Sunday, July 22, 2012

SION CANTUMAN BERKUALITI

SION (Scion) atau MATA TUNAS dalam proses mencantum pokok buah-buahan merupakan satu perkara penting dalam aktiviti mencantum anak pokok varieti buah-buahan atau tanaman lain terpilih termasuk ornamental, sayuran dan tanaman singkatmasa. Sering kita mendapatkan anakbenih pokok buah-buahan seperti Durian (Durio zibethinus), Rambutan (Nephellium lappaceum), Belimbing (Avverhoa carambola) ,Nangka (Artocarpus integer), Cempedak (Artocarpus cempeden) dan sebagainya dari kategori anakbenih cantum. Anak pokok cantuman dari varieti terpilih akan mempastikan kita mendapat baka tulin dan 'true-to-type' apabila sion yang digunakan diambil dari baka induk yang telah disahkan. Sion atau mata tunas diambil menggunakan peralatan kas dan teknik khusus untuk dicantum kepada pokok penanti yang sesuai. Kenapa sering berlaku aktiviti mencantum dan ianya gagal atau memberikan peratus kejayaan yang rendah?... Kedua-dua sion dan pokok penanti yang tidak bercantum mungkin disebabkan oleh faktur ketidakserasian (incompatibility) antara kedua-duanya, kurang kadar lapisan kulit kambium yang melekat, kekeringan yang berlaku atau kemasukan air kedalam balutan cantuman. Sebab-sebab lain mungkin berpunca dari anak pokok penanti kering akibat kemarau atau tidak disiram, sion yang kering sebelum di cantum dan keadaan pokok penanti yang rosak. Artikel pagi Sabtu ini saya menulis berkaitan sion yang berkualiti untuk aktiviti mencamtum dalam 'Anim Agro Technology' bagi bacaan anda.


Sion atau mata tunas untuk cantuman adalah bahagian yang diambil dari dahan atau pucuk yang lembut dengan mempunyai tunas untuk dicantum. Sion lazimnya diambil dari pokok induk yang telah dikenalpasti akan varietinya, subur, sihat , berhampiran dengan pokok penanti dan mudah untuk mendapatkan bekalannya. Pengambilan sion dari pokok induk lazim dijalankan pada waktu pagi untuk mendapatkan sion yang segar bagi dicantum. Dahan atau ranting sepanjang 1 meter (bergantung kepada jenis dan varieti tanaman) akan di potong dengan terdapat mata tunas pada dahan tersebut. Sebaiknya pisau tajam, parang, scateurs atau 'pruning saw' yang tajam digunakan untuk memotong dahan atau ranting. Saya sering syorkan agar keratan ini di balut dengan kertas suratkhabar dilembabkan dengan air bertujuan untuk megekalkan kesegarannya atau untuk dibawa kelokasi yang agak berjauhan.  Sion akan di potong dengan 'budding knife' semasa aktiviti mencantum. Elakkan memotong dulu sion jika pokok penanti belum bersedia untuk dicantum. Sebaiknya sion di cantum pada pokok penanti setiap kali membuat cantuman.


Bagaimana hendak memilih sion yang berkualiti?. Saya akan memberikan tip-tip penting dalam cara memilih sion atau matatunas berkualiti :-


a. Sion mesti diambil dari pokok induk yang seragam, varieti telah disyorkan dan memberikan kualiti hasil yang tinggi serta berkualiti
b. Sion diambil dari pokok induk yang sihat, tidak diserang bakteria, virus, kulat atau sebarang serangga perosak
c. Sion diambil dari pokok yang vegetatif atau dorman
d. Ambil dari bahagian paling atas atau terdedah cahaya matahari
e. Pilih dari dahan atau ranting yang sihat (Vigorous)
f. Saiz ukirlilit sion mesti sesuai dengan saiz batang pokok penanti
g. Tidak ada putik bunga atau kudup bunga melekat pada sion
h. Simpan sion dalam tempat lembab dan tidak terdedah 
i. Cantuman dibuat seberapa segera selepas mengambil sion dari pokok induk.

Selamat membuat cantuman anak pokok!


SION CANTUMAN... MATA TUNAS NAMANYA...
MENCANTUM POKOK.... DITENTUKAN ASALNYA....
KEJAYAAN CANTUMAN.... PENTING DI TANYA...
POKOK BERKUALITI...AKAN DIHASILKANNYA...


By,
M Anem
Pusat Pengeluaran Benih Tanaman   ,
MARDI, Serdang, Selangor,
Malaysia.
(2 Syaaban 1433H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.