan menyebabkan tumbuhan terbantut dan pokok keras dan begitu juga kualiti daun.


Pemerhatian dikebun mendapati, terdapat beberapa jenis perosak dan serangga yang menyerang maman. Diantara perosak yang menyerang maman seperti Pianggang (Nezara viridula) - lihat foto sebelah, Siput (Schistocera spp), Cacing Nematod (Meloidogyne spp), Kutu Daun (Phyllotreta spp), Kumbang Makan Daun dan beberapa jenis lagi. Bahagian daun muda pada pucuk dan sebahagian daun matang akan dimakan oleh serangga ini dan menyebabkan daun berlubang-lubang dan ianya menjejaskan pertumbuhan maman. Pemerhatian saya juga ada beberapa kes serangan penyekit Kulapok Mildew (Cercospora spp) yang menyebabkan daun akan rosak dan rendah kualiti. Semburan dengan racun seragga jenis sentuh boleh mengawal kadar serangan tetapi ianya tidak digalakkan sebaiknya menggunakan kawalan IPM seperti disyorkan .


Maman boleh dituai setelah 4 - 6 minggu benih disemai diatas batas. Apabila pokok maman mencapai ketinggai sekitar 15 cm, penuaian boleh di buat dengan mencabut keseluruhan pokok atau memotong menggunakan pisau tajam pada paras atas tanah. Kaedah lain menuai dengan memetik daun dan ranting menggunakan tangan dan ini akan menggalakan pertumbuhan tunas-tunas baru. Aktiviti penuaian maman boleh dijalankan selama 4 - 5 minggu. Beberapa kajian kepada petani mendapati potensi hasil maman segar sebanyak 25 - 30 metrik tan boleh didapati sehektar (Jarang petani yang menanam sehingga 1 hektar pun). Sebanyak 450 - 500 kg biji benih maman boleh dikutip daripada laporan luar negara yang boelh digunakan untuk pelbagai produk maman berasaskan biji. Daripada artikel ini mungkin akan ada beberapa orang yang berminat untuk menanam maman di Malaysia!.
Maman - Apa dia?... Klik disini!  

MENANAM MAMAN... ILMU DIPERLUKAN...
MEMILIH BENIH ... BATAS DISEDIAKAN...
BAJA DI TABUR... SIRAM AIR DIBERIKAN....
CUKUP MATANG.... SESUAI DI MAKAN...

By,
M Anem
Room 105, Hotel Seri Malaysia,
Rompin, Pahang,
Malaysia.
(9 November 2012 bersamaan 24 Zulhijjan 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.