Monday, November 19, 2012

MAMAN - APA KHASIATNYA?

MAMAN (Cleome gyandra) merupakan tumbuhan dari keluarga Cleomeceae yang boleh ditanam secara komersil untuk menghasilkan daun maman segar. Belum ada banyak tulisan mengenai amalan dan teknologi penanaman maman yang di tulis oleh saintis dalam negara kita. Saya dapat ilmu amalan agronomi atau teknologi penanaman maman ini daripada kajian dan pemerhatian saya kepada beberapa penanam maman di Negeri Sembilan (Sekitar Gemenceh dan Kuala Pilah). Orang Negeri Sembilan adalah orang paling mahir dalam memasak daun maman untuk dijadikan jeruk atau dibuat rendang maman terutama pada hari-hari perayaan. Walau pun saya kurang berpeluang untuk merasa makanan berasaskan maman, tetapi semasa remaja dulu memang banyak kali juga makan sayuran maman masak lemak. Saya lebih berpeluang makan sayur Daun Meranti yang banyak juga terdapat dikawasan kampong. Adakah maman mempunyai khasiat? Artikel malam sabtu ini selepas balik dari Rompin melalui Kuala Pilah, saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai khasiat maman untuk dikongsi bersama pembaca.


Maman hantu
Ketika singgah di Masjid Batu Kikir, Negeri Sembilan, saya sempat meninjau keliling kawasan masjid yang ada banyak spesis 'Maman Hantu' (Lihhat foto sebelah). Maman hantu ini tumbuh disekeliling pokok Cemperai yang daunnya boleh dijadikan ulam. Maman hantu menyerupai maman biasa tetapi tidak sesuai dimakan.  Laporan Statistik oleh Jabatan Pertanian menunjukkan, tanaman maman paling banyak diusahakan di Negeri Sembilan (37 hektar) pada 2010 dengan penghasilan sebanyak 122 metrik tan. Apakah khasiat maman sama seperti khasiat daun pengaga atau daun meranti?. Didapati belum ada spesis pokok maman yang dikelaskan mahu pun didaftarkan dalam 'National Plant Variety Listing', cuma lazimnya kita akan bezakan antara batang hijau dan batang kemerahan atau bunga kuning atau bunga putih. Apa yang saya pasti daun maman jika dimakan mentah adalah mempunyai rasa agak pahit. Oleh itu kebanyakan maman perlu dimasak atau diproses dahulu sebelum dimakan. Banyak resepi untuk memakan daun maman kerana daun ini memang telah dijadikan sayuran semenjak dulu oleh penduduk kampong. 


Maman mengandungi khasiat makanan yang tinggi. Kajian saintis menunjukkan didalam tiap-tiap 100 gram (g) bahagian maman yang boleh dimakan, ia didapati mengandungi air 88.3 g,  protein (4.1 g),  lemak (0.5 g), karbohidrat (3.5 g), serat (1.8 g), kalsium (275 mg), fosforus (28 mg), ferum (8.1 mg), natrium (16 mg), kalium (269 mg), karotena (5,816 ug), vitamin A (969 ug), vitamin B1 (0.14 mg), vitamin B2 (0.24 mg), niasin (1.4 mg) dan vitamin C (72. mg). Kandungan khasiat yang didakwa mengenai daun maman adalah dari bahagian daun, biji dan akar pada kadar yang berbeza-beza. Daun dan biji maman, jika kita ambil dan kemudian digosok pada kulit secara terus, ini didakwa boleh menyebabkan berlakunya kulit melecur dan radang. Ini menunjukkan memang ada kesan untuk tujuan perubatan atau sebaliknya. Bahagian biji maman (kita guna sedikit sahaja) dan kemudian  jika kita tumbuk lumat dan kemudiannya kita telan, akan membantu atau kita dapat mengeluarkan angin. Jika kita hendak mengeluarkan angin dalam perut, cubalah amalkan petua ini, insyaAllah dapat mengatasi masaalah tersebut.

Terdapat dakwaan iaitu jika kita mengamalkan penggunaan biji maman berlebihan, ia boleh boleh mengakibatkan angin dalam perut dan usus pula mengelegak atau kita sakit perut akibat angin. Buku Karangan C.H. Ching ada menyatakan , jika biji atau daun diirebus dan air rebusan biji ini diminum maka ia boleh dijadikan ubatan luaran bagi merawat buasir dan reumatisme. Lebih menarik lagi adalah jika air rebusan tersebut diminum, ia didakwa mampu  bagi merawat gonorea dan cirit-birit (berlendir atau berdarah). Ekstrak biji pokok maman boleh dijadikan racun serangga. Daun maman yang dihancur dan disapu atau digosok, diletakkan pada bahagian belakang pinggang boleh menghilangkan rasa sakitnya. Inilah diantara info khasiat daun  maman yang boleh dibuat rujukkan.

DAUN MAMAN... BANYAK KHASIATNYA....
DIMASAK SAYUR... MAKAN SEDAPNYA...
DIJADIKAN UBAT.... ADA FAEDAHNYA....
MENANAM MAMAN... HENDAK JUAL DIMANA?..

By,
M Anem
Precint 11, Putrajaya,
Malaysia.
(7 Muharram 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.