Saturday, November 3, 2012

KELULUT - PENDEBUNGA

KELULUT (Trigona spp) atau juga dipanggil sebagai Lebah Kelulut merupakan sejenis serangga agen pendebungaan yang berkesan terutama untuk projek tanaman didalam sistem Fertigasi dalam Struktur Pelindung Hujan Tertutup (SPHT). Terdapat banyak spesis kelulut di kenalpasti (lebih daripada 150 spesis) dimana di Malaysia sahaja terdapat 29 spesis kelulut yang telah dikenalpasti. Pengalaman saya sebagai orang yang pernah mengajar dalam ilmu perlebahan, banyak terlibat dalam memberi latihan kepada ramai penternak lebah madu sekitar tahun 1980'an - tahun 2000. Menurut pakar Apiculture (Perlebahan), Lebah boleh dibahagikan kepada jenis yang menyengat dan jenis yang tidak menyengat. Jenis menyengat adalah seperti Lebah Tualang (Apis dosrsata), Lebah Keran (Apis cerana) dan juga Lebah Madu Impot (Apis melifera). Kategori yang tidak menyengat adalah seperti Kelulut atau juga dipanggil sebagai Lebah Lalat seperti beberapa sepsis yang didapati iaitu Trigona apicalis, Trigona thorasica, Trigona itama dan Trigona laeviceps. Lebah ini adalah bersaiz kecil berukuran 3 - 8 cm sahaja dan terbang dengan perlahan. Kebanyakan kelulut di negara kita berwarna hitam atau warna gelap dan kini telah diternak untuk menghasilkan madu kelulut. Pengalaman saya dalam dunia 'Apiculture' lebih mengenali lebah keran berbanding dengan kululut. Artikel pagi sabtu ini saya menulis mengenai Kelulut dan peranannya dalam proses pendebungaan dalam SPHT dalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi bersama berdasarkan kajian, pemerhatian dan pengalaman penulis sendiri ddidalam membuat pemerhatian teknikal.



Sistem tanaman fertigasi dibawah struktur pelindung hujan tertutup (atau kalis serangga) kini menjadi satu kaedah penanaman MODEN khususnya bagi menghasilkan produk bernilai tinggi seperti Melon, Tomato Cherry, Timun Jepun dan sebagainya. Teknologi ini secara pantas mendapat perhatian ramai usahawan muda dan sangat popular. Struktur ini menggunakan bumbung plastik jernih dan dinding jaring 32 mesh dengan pelbagai rekabentuk dan bahan struktur kukuh yang lain. Kos pembinaan yang tinggi juga perlukan jenis tanaman yang bernilai tinggi untuk cepat mendapatkan keuntungan. Lazimnya teknologi sistem fertigasi diamalkan untuk pengurusan tanaman dengan menggunakan baja larutan cecair (Set A dan Set B) serta keadaan persekitaran yang terkawal. Baja larutan dengan racun kimia sering dicampurkan air baja untuk mengawal serangan penyakit secara brjadual. Ramai petani yang menjalankan sistem tanaman fertigasi di bawah struktur SPHT ini menghadapi beberapa masaalah teknikal seperti proses pendebungaan pada tanaman yang diusahakan. 


Jaring kalis serangga ini akan melindungi tanaman daripada dicerobohi oleh serangga perosak seperti Lalat Buah, Thrips, Ulat Pengirek Batang, Ulat Pengorek Buah dan banyak jenis perosak lagi. Keadaan ini juga menghalang agen serangga pendebungaan semulajadi untuk masuk kedalam SPHT bagi menjalankan proses pendebungaan. Cuma serangga merayap seperti semut yang mampu membantu menjalankan pendebungaan tetapi kecekapannya adalah sangat rendah. Penggunaan koloni kelulut didalam struktur SPHT merupakan satu teknologi atau kaedah yang sangat berkesan dan praktikal seperti yang dijalankan di TKPM Besut, Terengganu.  Teknologi ini perlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran oleh peserta projek yang kebanyakannya menanam Melon. Banyak projek penanaman fertigasi diseluruh negara yang sesuai mengamalkan teknologi ini untuk meningkatkan produktiviti.


Satu kotak haif yang mengandungi koloni kelulut yang aktif sesuai diletakkan didalam SPHT berukuran 20 kaki lebar x 100 kaki panjang yang mengandungi pokok melon. Haif tersebut diletakkan di tengah-tengah struktur dengan dialas menggunakan bakul atau tiang setinggi 1 - 3 kaki diatas tanah (Lihat foto sebelah). Sebaiknya koloni kelulut ini MESTI di tutup lubang pintu semasa dijalankan aplikasi memberi racun serangga atau racun kulat didalam larutan cecair baja atau jika menjalankan semburan serangga terhadap tanaman. Jika tidak kelulut yang hinggap kepada bunga akan menghisap nektar (manisan dalam bunga) bersama racun kimia dan ini menyebabkan kelulut akan lemah atau mati akhirnya. Ramai diantara kita yang mungkin belum faham bagaimana hendak memelihara dan mempastikan koloni kelulut dalam SPHT sentiasa sihat.


Semasa tanaman didalam SPHT tidak berbunga atau selepas tiada sumber makanan, haif tersebut perlu dikeluarkan atau dialihkan kepada SPHT yang mempunyai sumber bunga. Jika semua SPHT tidak ada yang berbunga, maka kita boleh berikan makanan tiruan (Artificial food) dengan memberikan air gula dan makanan tambahan yang lain. Keupayaan kita untuk memelihara jumlah bilangan kelulut yang besar adalah penting kerana fungsi utamanya adalah sebagai 'Agen Pendebunga' sangat berkesan kepada tanaman melon. Jika haif kelulut di uruskan dengan baik , kita akan dapat lihat madu kelulut didalam sarangnya yang boleh dilihat dari bahagian atas haif yang dibuka penutupnya. Madu kelulut adalah lebih mahal harganya daripada madu lebah keran sehingga mencapai harga RM 35.00 - RM 50.00 satu botol dengan kuantiti 300 gram. Teknologi ini didapati mampu meningkatkan kapasiti proses pendebungaan tanaman melon dalam SPHT yang perlu diikuti oleh usahawan lain diseluruh negara.
Benarkah Kelulut mampu mengurangkan potensi serangan kutu thrips dalam penanaman melon secara fertigasi?....
Akan di kupas artikel akan datang. 

LEBAH KELULUT...LENAH LALAT NAMANYA...
BERWARNA GELAP... KECIL SAIZNYA...
TERBANG PERLAHAN ...SUKA PADA BUNGA...
MADU KELULUT... BANYAK KHASIATNYA...

By,
M Anem
TKPM Besut, Besut,
Terengganu, 
Malaysia.
(31 Oktober 2012)
  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.