Wednesday, November 7, 2012

LABU MANIS MADU?

BETULKAH ADA LABU MANIS MADU?
Labu Manis (Cucurbita maxima) merupakan sejenis tanaman singkat masa yang sederhana popular dikalangan petani di Malaysia. Laporan statistik Jabatan Pertanian menunjukkan terdapat seluas 752 hektar tanaman labu manis pada tahun 2009 dengan pengeluaran sebanyak 11,200 metrik tan yang bernilai sebanyak RM15.1 juta. Kawasan utama penanaman labu manis di Malaysia adalah di Kelantan (190 hektar), Kedah (171 hektar) dan Pahang (141 hektar) dan negeri-negeri lain menanam kurang dari 50 hektar. Saya baru sahaja melawat kebun tanaman labu manis yang diusahakan secara bergilir-gilir dengan tanaman kontan lain seperti Jagung, Tembikai dan Keledek di Projek Khas Pertanian Alor Ketitir, Terenggnu. Kawasan ini juga merupakan satu kawasan pengeluaran bahan makanan yang telah lama aktif semenjak awal tahun 1980'an lagi sehingga kini. Artikel petang ini saya menulis pengalaman saya dalam 'Anim Agro Technology' mengenai penanaman labu manis di projek ini.


Perbincangan saya dengan En Zulkifli yang menanam labu manis amat memang menyeronokkan. Pertama sekali saya bertanya kepada beliau nombor Kad Pengenalan dan disusuli dengan maklumat mengenai kawasan kebun beliau. Seterusnya saya bertanya mengenai varieti labu manis yang ditanam di kebun beliau. En Zulkifli nyatakan yang dia telah menanam 3 munim tahun ini dengan Varieti Labu Manis Madu. Katanya varieti ini memang popular di Pantai  Timur yang banyak ditanam dan mudah dijual. Saya rasa dalam 30 tahun bekerja ini pernah juga mendengar nama varieti Labu Manis Madu ini. Katanya memang itulah nama yang diberikan oleh penjual benih semasa beliau membeli benih. Terfikir saya bagaimana hendak kaitkan Labu yang memang rasanya 'TAWAR' dengan madu yang lazimnya 'MANIS'. Adakah memang labu manis ini manis macam jagung manis?. Saya pun minta kebenaran En Zul untuk mendapatkan tin bekas benih yang di beli. Bila saya baca label pada tin benih jelas kelihatan tulisan 'LABU EMAS' - lihat foto dibawah. 


Saya cuba kaitkan nama 'Labu Emas' dengan sifat labu itu sendiri iaitu mungkin warna isi labu itu 'kuning keemasan'. Maka penjual asal benih tersebut menamakan 'Labu Emas' dan ditulis dengan jelas pada tin benih tersebut. En Zul tidak berpuashati dengan penjelasan saya kerana selama ini beliau menjual labu tersebut dikalangan pembeli dan peraih sebagai 'Labu Manis Madu' dan katanya orang ramai telah menerimanya. Dia menyatakan mungkin kertas pembalut tin benih yang dibeli telah ditukar dari nama asal Labu Emas kepada Labu Manis Madu kerana hendak promosi benih tersebut. Dia agak pasti nama tersebut sebagai Labu Manis Madu pada label tin semasa membeli benih tersebut. Bagaimana pun setelah saya membuat penerangan dengan jelas, akhirnya En Zul setuju akan menggunakan nama varieti tersebut sebagai Labu Emas pada masa akan datang kerana ia jelas ditulis pada label pada tin tersebut.


Ini merupakan satu insiden yang boleh kita bincangkan. Ramai orang kita amat suka mengaitkan semua yang disukai dengan perkataan 'MADU'. Kita sering dengar varieti buah-buahan yang dikaitkan dengan nama madu seperti "Belimbing Madu" (Averrhoa carambola), Limau Madu (Citrus suhuensis), Nangka Madu (Artocarpus heterophyllus), Jambu Batu Madu (Psidium guava) dan sebagainya. Tidak mengapalah kerana buah-buahan tersebut memang manis rasanya. Tetapi bagai mana dengan varieti Buloh Madu?... Labu Manis Madu?... nanti ada pula kata Sawi Madu. Kacang Panjang Madu pula?. Kita kena sensitif dengan strategi penjual benih atau penjual produk tanaman segar agar ianya sesuai dengan sifat produk itu sendiri. Pastikan ketika membeli benih tanaman bertanya apakah varieti sebenar tanaman tersebut dan boleh merujuk kepada laman web Jabatan Pertanian iaitu website Senarai Nasional pada www.pvpbkkt.doa.gov.my atau senarai National List yang mengandungi keterangan mengenai varieti tanaman yang telah didaftarkan. Terimakaseh kepada En Zul yang telah bersama-sama saya semasa sessi temuduga mengenai aplikasi teknologi pertanian.

LABU MANIS.... MENJALAR POKOKNYA...
LABU MANIS MADU... SESUAIKAH IANYA?...
LABU EMAS... SEBENAR VARIETINYA...
PETANI GEMBIRA... HASIL DIJUALNYA...

By,
M Anem
Projek Khas Pertanian,
Alor Ketitir,
Marang, Terengganu.
Malaysia.
(7 November 2012)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.