Thursday, October 4, 2012

Iklim Berubah Satu Ancaman

Perubahan Iklim Dunia menyababkan ancaman kepada sektor pertanian dan boleh mengakibatkan bencana kepada dunia. Perkara seperti 'Pemanasan Global' menjadi isu menarik diperingkat antarabangsa sekarang kerana ianya boleh menyebabkan masalah bencana alam bentuk baru dengan kenaikan pada suhu air laut. Saya mendapat maklumat yang suhu atomosfera dunia akan meningkat sebayak 11.1 fahrenheit atau sekitar 0.6 darjah Celsius dimana keadaan ini akan menyebabkan kenaikan paras air laut sebanyak 10 sentimeter.  Ini akan menjejaskan kawasan tanah pertanian (terutamanya di kawasan tanaman padi di Asia) yang akan menenggelamkan beberapa buah bandar utama dipinggir laut.  Kejadian kenaikan paras air laut ini disebabkan oleh dua sebab iaitu pengembangan air laut dan pencairan air batu atau ais di Antartika yang akan menyumbang sehingga lebih dari 50%. Para saintis mendapati kenaikan sebanyak 3 milimeter (mm) setahun agak nampak kecil tetapi dalam jangkamasa lama, ianya  akan memberikan kesan kepada manusia dan kejadian bencana alam. Artikel petang ini saya menulis satu tajuk mengenai ancaman perubahan iklim kepada manusia dan pertanian khususnya dalam 'Anim Agro Technology' kepada pembaca blog ini.


Pembangunan Pertanian dan Aset terutama untuk masa akan datang terpaksa mengambilkira faktur kenaikan paras air laut. Terdapat laporan daripada saintis menyatakan bandar seperti Bangkok dan Jakarta menghadapi risiko akan tenggelam akibat pemendapan tanah akibat dari penggunaan air bawah tanah yang keterlaluan. Akuifer atau air bawah tanah ini pula akan mengalami peresapan air masin yang mana kadarnya akan meningkat akibat peningkatan paras air laut. Kemasinan ini menjejaskan kualiti air untuk kegunaan domestik dan juga pertanian. Tumbuhan seperti padi, buah-buahan dan sayur-sayuran tidak boleh hidup dalam keadaan kemasinan air.  Dijangkakan dalam tahun 2050, kadar kenaikan air laut adalah sekitar 0.5 meter yang masa pastinya banyak kawasan tanaman padi dan pengeluaran utama bijirin dunia akan musnah untuk pehasilan padi.  Pada masa itu saya telah pun berumur 91 tahun jika masih hidup lagi. Beberapa strategi perlu difikirkan untuk kita mengatasi tau pun menyelamatkan situasi ini bagi menjaga kawasan bandar dan kawasan pertanian. 


Diantara kaedah untuk mengatasi kawasan ini daripada di tenggelami air adalah seperti dengan membuat benteng-benteng khas (Dike) yang akan menghalang air masin daripada masuk kawasan bandar dan pertanian seperti yang ada sekarang. Kaedah ini melibatkan kos dan teknologi tinggi yang tinggi. Infrastruktur yang dibina mesti memikirkan untuk keselamatan agar kukuh dan teknologi yang canggih. Jika berlaku ombak besar atau tsunami, beberapa ciri keselamatan perlu diambil kira kerana jika tidak akan berlaku kemusnahan dan trajedi yang teruk terhadap manusia, tanaman dan aset. Pembangunan untuk perbandaran, penempatan penduduk dan pertanian juga dirancang atau perlu dibuat dikawasan yang agak tinggi untuk masa akan datang. Dengan penduduk dunia semakin bertambah sebanyak lebih 7 billion, pastinya permintaan untuk bekalan makanan akan bertambah sedangkan kawasan untuk penanaman akan terancam. Teknologi pertanian dan penanaman perlu ditingkatkan dengan penghasilan varieti-varieti baru yang sesuai dengan peningkatan suhu, tahan dengan serangga perosak dan penyakit yang telah mutan dengan peningkatan suhu dan penghasilan lebih tinggi per unit kawasan.


Perubahan iklim juga apa yang saya baca memang mempunyai kesan terhadap malapetaka bencana alam seperti banjir besar. Ini seperti kejadian kemarau panjang, taufan yang kuat dimana ini semua memberikan kesan pertumbuhan tanaman serta pengeluaran bahan makanan. Sebagai contoh, pada tahun 2006 semasa saya bertugas di Johor dimana banjir besar berlaku, anggaran kemusnahan dalam Negeri Johor sahaja dalam sektor pertanian sekitar RM 260 juta akibat kehilangan hasil tanaman dan itu tidak masuk kerosakan infrastruktur. Ada laporan saya baca mendapati pemanasan global menyebabkan ciri-ciri fenomena seperti 'El-Nino' serta isu 'La-Nina' iaitu memberikan impak yang signifikan kepada cuaca di Malaysia. Fenomena ini didapati membawa kesan negatif kepada kehidupan dan kesejahteraan hidup manusia khususnya dalam sektor pertanian. Oleh itu kita perlu sedar akan keadaan ini ini dan memerlukan berkerjasama agar keadaan ini dapat di minimakan impaknya. Kita boleh juga bersama-sama untuk menyumbangkan dengan cara sama-sama berkempen dan mengurangkan kadar pembebasan gas-gas rumah hijau dan menjaga kelestarian iklim dunia melalui kempen kesedaran. Wasallam!

IKLIM DUNIA... SEMAKIN PANAS...
AIS DI KUTUP... CAIR DENGAN DERAS...
AIR LAUT ... MENINGKAT KENA AWAS...
SEKTOR PERTANIAN...MENJADI ASAS...

By,
M Anem
Jalan Istana, Melaka,
Malaysia
(17 Dzulkaedah 1433H)    

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.