Wednesday, October 17, 2012

KARAT NANGKA (PART 1)

KARAT NANGKA (Jackfruit Rust) merupakan satu fenomena yang kini menjadi satu sebab kepada penurunan kualiti pada sesetengah varieti Nangka (Artocarpus heterophyllus) yang ditanam di Malaysia. Varieti Tekam Yellow (J33) merupakan sejenis verieti nangka yang mudah diserang masaalah karat nangka berbanding dengan varieti-varieti lain. Nangka varieti lain yang popular ditanam di Malaysia dan kurang insiden masaalah karat nangka seperti varieti J32 (Mantin), J36 (Nangka Madu), J37 (Mastura) dan J31 (NS101). Masaalah karat nangka telah dikenalpasti oleh petani dan pegawai pertanian pada awal tahun 2010 melalui beberapa laporan yang diterima terutama di kawasan Negeri Pahang dan Negeri Sembilan. Beberapa pihak seperti Jabatan Pertanian, MARDI dan Universiti telah membuat perbincangan mengenai masaalah karat nangka tetapi masih diperingkat awal lagi. Antara persoalan adalah seperti apakah yang sebenarnya menjadi punca kepada masaalah ini?. Adakah di sebabkan oleh patogen, Adakah disebabkan oleh masaalah fisiologi, Adakah disebabkan oleh cuaca dan hujan?, Adakah disebabkan oleh bakteria, Kulat, Serangga?. Artikel petang ini saya menulis mengenai kejadian Karat Nangka dalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi maklumat dan dibincangkan bersama dengan semua pembaca blog ini.


Tanaman pokok nangka di Malaysia kini dijadikan satu jenis buah-buahan agak popular. Nangka dikenalpasti untuk dimajukan di bawah program pembangunan buah-buahan di bawah Dasar Agro Makanan dan di bawah prijek NKEA (EPP7). Penanaman nangka telah menarik minat ramai petani kerana cepat berhasil, mudah dijaga, pasaran yang baik dan berpotensi untuk pasaran ekspot khususnya beberapa verieti tertentu terutama Varieti Tekan Yellow (J33). Keluasan kawasan tanaman nangka telah bertambah mulai 2008 dimana penghasilan dari cuma 18,700 metrik tan pada tahun 2003 telah naik kepada sebanyak 29,980 metrik tan pada tahun 2010 iaitu hampir dua kali ganda dalam masa 7 tahun. Jumlah keluasan tanaman nangka pula seluas 3.460 hektar pada tahun 2010. Purata harga ladang nangka pada tahun 2010  ialah RM 1.78 sekilogram dan purata harga runcit RM 3.80 sekilogram untuk kebanyakkan varieti.


Berbalik kepada masaalah mengenai KARAT NANGKA yang saya hendak  bincangkan, beberapa hipotesis dan kajian awal telah dibuat dan mula dikaji. MARDI dalam satu laporan ada menyatakan bahawa, karat nangka bukan di sebabkan oleh Kulat, Bakteria atau Virus secara spesifik tetapi kehadirannya mungkin disebabkan oleh 'secondary effect'. Beberapa sampel buah karat nangka yang diambil daripada TKPM Triang di Bera, Pahang dan TKPM Gemas, di Negeri Sembilan telah dibawa ke makmal untuk dianalisa. Hasilnya telah dapat keputusan yang menyatakan bahawa masaalah karat nangka bukan disebabkan oleh bakteria atau kulat berdasarkan kepada beberapa ujian yang dijalankan dimakmal. Kalau bukan disebabkan oleh perkara tersebut, jadi apa pula sebenarnya yang menjadi asas kepada kejadian karat nangka?.  


Lawatan saya kebanyak lokasi tanaman Nangka Tekam Yellow (J33) seperti di Projek Kelompok FELDA Mempaga, Pahang ; Projek TKPM Lanchang, Pahang, Stesyen FELDA Sg Tekam, Jerantut, Pahang; Stesyen Pertanian FELDA Sg Tengi , Selangor dan banyak lokasi lagi mendapati memang ada dilaporkan berlaku kejadian karat nangka, tetapi bukan sepanjang waktu. Ramai responden atau petani yang saya temuduga kata, jika cuaca banyak hujan, keadaan sekeliling sangat lembab dan kurang dijalankan aktiviti cantasan menyebabkan berlaku masaalah karat nangka. Ini katanya berkait dengan bentuk bahu buah nangka J33 (dekat dengan pangkal tangkai buah) yang agak melekuk dan mampu menakung air dimusim hujan. Adakah air hujan tersebut akan diserap masuk kedalam empulur buah nangka dan ini akan menyebabkan kejadian 'fisiological disorder'?. Adakah air tersebut juga masuk bersama-sama dengan patogen seperti kulat atau lain-lain jenis patogen? 


Perbincangan saya dengan seorang peserta TKPM Lanchang di Temerloh, En Sarabudin yang menanam 20 ekar nangka J33 ada menyatakan, serangan karat nangka dikebun beliau kurang kerana beliau menggunakan beberapa jenis racun kulat jenis mahal (Beliau ada namakan nama-nama racun tersebut kepada saya). Dakwanya kejadian karat nangka dapat diatasi untuk beberapa musim lepas jika dibuat berbandingan dengan jirannya di TKPM yang dilaporkan menghadapi masaalah tersebut. Apabila saya melawat kawasan kebun, memang mendapati kebersihan kawasan kebun, cantasan dan kesuburan pokok pada tahap sangat memuaskan. Adakah faktur agronomi dan umur pokok nangka J33 juga mempengaruhi kejadian masaalah karat nangka?.

BERSAMBUNG...

KARAT NANGKA... APAKAH SEBABNYA....
BANYAK HIPOTESIS... BILA NAK PASTINYA...
BUKAN KULAT... PUNCA PENYEBABNYA...
BUAH J33 INI... TINGGI TAHAP MANISNYA...

By,
M Anem
Pusat Latihan Inderapura,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(15 Oktober 2012)    

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.